Pakistan terperangkap dalam perang dicipta
Oleh Ayesha Haroon
PASUKAN tentera diletakkan di seluruh Pakistan bagi menangani sebarang kemungkinan.
Tiada usaha ikhlas kerajaan pulih demokrasi, tangani kemelut di wilayah bergolak
HARI ini, Pakistan menjadi negara yang terperangkap antara tentera sendiri dan puak Taliban - menangani perang yang bukan 'perang' mereka.
Penduduknya sentiasa hidup dalam ketakutan - bimbang dengan ledakan bom atau diserang penyerang berani mati. Pada bila-bila masa saja, masjid, kafe internet atau restoran tepi jalan, boleh diserang. Kebanyakan rakyat Pakistan kini sudah terlalu biasa dengan pasukan tentera yang diletakkan hampir di seluruh negara.
Pihak bertanggungjawab kerajaan dan tentera Pakistan, di samping negara-negara Barat menyedari betapa buruknya tindakan tentera di Swat dan Buner baru-baru ini jutaan manusia tidak berdosa dibiarkan melindungi diri sendiri ketika bom menghujani mereka.
Mereka tidak diarah meninggalkan kediaman masing-masing, sebaliknya dibiarkan membuat keputusan sendiri. Justeru, mereka terpaksa berjalan berhari-hari lamanya, semata-mata untuk mencari kawasan perlindungan yang lebih selamat.
Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pakistan percaya bahawa satu-satunya tugas mereka adalah untuk mengekang puak Taliban daripada terus bermaharajalela.
Apa yang berlaku, hanya selepas kumpulan pelarian meningkat sehingga 1.5 juta orang dan menjadi bencana kemanusiaan terburuk dunia sejak pembunuhan beramai-ramai di Rwanda, baru negara luar termasuk AS membuat keputusan menghantar bantuan kecemasan.
Sekiranya Kerajaan Pakistan dan rakan-rakannya tidak menerima hakikat bahawa penderitaan rakyat sebenarnya boleh dielakkan, rantaian bencana yang sama akan berlaku apabila pasukan tentera memperhebatkan operasi di Waziristan dan beberapa daerah lain.
Pentadbiran AS amat bimbang dengan kemaraan puak Taliban ke dalam kawasan Pakistan. Apa lagi rakyat Pakistan sendiri. Tetapi kedua-dua pihak ini mempunyai dua jenis kebimbangan yang berlainan bergantung kepada perbezaan persepsi dan suasana dialami.
Media dan Kerajaan AS memberi tumpuan kepada retorik yang dicetus terhadap kemungkinan senjata nuklear Pakistan akan jatuh ke tangan puak Taliban.
Negara barat lain, seperti diluahkan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown baru-baru ini ancaman yang lebih condong kepada keganasan yang berlaku di sempadan Afghanistan dan Pakistan, akhirnya akan membahayakan keselamatan dunia.
Sebaliknya, rakyat Pakistan sendiri terpaksa berdepan dengan puak Taliban yang tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan dan bertindak ganas. Ledakan bom dan serangan berlaku di seluruh negara.
Pembunuhan Benazir Bhutto, gambaran ngeri yang disiarkan televisyen hampir setiap hari dengan manusia bergelumang darah dan diharungi lalat, semakin menggerunkan rakyat negara itu.
Hari ini, puak Taliban mula mengebom sekolah yang menerima pelajar wanita dan menyeksa wanita. Ini bukan wajah Pakistan sebenarnya. Sekiranya inilah perangai rakyat Pakistan, puak Taliban di daerah Swat tidak perlu mengebom sekolah kerana penduduknya sudah pasti tidak teragak-agak untuk menghalang anak perempuan mereka ke sekolah.
Penduduk lelaki dan wanita di Swat percaya mereka perlu memiliki ilmu pengetahuan, tetapi puak Taliban mengugut mereka yang berani untuk menuntut hak dari segi undang-undang atau perlembagaan.
Seperti diakui Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, di hadapan sebuah jawatankuasa Dewan Senat baru-baru ini - puak Taliban yang buta huruf, bersenjata dan berpegang kepada fahaman Wahabi ini sebenarnya diimport oleh AS dari Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain, bertujuan untuk melemahkan pencerobohan Soviet di Afghanistan pada 1980-an.
Selepas misi berjaya dan Soviet dihalau keluar, virus fahaman Wahabi dibiarkan merebak ke kawasan sempadan Pakistan.
Dalam tempoh lapan tahun pemerintahan diktator Jeneral Pervez Musharraf, tentera AS dan Pakistan menentang puak Taliban dalam wilayah puak etnik Pakistan. Tetapi serangan yang berlaku hanya sekali-sekala saja mendapat liputan berita.
Media massa tidak dibenarkan memasuki kawasan terbabit dan ramai wartawan tempatan terbunuh dalam suasana yang amat mencurigakan. Timbul alasan mudah mengapa Musharraf menjadi 'anak kesayangan' (blue eyed boy) media Barat kerana dia tidak menghadapi masalah untuk menyempurnakan tugas diberi.
Musharraf dan tentera Pakistan berjaya menangkap dan menyerah ramai anggota Al-Qaeda yang amat dikehendaki AS, antaranya Khalid Sheikh Mohammed serta beberapa rakyat Mesir, Yaman, Arab Saudi dan lain-lain.
Bagaimanapun bagi rakyat Pakistan, undang-undang tentera Musharraf mencabul hak asasi mereka. Dia memberi tekanan kepada media setiap kali tidak bersetuju dengan laporan pengarang, meningkatkan khidmat perisik secara besar-besaran yang campur tangan dalam politik, serta tidak menghiraukan penderitaan rakyatnya.
Selepas lapan tahun dan kerugian berbilion dolar, rakyat Pakistan keturunan Taliban merampas kuasa di wilayah Swat, mengganas di daerah jiran, Buner dan menyebarkan kegerunan kepada seluruh rakyat negara itu.
Era pasca Musharraf, demokrasi Pakistan agak rapuh. Malah hari ini, tumpuan kerajaan terus kepada usaha menangani pembunuhan dan pengeboman yang berlaku. Tidak ada usaha yang benar-benar ikhlas pada peringkat politik arus perdana untuk menangani kemelut di wilayah bergolak, tidak ada usaha untuk memulihkan demokrasi di kawasan terbabit.
Lebih buruk tidak ada sebarang peruntukan disediakan untuk membantu hospital di Peshawar dan mana-mana hospital lain dengan bank darah yang mencukupi atau unit trauma walaupun hampir setiap hospital menerima mangsa serangan bom hampir setia masa.
Tentera Pakistan lebih suka dilihat sebagai penyelamat negara daripada membetulkan keadaan, apa lagi untuk membuat keputusan yang boleh mengubah haluan dengan mematuhi perlembagaan negara itu.
Pada masa sama, kerisauan dan kebimbangan rakyat terus dibiarkan. Banyak persoalan tercetus terutama apabila semakin ramai rakyat menjadi pelarian, meninggalkan rumah tangga, harta benda dan tidak tahu bila akan kembali ke daerah masing-masing, serta semakin banyak tanah perkuburan wujud mencemarkan pemandangan indah lanskap negara itu.
Adakah parti politik satu hari nanti akan insaf bahawa mereka mesti berhenti melihat kepada AS dan mula menghulur bantuan kepada rakyat sendiri.
Persoalan lebih penting yang perlu diutarakan - adakah wajah musuh yang ada sekarang dapat dilihat dengan jelas? Siapa yang membekalkan senjata dan wang kepada puak Taliban? Dan adakah tentera Pakistan benar-benar mahu mengakhiri perang di negara sendiri?
Penulis ialah pengarang The News International di Lahore dan felo bersekutu di Asia Society. (Rencana disediakan oleh Project Syndicate)
0 comments:
Post a Comment