Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my
Tiga juara bina badan berkongsi pengalaman dan pandangan berhubung masa depan sukan bina badan.
SIAPA tidak kenal dengan wajah Malek Noor dan Sazali Samad? Ya, kedua-duanya cukup dikenali melalui sukan bina badan.
Adakah ini satu gaya hidup atau sekadar sukan kegemaran masing-masing?
Umpama menggadaikan diri bertahun-tahun menahan sakit pada otot yang koyak, aktiviti bina badan memerlukan kekuatan mental dan fizikal hampir berpuluh-puluh kali ganda berbanding dengan senaman di gimnasium.
"Kekuatannya tidak datang bergolek. Jika diri tidak ghairah dari segi visual dan kehidupan realiti, keserasian sukar dikecapi dalam masa yang diperuntukkan," ujar Ubaidillah @ Nasri Ab. Latif.
"Ia sememangnya satu gaya hidup. Tak kira apa orang kata tetapi hanya mereka yang mampu dan benar-benar 'gila' boleh menjadi seorang juara dalam mengejar impian," tambah Ubai mengulas komitmen dan dedikasi dalam waktu 24 jam sehari bagi seorang ahli bina badan.
24 jam? Bukankah itu terlalu obses? Mungkin tidak, memandangkan penjagaan kesihatan, pemakanan dan senaman yang dilakukan tidak hanya meliputi satu-satu tempoh masa yang tertentu dalam sehari atau seminggu. Kadar konsisten dan kelangsungan amatlah penting bagi memastikan otot yang dibina tidak mengendur atau mengecut dan menggeleber.
"Sebab itulah, saya menegaskan bahawa ia adalah satu trend kehidupan dan bukan sejenis sukan semata-matanya," jelas arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini.
Beliau yang berkecimpung dalam sukan bina badan sejak tahun 1999, perlu mengharungi pelbagai cabaran dan detik-detik getir. Cabaran pertama adalah berdepan dengan keluarga yang melarang Ubai meneruskan hasratnya.
Daripada seorang yang makan sederhana dengan berat badan 48 kilogram pada usia 20-an, ibu bapanya yang terlibat dalam bisnes pemakanan dan penjagaan kesihatan, bimbang dengan jumlah hidangan yang diambil Ubai dalam kuantiti yang besar.
Hari ini, berat badannya mencecah 103 kilogram pada hari-hari biasa tetapi dikurangkan kepada 96 kilogram sekiranya perlu menyiapkan diri untuk pertandingan.
Muncul pula cabaran kedua iaitu kesuntukan bekalan kewangan yang terhad semasa masih belum bekerja tetapi melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Walaupun Ubai dapat menggunakan peralatan senaman di gimnasium Universiti Teknologi Mara (UiTM), namun beliau terpaksa membuat kerja sampingan bagi menampung perbelanjaan membeli makanan tambahan dan suplemen.
"Sekiranya musim pertandingan, saya perlu berhabis hampir RM3,000 dalam tempoh tiga hingga empat bulan bagi mempersiapkan diri dengan makanan yang bernutrisi, pengambilan vitamin dan minuman yang berkhasiat," jelasnya.
"Atlet bina badan perlu menyediakan otot yang sesuai agar ia berkembang dengan sepatutnya. Macam bina bangunan, kalau tidak ada bahan binaan, macam mana hendak mendirikan strukturnya," tambahnya.
Selain itu, Ubai berkata, atlet bina badan akan memberi tekanan demi tekanan semaksimum yang boleh pada otot yang sama agar ia membesar seperti yang dimahukan.
Kejuaraan pertama yang dicapainya adalah di Sabah dengan membawa pulang gelaran Mr. Gym Sabah pada 1999. Sejak itu, Ubai tidak pernah menoleh ke belakang, biarpun selepas mendirikan rumah tangga dengan Rohani Yusuf. Kini, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Walaupun ada segelintir pihak menggambarkan dirinya sebagai antisosial kerana kurang meluangkan masa keluar bersukaria, Ubai lebih gemar menghabiskan masa senggangnya di pusat gimnasium California Fitness di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, lima kali seminggu.
Baru-baru ini, Ubai muncul sebagai juara Mr. Kuala Lumpur 2009.
|
|
Bagi Mohd. Zaha Abdul Hamid, 29, pula, beliau tidak pernah terfikir untuk melatih dirinya dalam sukan lasak ini sehingga menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Atas pelawaan seorang jurulatih bina badan, Zaha mencuba nasib lalu terpikat dengan 'teman' hidup barunya.
Tahun lalu, dia berjaya meraih gelaran Mr. ATM di tempat kedua dan hujung Mei lalu, menjuarai kategori novis pertandingan bina badan Mr. Gym & Man 'O' Classic, bersempena sambutan Hari Belia Kebangsaan di Kompleks Rakan Muda, Klang, Selangor.
"Saya agak bertuah kerana di TUDM, saya dan rakan-rakan menerima sokongan dan galakan. Bajet khas juga diperuntukkan di samping menyediakan hidangan makanan yang berkhasiat," kata Zaha yang merupakan bekas pelari pecut di bangku sekolah.
Setiap hari, kecuali hari Sabtu dan Ahad, Zaha akan berlatih pada waktu pagi dan petang. Pada hujung minggu, Zaha menukar jadual senaman kepada aktiviti lain seperti berenang. Semasa on season, yang mengambil persediaan masa tiga bulan sebelum melayakkan diri ke sesebuah pertandingan, Zaha turut berlatih pada hari Sabtu dengan tambahan masa dua jam.
Mengambil Sazali Samad sebagai pendorong hidup, Zaha dan Ubai mengeluh hakikat bahawa sukan ini kurang mendapat tajaan dan publisiti daripada orang luar. Dipandang sebagai sukan kelas dua, atlet seperti dirinya jarang mendapat perhatian sekalipun memiliki bakat berkelas antarabangsa.
Lihat sahaja pada pencapaian Sazali Samad yang sudah empat kali menjuarai kejohanan Mr. Asia. Tidak ketinggalan juga juara Mr. Universe. Anda juga pasti mengenali Malek Noor yang mengukir kejayaan tersendiri.
Dalam pada itu, Rosman @ Asik Hussain Thalha, 36, pemilik kedai Enzo Kopitiam adalah antara individu yang sanggup mengeluarkan duit untuk mengadakan acara sebegini. Sejak tahun 2004, beliau memperkenalkan Anugerah Man 'O' Classic dan menyelitkan kategori novis dari tahun itu.
"Tak lama lagi, sukan ini akan 'mati' jika tidak dibantu dari segi kewangan. Kemudahan gimnasium dan peralatan sukan sudah mencukupi, cuma kemungkinan akan menerima lebih ramai muka baru adalah tipis sekiranya keadaan ini berterusan," keluh Rosman yang memenangi gelaran Mr. Kuala Lumpur pada tahun 1998.
"Di negara jiran seperti Singapura dan Brunei, kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet untuk perbelanjaan bulanan atlet bina badan profesional.
"Kita pun tidak kurang hebat. Rakan seperjuangan seperti Bujang Tahar dan Uncle Vincent, masing-masing sudah berusia 79 tahun dan 78 tahun tetapi masih aktif dan memberi tunjuk ajar kepada atlet bina badan amatur," ujarnya yang berharap dapat menganjurkan pertandingan terbuka trofi bina badan peringkat Asia pada hujung tahun ini atau awal tahun 2010.
Bagaimana pula dengan penglibatan golongan wanita? Kesemuanya kurang bersetuju. Bukan hanya kerana Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada majoriti penduduk beragama Islam yang melarang wanita terlibat dalam aktiviti sebegitu rupa, ia tidak nampak 'cantik' dari luaran dan bertentangan dengan ciptaan sifat feminin pada diri wanita.
1 comments:
SAYA MENJEMPUT ANDA MENJADI AJEN AFFILIATE SAYA. SAYA BRU MENGHASILKAN EBOOK PANDUAN BINA BADAN. LAYARI http://www.jombinabadan.com/
Post a Comment