Minda Pengarang: Faedah sumbangan Petronas terus dinikmati rakyat

Minda Pengarang: Faedah sumbangan Petronas terus dinikmati rakyat


KEUNTUNGAN diraih Petronas bagi tahun kewangan berakhir Mac lalu membolehkan syarikat minyak itu menyumbang sejumlah RM74 bilion melalui cukai dan dividen kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak. Sumbangan Petronas tahun lalu kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan mencecah hampir 45 peratus berbanding 36.8 peratus pada 2007. Malah, sejak lima tahun lalu Petronas sudah menyumbang RM267.7 bilion kepada kerajaan untuk kegunaan mengurus dan membangunkan rakyat serta negara. Syarikat yang tersenarai dalam majalah Fortune 500 dan antara syarikat terkaya di dunia itu cukup membanggakan rakyat negara ini kerana mampu bukan saja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah berjaya membuka ruang kepada penduduk tempatan untuk bekerja membangunkan industri berasaskan minyak di luar negara. Dengan merekodkan pendapatan tertinggi sejak penubuhannya pada 1974 iaitu sebanyak RM264.2 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu - meningkat 18.4 peratus berbanding tempoh sama sebelum itu - memperlihatkan kejayaan hala tuju yang dibawa pengurusan Petronas. Ini sekali gus memenuhi harapan rakyat untuk melihat Petronas bukan saja berkembang di dalam negara, malah memberi impak kepada dunia, terutama di rantau yang menjadi tumpuan pelaburan syarikat itu. Walaupun keuntungan bersih merosot 14 peratus kepada RM52.5 bilion berikutan kemerosotan harga minyak tahun lalu, Petronas masih boleh berbangga dengan pencapaiannya berbanding gergasi petroleum lain yang turut mengalami kerugian teruk berikutan harga minyak rendah di peringkat global.

Kejayaan Petronas ini perlu kita kekalkan, terutama dari segi pengurusannya yang cukup berkesan kerana ia satu-satunya syarikat milik kerajaan yang bukan saja dihormati di dalam negara malah syarikat gergasi minyak dunia yang dikagumi dengan keupayaannya beroperasi di 30 negara dalam masa yang cukup singkat. Kita amat berharap kerajaan dapat mengekalkan corak pengurusan yang diperkenalkan Petronas selama ini, yang lebih bersifat autonomi dengan kurang campur tangan kerajaan. Ini amat penting untuk membolehkan syarikat minyak negara terus maju, walaupun berdepan dengan turun naik harga minyak yang tidak menentu sekarang. Kita yakin kepemimpinan Presiden dan Ketua Pegawai Operasinya, Tan Sri Mohd Hassan Marican, mampu berdepan kemelut pasaran minyak sekarang, termasuk usaha mengurangkan kos operasi yang semakin meningkat pada masa ini. Dengan sumber simpanan petroleum negara yang semakin berkurangan, kita berharap Petronas dapat memberi perhatian bagi mengukuhkan struktur perniagaan dan operasi syarikat terutama di luar negara. Syarikat minyak itu tidak boleh lagi bergantung kepada sumber minyak negara, walaupun eksplorasi di kawasan luar pantai negara terutama di kawasan laut dalam, menunjukkan negara masih mempunyai simpanan minyak yang banyak kerana kos pengeluarannya cukup tinggi. Apapun, rakyat negara ini perlu berterima kasih kepada Petronas dan kakitangannya yang bertungkus-lumus untuk membuktikan syarikat milik negara mampu untuk bersaing di peringkat global dengan mencatat keuntungan besar. Sumbangannya kepada pendapatan negara membolehkan seluruh rakyat menikmati faedahnya dan inilah perbezaan Petronas berbanding syarikat minyak utama lain di dunia.

0 comments: