Sikap tak peduli H1N1
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
HAKIKATNYA tiada siapa daripada kita yang menyangka gelombang kedua selesema babi atau influenza A (H1N1) akan melanda negara seperti ketika ini.
Sewaktu wabak influenza A pertama kali dikesan di Mexico April lalu, ramai beranggapan virus H1N1 itu terlalu jauh untuk merebak sehingga ke negara ini.
Meskipun sering kali diingatkan betapa virus itu boleh tersebar dengan pantas memandangkan ia boleh berpindah dari manusia ke manusia, namun ramai yang seolah-olah tidak ambil peduli.
Barangkali kerana merasakan berada di dalam zon selesa, maka langkah pencegahan dan berwaspada tidak begitu diberi perhatian.
Pandemik ini juga seolah-olah dipandang ringan oleh orang ramai.
Buktinya, di mana-mana waima di lokasi tumpuan pelancong sekali pun, tidak ramai yang mengambil pendekatan berjaga-jaga antaranya dengan memakai topeng.
Sehinggalah hari ini, wabak yang sudah membunuh kira-kira 250 orang dan menjangkiti 60,000 orang di seluruh dunia itu semakin tersebar luas di negara ini.
Sehingga semalam, 11 lagi kes baru H1N1 dicatatkan menjadikan jumlah kes di seluruh negara sebanyak 93 kes.
Apa yang membimbangkan, kes-kes tempatan juga mula menunjukkan peningkatan.
Ini bermakna, virus itu sudah mula tersebar di kalangan orang ramai yang berhubung secara langsung dengan pembawa virus berkenaan.
Membimbangkan juga apabila pelajar sekolah ketika ini dilaporkan antara yang menjadi mangsa.
Tanpa pengawalan yang ketat, wabak itu boleh menjadi bencana besar kepada negara memandangkan ramai yang terbabit secara langsung dengan persekitaran sekolah.
Kerana itu juga, langkah menutup beberapa buah sekolah yang pelajarnya disahkan positif H1N1 dilihat sebagai jalan pencegahan terbaik bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.
Di beberapa negara seperti di Hong Kong, sekolah-sekolah di sana ditutup selepas beberapa kes H1N1 dilaporkan di kalangan pelajar.
Langkah kerajaan Hong Kong itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana negara itu ketika ini mencatatkan jumlah kes antara yang tertinggi.
Tidak dinafikan, langkah menggantung sepenuhnya sesi persekolahan merupakan antara kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan dalam mencegah penularan wabak itu di negara ini.
Namun, kerajaan perlu berhati-hati dengan langkah ini kerana bimbang ia akan mencetuskan situasi panik di kalangan orang ramai.
Dalam masa yang sama, kerajaan perlu mencari jalan terbaik mengawal penularan wabak itu serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risikonya.
Bagi Pensyarah Kanan ORL, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Irfan Mohamad, selain hebahan media, kerajaan juga boleh mengambil beberapa pendekatan yang dilihat boleh membantu.
Beliau yang baru pulang dari Hong Kong turut berkongsi pengalaman di kalangan orang ramai.
Antaranya ialah dengan menyediakan kemudahan membersihkan tangan menggunakan dispenser automatik yang diletakkan di kebanyakan kawasan awam.
Ia termasuk di lobi-lobi hotel, lapangan terbang, kedai-kedai, kawasan tumpuan pelancong dan banyak lagi.
Tempat-tempat yang biasa dipegang dengan tangan seperti tombol pintu, butang lif, pemegang besi dalam komuter dan pengangkutan awam pula sentiasa dicuci dengan antiseptik.
''Sesetengah tempat yang sering dipegang itu pula dicuci sekerap sejam sekali. Butang lif misalnya, dilapik dengan plastik bagi memudahkan tujuan mencuci," ujar beliau.
Memandangkan virus H1N1 ini masih belum ditemukan antivirusnya, maka langkah terbaik yang diambil oleh seluruh negara ketika ini ialah dengan mengkuarantin pesakit.
Di negara yang terjejas teruk seperti Mexico, Australia dan Amerika Syarikat, kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya, restoran dan pub ditutup.
China dan Rusia pula mengharamkan import daging babi selain mengenakan kawalan pemeriksaan ketat ke atas pelancong.
Bagaimanapun, kita perlu mengakui bahawa kebanyakan kes yang berlaku di negara ini berpunca daripada virus H1N1 yang diimport dari luar negara.
Ini bermakna langkah terbaik ialah menghalangnya daripada memasuki negara ini dari mana-mana pintu masuk utama.
Secara mudahnya, kerajaan boleh sahaja mengeluarkan arahan supaya semua penerbangan terutama dari negara yang terjejas teruk dengan wabak H1N1 tidak dibenarkan masuk ke negara ini.
Namun, mengongkong pergerakan manusia seperti itu bukanlah sesuatu yang praktikal dan kerajaan juga mungkin terpaksa berdepan dengan kecaman daripada negara lain.
Apa yang mungkin boleh dilaksanakan ialah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada orang ramai supaya tidak menangguhkan perjalanan ke luar negara apatah lagi untuk tujuan bersetuju.
Dalam masa yang sama, kerajaan perlu meningkatkan pemeriksaan kesihatan di pintu masuk utama lebih-lebih lagi di lapangan terbang.
Ketika ini, langkah pencegahan di pintu masuk utama itu sudah pun dilaksanakan dan ia sebenarnya jauh lebih ketat jika dibandingkan dengan beberapa negara lain.
Malah, kerajaan turut mengambil langkah mewartakan borang pengisytiharan kesihatan bagi membolehkan pemantauan ke atas penumpang dilakukan dengan lebih terperinci.
Bagaimanapun dengan kepantasan wabak ini tersebar, kerajaan tiada pilihan selain meningkatkan proses saringan dan pemeriksaan supaya tidak ada penumpang dengan simptom dijangkiti virus H1N1 lepas bebas.
Pemeriksaan yang ketat juga tambah Irfan, perlu bagi mengelak kemungkinan terdapat penumpang yang tidak jujur dalam mengisytiharkan status kesihatan mereka.
''Ini kerana mungkin terdapat penumpang yang dengan sengaja menyembunyikan simptom-simptom seperti batuk, demam dan selesema yang dihidapi mereka kerana bimbang percutian mereka terganggu," ujar beliau.
0 comments:
Post a Comment