Oleh JOHANNA A. SOBREY
johanna.sobrey@kosmo.com.my
Wanita Iran tidak dihalang bermain bola sepak tetapi mereka perlu mematuhi pelbagai syarat. Bagaimanakah mereka akhirnya boleh membuat sepak mula di padang yang dipenuhi penonton?
BOLA SEPAK merupakan sukan paling popular di dunia. Ia dimainkan oleh segenap lapisan masyarakat, sama ada lelaki mahupun wanita.
Namun di Iran, untuk mempunyai sebuah pasukan bola sepak wanita kebangsaan, ia bergelut dengan pelbagai halangan sebelum boleh ditubuhkan.
Pasukan wanita itu hanya mendapat kebenaran bermain secara terbuka pada tahun 2006, iaitu setahun selepas penubuhannya.
Pasukan tersebut berhadapan dengan pelbagai batasan termasuk kod pemakaian yang ketat seperti wajib mengenakan seluar dan baju berlengan panjang selain hijab sukan yang direka khas.
"Mereka juga hanya boleh bermain di hadapan penonton wanita sahaja untuk perlawanan di tanah air mereka," ujar Pengarah yang juga Ketua Pegawai Operasi Oak3 Films Pte. Ltd., Zaihirat Banu Codelli dalam satu temuramah telefon yang diadakan baru-baru ini.
Menurut wanita yang mengarahkan dokumentari Veil of Dreams itu, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai cabaran di negara yang berpegang kuat pada adat termasuk tentangan rakyat negara itu, pasukan wanita bola sepak kebangsaan Iran menunjukkan semangat yang sangat tinggi.
Bersama krew penggambaran yang juga terdiri daripada wanita, Codelli mengambil masa dua minggu untuk merakam pergelutan pasukan itu untuk melayakkan diri dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Asia Wanita 2008 dengan menghadapi pasukan wanita India.
"Mereka tidak sedih dengan keadaan yang menimpa. Setiap ahli pasukan itu terus bermain dengan penuh semangat," kata Codelli sambil memaklumkan bahawa perlawanan dengan India merupakan antara perlawanan antarabangsa terawal pasukan Iran.
Dokumentari itu bukan hanya berkenaan bola sepak dan persediaan pasukan tersebut, tetapi perkongsian hidup, perasaan, aspirasi dan juga cita-cita pasukan tersebut.
Ini menjadikan sukan itu bersifat personal dan boleh dikaitkan dengan masyarakat dunia lain.
"Dengan pelbagai halangan dan isu yang terus timbul seperti ketiadaan pengalaman bermain di luar negara dan dilarang bermain di depan penonton lelaki, wanita-wanita yang berusia antara 15 sehingga 30 tahun ini tidak gentar," kata Codelli.
Halangan tidak hanya dikenakan kepada pasukan tersebut tetapi terhadap krew penggambaran Codelli sendiri.
Malah, wanita itu mengakui bahawa mereka terpaksa menggunakan pelbagai helah agar dokumentari yang direkod dapat diseludup keluar.
"Kamera kami pernah dirampas dan juga penggambaran selama enam jam pernah dimusnahkan," kata Codelli yang telah melakukan penyelidikan selama setahun sebelum penggambaran dimulakan pada bulan November 2007.
Diberitahu bahawa mereka tidak dibenar merakam perlawanan antara India dengan Iran kerana pasukan lawan itu tidak memakai hijab, Codelli dan krewnya mengambil langkah berani dan mencuba nasib mereka.
"Pada tiga hari pertama kami banyak melakukan penggambaran di luar stadium. Pada hari perlawanan itu, kami berjaya memasuki stadium seminit sebelum perlawanan bermula dengan menyamar seperti krew FIFA dengan membawa masuk tiga buah kamera.
"Walaubagaimanapun apa sahaja perlawanan yang dirakam, ia harus diisytiharkan dan dipulangkan kepada Persekutuan Bola Sepak Iran. Oleh itu, semasa perlawanan kami kerap menukar pita," ujar beliau.
Untuk mengelakkan pita mereka dirampas, Codelli menambah, saya menyertai keraian pasukan itu di padang selepas perlawanan dan dengan penuh berhati-hati memberikan pita terbaik kepada produser saya.
"Saya diberikan perhatian teliti oleh pihak berkuasa semasa perlawanan itu," kata wanita itu yang mengakui bahawa pengalaman membuat penggambaran di Iran adalah antara yang paling mencabar dalam pengalamannya selama 13 tahun dalam bidang produksi.
Ketika ditanya mengenai bagaimana idea membuat dokumentari itu tercetus, Codelli menjawab: "Idea timbul apabila saya bertemu dengan seorang produser dari New Zealand yang menyentuh mengenai subjek tersebut.
"Saya tertarik kerana ia mengisahkan semangat wanita-wanita ini," katanya.
Sungguhpun pelbagai syarat dan halangan yang dikenakan baik ke atas wanita Iran atau krew Codelli, wanita itu tetap mengakui Iran merupakan sebuah negara yang kaya dengan warisan dan sejarah dengan rakyat yang sangat mesra.
"Mungkin salah satu kelebihan saya, adalah kerana saya beragama Islam," kata wanita dari Singapura yang berdarah kacukan India dan Cina.
Veil of Dreams akan disiarkan di rangkaian Discovery (Saluran Astro 551) pada pukul 9 malam ini. Siaran ulangan akan ditayangkan pada pukul 1 pagi esok, Ahad (6 petang) dan Isnin (10 pagi).
0 comments:
Post a Comment