Tee Keat kena 'serang' di Parlimen
Oleh NIZAM YATIM
pengarang@utusan.com.my
SEPERTI dijangka sesi sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu kecoh dengan gelagat Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang mengambil kesempatan kehadiran Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk mengasaknya dengan pelbagai soalan mengenai projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Kekecohan bermula apabila Kit Siang bangun mencelah pada sesi soal-jawab bagi melahirkan perasaan tidak puas hati kerana Tee Keat, yang baru pulang dari menghadiri Pertunjukan Udara Paris di Perancis, dilihatnya seperti tidak membuat persediaan secukupnya untuk menjawab di Parlimen.
Tee Keat dalam jawapannya sebelum itu menafikan projek PKFZ menanggung hutang RM12.5 bilion kerana jumlah itu hanya andaian syarikat audit Pricewaterhouse Coopers (PwC) jika Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) menangguhkan pembayaran balik pinjaman kepada kerajaan menjelang tahun 2051.
"Ini jelas tertera dalam laporan PwC yang diumumkan, tetapi senario semasa sekarang memperlihatkan ada tindakan tegas lagi menyeluruh yang digariskan dan diambil oleh Kementerian Pengangkutan dan LPK.
"Hampalah individu putar belit yang menyebarkan pembohongan kononnya hutang PKFZ meningkat kepada RM12.5 bilion sekarang," kata Presiden MCA itu.
Jawapan Menteri Pengangkutan itu tidak memuaskan hati pemimpin veteran DAP itu sehingga menyebabkan beliau bangun mencelah secara tiba-tiba sambil menjerit: ''Projek sudah mati, sudah mati, siapa yang mematikan. Adakah projek ini lombong emas. Jelaskan mengapa kosnya menjadi berlipat kali ganda."
Tingkah laku Kit Siang itu menyebabkan Tee Keat menyindir dengan menyifatkannya seperti dalam keadaan histeria.
Tambah Tee Keat, tiada gunanya beliau bertegang urat dengan Penasihat DAP itu yang dilihatnya tidak faham isu yang diperkata olehnya sendiri.
Pertikaman lidah antara kedua-duanya, kemudiannya berlarutan pada sesi Penerangan Menteri Mengenai Laporan Semakan Kedudukan PKFZ apabila Tee Keat membacakan kenyataan empat muka surat berhubung isu itu.
Kit Siang mendakwa jawapan yang diberikan menteri itu adalah terlalu ringkas dan pendek. Presiden MCA itu didakwanya cuba menyembunyikan penglibatan bekas Presiden parti itu, Tun Dr. Ling Liong Sik dalam kontroversi berkenaan.
Isu itu kembali panas pada Rabu, ketika Kit Siang membahaskan Usul Kementerian Kewangan Mengenai Peruntukan Pengurusan Beberapa Kementerian Ekoran Penyusunan Semula Kabinet.
Dakwaan beliau wakil rakyat Barisan Nasional (BN) terlibat dalam penyelewengan itu telah menyebabkan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) bangun mencelah dan mencabarnya supaya mengulang segala tuduhan tersebut di luar dewan.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang menggulung usul itu pada Khamis juga tidak terlepas daripada asakan Kit Siang yang memintanya memberi penjelasan sama ada Kabinet membincangkan atau tidak pengeluaran surat jaminan kepada projek PKFZ.
Tindakan Kit Siang itu, menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa campur tangan dan dengan nada suara yang tinggi menegaskan bahawa soalan itu tidak seharus ditanya kerana Timbalan Menteri tidak boleh menghadiri mesyuarat Kabinet.
0 comments:
Post a Comment