Nasib lumba kuda Iraq

Nasib lumba kuda Iraq

Kelab yang sebelum ini dikendalikan oleh pihak kerajaan dan kini dimiliki konsortium ahli perniagaan daripada puak Syiah dan Sunnah pernah ditutup selama tiga bulan secara serta-merta selepas kejatuhan regim pimpinan Saddam Hussein enam tahun lalu.


BEBERAPA orang joki serius menunggang kuda masing-masing untuk sampai ke garisan penamat.


TUJUH ekor kuda baka istimewa itu memecut laju di atas trek, meninggalkan gumpalan debu sebelum kuda yang diberi nama Rose dan ditunggang Ali melintasi garisan penamat. Kuda-kuda itu deras berlari akibat dilibas oleh joki yang memakai baju sutera berwarna putih.

Sekumpulan kecil penonton di Kelab Ekuestrian mula bersorak sebelum mereka bergerak menuju ke arah pemenang.

Sementara itu, penonton yang lain berjalan untuk mengutip wang kemenangan atau menebuk lubang senarai peserta untuk perlumbaan akan datang. Senarai itu menyenaraikan nama-nama kuda lumba seperti Lover, Cordoba dan Sharqiya.

Hanya terdapat beberapa ratus peminat lumba kuda berkumpul di satu-satunya trek lumba kuda di Iraq pada petang itu.

Trek yang terletak di bahagian barat bandar itu telah dibuka sejak lebih 80 tahun lalu.

Ia berjaya mengharungi keganasan perang, pencerobohan askar asing dan arahan penutupan oleh kumpulan penegak ajaran agama.

Sehingga kini, trek tersebut masih mampu bertahan di sebalik keganasan antara mazhab di Baghdad yang timbul akibat pencerobohan askar yang diketuai oleh Amerika Syarikat pada tahun 2003.

Namun begitu, ketika bandar utama di Iraq itu terjejas akibat konflik berdarah, selain perang saudara antara puak Syiah dan Sunnah yang memaksa penutupan kelab-kelab malam dan premis hiburan, ajaibnya trek tersebut hanya ditutup buat sementara waktu.

"Inilah satu-satunya tempat di Iraq yang anda boleh melihat perpaduan nasional," seloroh ketua keselamatan trek, Mohammed Baha.

Kelab yang sebelum ini dikendalikan oleh pihak kerajaan dan kini dimiliki konsortium ahli perniagaan daripada puak Syiah dan Sunnah pernah ditutup selama tiga bulan secara serta-merta selepas kejatuhan regim pimpinan Saddam Hussein enam tahun lalu.

Ia nyata dapat bertahan walaupun mengalami masalah kecurian dan dibakar.

"Subsidi daripada kerajaan dibatalkan serta-merta. Kelab itu, kemudiannya berdepan kebankrapan, sebelum pemilik-pemilik kuda dan pengurusnya cuba menyelamatkannya," cerita setiausaha agungnya, Taleb Abdul Hussein.

"Selepas kejatuhan regim Saddam, pemilik kuda dan ahli lembaga trek mula membiayai kelab secara persendirian. Kini, keadaan bertambah baik," kata Hussien yang telah bekerja dalam dunia perlumbaan kuda selama 40 tahun.


SEGELINTIR penduduk Iraq masih tetap berjudi dengan meramal kemenangan kuda pilihan masing-masing walaupun menyedari ia haram di sisi ajaran Islam.


Hussein sangat menghargai sokongan daripada komuniti perlumbaan demi membolehkan kelab ini terus bertahan dalam mengharung waktu-waktu sukar.

"Kerajaan sekarang mengamalkan pendekatan agama yang konservatif. Jadi, mereka tidak berminat untuk menyokong kami," kata Hussien sambil menambah, kelab itu mampu mencatat keuntungan sehingga 32 juta dinar atau AS$27,600 (RM96,600) sebulan.

"Tetapi, komuniti kami sangat kecil dan tertutup. Ia terbina daripada semangat setia kawan yang dipelihara melalui hubungan persahabatan dan menyelesaikan sendiri segala masalah yang timbul," tambahnya.

Biarpun tradisi berkuda di negara Asia Barat sudah berusia berkurun-kurun lamanya, perlumbaan kuda di Iraq hanya bermula sejak tahun 1920-an. Ia mula diperkenalkan oleh kolonial British dan begitu popular dalam kalangan orang kaya serta berpengaruh.

Saddam dikatakan sangat menyukai kuda. Seorang bekas doktor veterinar kandang kuda yang menempatkan 150 ekor kuda milik Saddam Hussein, Mohsin Abed Hussein menyifatkan pemimpin itu sebagai penjaga kuda yang terbaik dalam keluarganya.

Namun begitu, anaknya Uday tidak menunjukkan minat terhadap sukan itu walaupun dia pernah dilantik sebagai presiden kelab ekuestrian.

"Meskipun ada majlis dianjurkan, Uday tidak pernah datang sekali pun ke trek," kata Saad al-Jaburi, seorang pesara general tentera yang bertugas selaku ketua pelayan kelab.

Kekayaan kelab semakin menurun pada tahun 1995 apabila aset kerajaan Iraq mula berkurangan dan merasai kesan sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).


ALI bersama kudanya, Rose. Ali mengakui hidup sebagai joki pada hari ini sukar berbanding sebelum Iraq menerima sekatan PBB.


Zaman kegemilangan perlumbaan kuda sudah lama hilang, ujar ramai pelatih dan joki kuda.

"Perlumbaan pada tahun 1970-an sangat bagus berbanding sekarang," kata Qaduri Hamid Mohammed, 72, seorang jurulatih kuda, Rose yang ditunggang oleh Ali dan berjaya menjuarai banyak perlumbaan.

"Kualiti mereka yang hadir juga baik. Perlumbaan dijalankan dengan begitu teratur, menyebabkan ramai delegasi datang dari luar negara. Perlumbaan kuda sangat dihormati dan menjadi aktiviti golongan atasan.

"Sekarang, keadaan agak kucar-kacir. Sesiapa sahaja dengan mudahnya boleh masuk ke dalam kelab. Malah, treknya pula terdiri daripada tanah berdebu berbanding rumput hijau sebelum ini," jelasnya.

Joki yang dilatih oleh Mohammed, Firas Majeed, 32, kini memperoleh gaji sekitar 80,000 dinar (RM244.00) sebulan. Dia mengakui hidupnya sekarang sangat sukar.

"Kami pernah mendapat gaji yang tinggi, insurans, boleh membeli kereta dan rumah. Tetapi sekarang, kami tidak memiliki apa-apa," katanya. - AFP

0 comments: