Orang politik jangan anggap SPRM musuh

Orang politik jangan anggap SPRM musuh

Azrul Affandi Sobry

WAJARKAH pentadbiran menguasai undang-undang dan di mana lagi relevan sesuatu pelaksanaan undang-undang itu jika terpaksa tunduk kepada mainan politik yang secara terang-terang sentiasa bermuka-muka untuk kepentingan peribadi atau lebih tepat lagi, kepentingan parti politik itu sendiri.

Undang-undang yang sudah dibentuk secara terperinci di negara ini sewajarnya dijadikan benteng kekuatan perlembagaan berparlimen tanpa mampu diganggu gugat oleh sesiapa pun walaupun mereka mempunyai pengaruh atau kuasa termasuk menteri mahupun Raja sekalipun.

Terbaru, apabila ruang kebebasan tugas Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) seakan disekat dengan pekeliling oleh kerajaan Selangor yang hanya memberikan kebenaran kepada suruhanjaya itu menjalankan siasatan pada waktu pejabat saja, ia jelas satu tindakan untuk menghalang pelaksanaan undang-undang di negara ini.

Bagaimanapun, Jumaat lalu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam, bagi memohon pengisytiharan Pekeliling Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor Bilangan 4 Tahun 2009 berkenaan arahan menghadiri temuduga membantu siasatan SPRM adalah tidak sah dan batal.

Malah, lebih mengecewakan apabila setiap kali SPRM memulakan siasatan kepada mana-mana pihak dalam kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat, mulalah timbul bantahan dan kritikan tajam menuduh suruhanjaya itu sebagai tidak adil, ganas dan pelbagai lagi sedangkan mereka bertepuk tangan dan menjulang SPRM seakan wira jika siasatan membabitkan pemimpin dalam Barisan Nasional (BN).

Itulah persoalannya yang perlu dilihat kerana saban hari, sejak suruhanjaya itu dijadikan sebuah badan bebas, begitu banyak kes penyelewengan membabitkan orang politik didedahkan, tak kiralah sama ada ia membabitkan BN atau Pakatan Rakyat.

Memang tidak adil jika dikatakan hanya Pakatan Rakyat menjadi sasaran kerana berdasarkan rekod, ada juga beberapa kes sama ada membabitkan individu bertaraf menteri, exco kerajaan negeri atau pemimpin kanan pertubuhan politik dalam parti komponen BN turut pernah disiasat.

Buktinya, pada 12 Mac lalu, akhbar melaporkan SPRM merampas sejumlah fail dan menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pelancongan bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu serta melakukan pemeriksaan mengejut di pejabat Menteri Pelancongan ketika itu, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada 2 Ogos pula, SPRM menahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu bersama seorang rakannya di restoran sebuah hotel di Kijal, Kemaman kerana dipercayai meminta wang habuan antara 10 hingga 13 peratus daripada nilai satu projek landskap bernilai RM2 juta dari sebuah syarikat.

Malah, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata beliau sendiri ketika menjadi Menteri Besar pernah dirakam percakapan selama lapan jam selain fail dan dokumen diambil bagi membantu siasatan SPRM.

Katanya, selepas tidak lagi memegang jawatan itu, boleh dikatakan setiap kes ditohmahkan ke atasnya akan disiasat SPRM, termasuk isu banglonya yang mula disiasat oleh suruhanjaya itu pada awal Julai tahun ini.

Pada 20 Jun lalu pula, sekumpulan pegawai SPRM melakukan pemeriksaan ke atas rekod kewangan pejabat Umno Bahagian Dungun selain menemuramah beberapa kakitangan dan jawatankuasa Umno bahagian.

Sumber memberitahu, pemeriksaan dilakukan sejak jam 12 tengah hari dan berlarutan hingga 9 malam itu, bertujuan melengkapkan siasatan SPRM Selangor terhadap dua ahli Umno negeri itu bergelar Datuk yang disyaki terbabit kegiatan rasuah RM3 juta dalam projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2).

Ketika semua tindakan ke atas individu dalam BN digerakkan, Pakatan Rakyat seakan memberikan lampu hijau menyokong langkah itu, namun apabila beberapa siasatan ke atas pemimpin mereka seperti berlaku di Pulau Pinang dan paling ketara di Selangor, pelbagai tohmahan dan proses halangan digerakkan.

Penganalisis politik, Profesor Dr Shamsudin Abdul Rahim, berkata memang ketara begitu banyak siasatan dibuat ke atas pemimpin Pakatan Rakyat terutama di Selangor lantaran ada beberapa kepincangan yang dikesan dan dilaporkan kepada SPRM.

Katanya, ia berlaku lantaran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor disertai oleh mereka yang tiada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan sekali gus menyebabkan berlakunya risiko salah laku atau kekurangan yang mudah dikesan pihak pimpinan terdahulu.

“Contohnya, jika ada sebarang pelaksanaan dibuat kerajaan baru ini dan ia jelas berbeza dengan apa dibuat ketika BN memerintah, mungkin ia menimbulkan keraguan dan bagi mendapatkan kesahihan, laporan dibuat. SPRM pula perlu menjalankan siasatan apabila menerima aduan.

“Silapnya ialah SPRM terlalu awal membuat pengumuman kepada pihak media mengenai apa yang sedang mereka buat sedangkan siasatan itu belum mengesahkan individu itu bersalah atau tidak. Itu menyebabkan orang politik tak senang dan tak boleh duduk diam.

“Reputasi sangat penting dalam kerjaya politik seseorang. Sekali reputasinya jatuh, amat susah untuk dia bertahan dan terus mendapat kepercayaan. Saya percaya, kerana itulah ia mengundang kepada pelbagai campur tangan daripada orang politik kerana bimbang reputasinya terjejas,” katanya.

Merujuk kepada senario ketika ini dengan pelbagai tohmahan serta tekanan dihadapi SPRM, beliau berkata, tidak ada mana-mana pihak boleh campur tangan bidang kuasa yang ada pada suruhanjaya itu kerana realitinya, rakyat mahukan akauntabiliti, lebih-lebih lagi selepas pilihan raya umum yang lalu.

Pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang enggan namanya disiarkan, berkata tak ada sesiapapun di negara ini boleh menghalang daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk orang politik mahupun Raja.

Merujuk kepada arahan kerajaan Selangor itu, beliau berkata pekeliling dikeluarkan hanya hal pentadbiran dan tidak sama sekali boleh menghalang peranan dan bidang kuasa SPRM kerana suruhanjaya itu mempunyai akta diluluskan di Parlimen.

“Sebagai contoh, menurut Seksyen 111, polis mempunyai kuasa memanggil individu untuk hadir memberikan kenyataan di mana saja dan pada bila-bila masa. Seksyen 112 pula menyebut, individu yang dipanggil polis wajib memberikan kenyataan dengan benar dan hanya boleh berdiam diri jika ia mungkin mendatangkan implikasi terhadap tindakan undang-undang ke atasnya. Namun, mereka tidak boleh berkata enggan memberikan kerjasama.

“Dalam isu ini satu persoalan, mana lebih utama, arahan atau pekeliling dikeluarkan oleh kerajaan negeri, atau tugas dan peranan menjalankan undang-undang digerakkan oleh polis atau SPRM. Saya yakin SPRM juga berpegang pada akta sama,” katanya.

Katanya, dalam menjalankan tugas undang-undang, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk membuat satu peraturan baru yang jelas berlawanan dengan akta sedia ada, malah ia juga tidak boleh diusik mana-mana pihak sekalipun kecuali dibentangkan di Parlimen.

“SPRM sepatutnya bebas memanggil sesiapa saja saksi pada bila-bila masa dan di mana saja. Siapapun tak boleh halang. Itu tugas mereka berdasarkan undang-undang. Malah, sesiapa saja boleh didakwa di negara ini tak kiralah menteri atau keturunan Raja. Adalah satu kesalahan menghalang proses undang-undang,” katanya.

0 comments: