Malaysia syurga penggambaran

Malaysia syurga penggambaran

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my



KETIKA Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Filem Negara, pembikin filem tempatan mahupun kementerian berkaitan sibuk mengutarakan isu memperkenalkan budaya serta identiti Malaysia ke seluruh dunia menerusi filem, Malaysia sebenarnya sudah berada di hati segelintir pembikin filem dunia.

Jika bukan atas dasar impak dan kualiti dari filem buah tangan anak Malaysia, setidak-tidaknya pemilihan Malaysia sebagai latar perfileman antarabangsa, sudah cukup untuk menyuntik rasa bangga semua, warganegara Malaysia khususnya.

Paling ketara, kemegahan Menara Berkembar Petronas bukan hanya menjadi mercu tanda Malaysia bahkan menjadi titik tumpu kepada pembikin filem luar memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran mereka.

Turut menjadi salah satu ikon dunia, tidak keterlaluan untuk menyatakan Menara Berkembar Petronas yang dibuka secara rasmi pada 31 Ogos 1999 merupakan identiti wajib kepada Malaysia.

Dunia mungkin kurang mengenali Malaysia tetapi kewujudan menara berkembar itu yang pernah menjadi bangunan tertinggi dunia dari tahun 1998 sehingga 2004 sebelum diambil alih oleh bangunan Taipei 101 cepat memancing para pembikin filem dunia memilih Malaysia atau Kuala Lumpur sebagai lokasi penggambaran.




Selain faktor ketinggian yang menarik perhatian ramai, struktur bangunan dan rekaan sofisikated turut menyumbang kepada populariti menara tersebut.

Filem Hollywood, Entrapment yang dibintangi aktor terkemuka, Sean Connery dan Catherine Zeta Jones telah membantu memperkenalkan Malaysia umumnya kepada dunia.

Walaupun menimbulkan kontroversi kerana menggambarkan Menara Berkembar Petronas berlatarbelakangkan kawasan perkampungan yang dirakamkan di Melaka, filem itu tidak dinafikan telah melonjakkan nama Malaysia.

Turut menjalankan penggambaran di stesen kereta api transit ringan (LRT), Bukit Jalil, kejayaan filem Entrapment telah mengundang lebih ramai pembikin memilih lokasi sama untuk rakaman termasuk filem Hindustan, Phir Bhi Dil Hai Hindustani (2000) yang dijayakan oleh Shahrukh Khan dan Juhi Chawla.

Pada tahun 2006, menara itu sekali lagi dijadikan fokus dalam filem iaitu dalam projek Bollywood, Don - The Chase Begins Again yang juga dibintangi Shahrukh Khan dengan Priyanka Chopra dan Kareena Kapoor.


REEMA


Mencatat kejayaan komersial, filem itu yang dirakamkan sebanyak 80 peratus di Malaysia juga memperkenalkan 42 lokasi menarik seperti Pulau Langkawi, Jalan Masjid India, Kampung Baru serta beberapa lokasi di sekitar ibu kota.

Disebabkan hampir kesemua filem Bollywood yang dirakamkan di Malaysia disertai Shahrukh Khan, dia telah dianugerahkan gelaran Datuk oleh negeri Melaka, tahun lalu.

"Ia satu penghargaan kepada saya dan juga semua aktor dari India. Saya sangat gembira kerana berjaya menawan ramai peminat di Malaysia.

"Apa yang lebih membanggakan, saya menerima anugerah yang diberikan oleh negara yang tidak memahami bahasa saya," kata Shahrukh Khan yang turut berlakon di Melaka untuk filem One 2 Ka 4 pada tahun 2001.

Menurutnya, Melaka merupakan sebuah tempat yang cantik dan dia akan kembali untuk berlakon dan bercuti di negeri itu.

"Melaka sangat cantik dan saya akan mempromosikan negara ini dengan menjalankan penggambaran di sini dalam masa terdekat.

"Selain berlakon, saya akan kerap datang bercuti dan melawat Malaysia. Saya amat mencintai Malaysia," katanya yang mungkin merakamkan filem Happy New Year di Malaysia.


PENGGAMBARAN filem The Life Is So Beautiful memakan masa hampir sebulan di malaysia.


Banyak sebabnya mengapa Malaysia dipilih sebagai lokasi penggambaran terutama untuk produksi Bollywood. Bukan sahaja kerana pangkalan peminat yang ramai, kepelbagaian tempat pelancongan serta budaya turut menyumbang kepada faktor Malaysia menjadi pilihan utama.

Malah mungkin tidak diketahui ramai, produksi filem Pakistan sebenarnya pernah menggunakan Malaysia sebagai latarbelakang filem mereka.

Terbaru, kehadiran pengarah, penerbit dan aktres popular dari Pakistan, Reema Khan yang menjalani penggambaran filem terbarunya, The Life Is So Beautiful di Malaysia membuktikan negara kita tidak pernah berhenti menerima kunjungan produksi filem luar.

Ditemui di taman tema air, Sunway Lagoon semasa menjalankan penggambaran filemnya, Reema berkongsi pandangan mengenai keunikan Malaysia sehingga menawan hatinya sebagai lokasi utama penggambaran.

Bakal berada di Malaysia selama sebulan, Reema memilih Putrajaya, Istana Budaya, KLCC, Cameron Highlands, Sunway Lagoon, Pulau Langkawi dan sekitar kawasan Kuala Lumpur bagi menyempurnakan produknya.

"Malaysia bagi saya adalah seperti syurga di bumi. Saya sendiri telah datang ke negara ini dan memilih lokasi penggambaran. Walaupun saya pernah berlakon di pelbagai negara seperti Kanada, Amerika Syarikat, Thailand, Australia, Turki dan Filipina, saya menyukai Malaysia," kata Reema yang fasih berbahasa Inggeris.


REEMA terkejut Shah Rukh diberikan gelaran Datuk oleh Malaysia.


Merupakan filem arahan kedua Reema, ini juga kali kedua aktres kelahiran Lahore itu melakukan penggambaran di sini. Filem pertamanya, Koi Tujh Sa Kahan (Who Is Like You) menerima sambutan memberangsangkan di United Kingdom (UK) serta Pakistan semasa ditayangkan pada Ogos 2006. Apa yang menarik, poster filem itu turut memaparkan imej menara kebanggaan Malaysia sebagai penghias.

"Pertama kali saya menjejak kaki ke Malaysia adalah pada tahun 2003. Ketika itu saya datang untuk merakamkan iklan Pepsi untuk pasaran antarabangsa. Setahun kemudian, saya turut terlibat dalam iklan Pepsi dan mereka mahu menjalankan penggambaran di Thailand.

"Namun, disebabkan terlalu menyukai Malaysia, saya telah meminta mereka untuk menjalankan penggambaran di sini. Tahun 2005 pula, saya telah mencatat sejarah penting dalam hidup saya kerana telah mengambil cabaran untuk menjadi pengarah.

"Produksi pertama saya itu telah direalisasikan di Malaysia. Saya turut melawat negara ini pada tahun 2006 dan 2007 untuk iklan dan majlis anugerah Lux. Tahun lalu pula saya datang untuk menjalankan recee bagi penggambaran kali ini," jelasnya.

Melihat kepada kekerapan Reema mengunjungi Malaysia, rasanya bukan sahaja kerana keindahan Malaysia yang menarik perhatiannya. Akui Reema, dia telah menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya.

"Malaysia merupakan negara Islam dan sebagai orang Muslim, saya berasa selesa di sini. Masyarakat di sini ramah dan rendah diri. Mereka suka senyum dan itu membuatkan saya sentiasa ingin pulang ke sini untuk bercuti atau bekerja.


REEMA (kanan) memberi arahan ketika penggambaran di Sunway Lagoon.


"Ditambah dengan makanan, budaya dan keindahan yang ditawarkan, saya tidak dapat memikirkan alasan lain untuk tidak memilih Malaysia," katanya yang juga merupakan penulis kolum bagi suratkhabar Khabreen di Pakistan.

Mula menceburi dunia hiburan pada usia 14 tahun, Reema pernah berlakon dalam 185 buah filem. Namun, disebabkan sudah muak dengan watak-watak yang sama, Reema mengambil keputusan untuk mengarah pada tahun 2005.

Walaupun kerja mengarah amat sukar dan tidak mempunyai masa rehat yang mencukupi, Reema suka apabila berpeluang untuk bekerja dengan orang-orang berbakat dari luar. Contohnya kali ini, dia berganding dengan syarikat Malaysia, Gemba Trans & Tours Sdn. Bhd. serta Skylink Management.

"Saya pernah bekerjasama dengan mereka empat tahun lalu dan berpuas hati dengan hasil kerja mereka. Jadi kali ini saya memilih untuk menggunakan khidmat Malaysia termasuk pelakon baru bernama Mariam," tambahnya mengenai filem yang bercerita mengenai kehidupan dan cinta yang tidak mengenal bangsa.

Turut dibintangi Ali Saleem, Johnny Lever, Moammar Rana dan dirinya sendiri, filem dalam bahasa Urdu akan ditayangkan penghujung tahun ini di Pakistan dan Malaysia. The Life Is So Beautiful turut akan menyertai Festival Filem Islam pertama di Malaysia pada November nanti.

Melihat kerjasama ini sebagai satu usaha mengeratkan hubungan Malaysia dan Pakistan, Reema tidak menghadapi sebarang masalah dalam mendapatkan kebenaran untuk menjalankan penggambaran. "Tidak ada masalah langsung. Semasa saya menghantar borang permohonan, pihak kedutaan di Malaysia banyak membantu.

"Ditambah dengan kerjasama orang tempatan, semuanya berjalan lancar. Mereka tahu saya mahu membantu mempromosi budaya dan negara ini," ujarnya yang akan menjalankan proses pasca produksi di India dan Thailand.

Memiliki syarikat produksi M & RK Production yang berpaksi di UK dan Pakistan, Reema suka menonton drama-drama Malaysia dan berharap untuk bekerjasama dengan pelakon Malaysia. Cuma apa yang membuatkan hatinya terkilan adalah kekurangan publisiti media tempatan terhadap filem-filem Pakistan.

"Saya sebenarnya agak terkejut apabila Shahrukh Khan dianugerahkan gelaran Datuk. Dia tidak pernah menerbit atau mengarahkan filem di Malaysia. Mungkin disebabkan produksi Bollywood lebih popular. Maka, mereka diberi lebih perhatian.

"Bukannya saya berasa cemburu atau marah tetapi saya dan filem saya telah melakukan banyak benda untuk mempromosi Malaysia. Sekurang-kurangnya kami mahu dihargai dan dibantu dari segi promosi," ujarnya.

0 comments: