Maruah negara di tangan diplomat Malaysia
Oleh AZMI HASSAN
SEMEMANGNYA tidak dapat dinafikan diplomat Malaysia yang bertugas di luar negara memainkan peranan yang amat penting bukan sahaja untuk mempraktikkan dasar luar Malaysia tetapi juga untuk menjadi "mata dan telinga" terhadap setiap isu yang membabitkan negara.
Semasa merasmikan Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Malaysia Ke-7 pada Isnin lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengingatkan para diplomat Malaysia supaya sentiasa sensitif terhadap perubahan global. Mereka juga mesti mengenal pasti peluang serta cabaran yang boleh memberi impak positif kepada negara di peringkat antarabangsa.
"Saya percaya kepada para diplomat kita sekiranya mereka dapat melengkapkan diri dengan segala pengetahuan dan berupaya mempertingkatkan kemahiran dalam tugas masing-masing.
"Mereka tahu apa yang patut dilakukan dan bila ada perjumpaan, kita dapat memberikan mereka maklumat terkini serta menentukan apa keutamaan dan fokus yang patut diberikan," tegas Perdana Menteri.
Memang benar Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dan ini sudah tentu memberi kekangan yang begitu besar untuk mengenengahkan dasar luar terutama sekali perkara yang melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS). Menjadi lebih sukar jika Kuala Lumpur dan Washington mempunyai pandangan yang tidak selari mengenai sesuatu isu.
Dalam isu pembangunan nuklear Korea Utara umpamanya, Kuala Lumpur dan Washington mempunyai pandangan yang selari iaitu tingkah laku Pyongyang tidak akan membawa kebaikan bukan sahaja pada Semenanjung Korea malah seluruh rantau Asia Pasifik.
Tetapi Kuala Lumpur dan Washington mempunyai pandangan berbeza mengenai pembangunan nuklear Iran. Kuala Lumpur memahami hasrat Teheran membangunkan program itu untuk meraih kuasa elektrik. Tambahan pula Iran adalah ahli Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan pembangunan program nuklear untuk tujuan keamanan.
Malangnya Washington tidak sependapat dengan Kuala Lumpur kerana White House membuat tafsiran bahawa Teheran mahu membangunkan senjata nuklear.
Di sinilah kepakaran dan kemahiran diplomat diperlukan untuk menghujahkan pandangan Malaysia.
Mungkin ada yang sinis mengenai kemampuan Malaysia sebagai negara kerdil yang sudah tentu tidak mampu mempengaruhi dasar luar AS yang dipelopori oleh Setiausaha Negara AS Hillary Clinton, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan isu besar seperti nuklear.
Pandangan itu mungkin ada kebenarannya. Semasa era pentadbiran George W. Bush yang mempunyai dasar kepimpinan unilateral, iaitu setiap keputusan yang dibuat tidak mengambil kira pandangan negara lain. Tetapi pentadbiran Barack Obama agak berbeza sedikit kerana beliau kelihatan mahu mengambil berat pandangan negara lain dan membuka pintu rundingan.
Obama ditafsirkan mempunyai pandangan yang positif terhadap Malaysia kerana semasa berucap di Kaherah pada 4 Jun lalu, Malaysia telah dikenal pasti sebagai negara Islam yang moden dan progresif.
Ucapan itu dianggap penting dan bersejarah kerana ia melibatkan dasar luar AS terutama sekali yang melibatkan negara Islam, yang sudah tentu bersabit dengan Palestin.
Ia penunjuk positif bagi Kuala Lumpur untuk memainkan peranan penting dalam isu yang melibatkan negara Islam tidak kira sama ada di Asia Barat atau rantau lain.
Diplomat Malaysia sepatutnya menggunakan peluang pandangan positif tersebut sebagai batu loncatan untuk memperjuangkan dasar luar bagi kepentingan Malaysia dan negara Islam lain.
Bukan menjadi kelaziman bagi seorang Presiden dari negara terkuat di dunia menggunakan Malaysia sebagai negara contoh dalam ucapan yang diteliti oleh masyarakat antarabangsa.
Kali terakhir Presiden AS menggunakan nama Malaysia sebagai contoh dalam ucapan ialah pada 11 Februari 2004 iaitu ketika Bush berucap mengenai penularan senjata pemusnah besar-besaran di National Defense University, Washington D.C. Malang sekali penggunaan ungkapan Malaysia pada ketika itu adalah untuk menggambarkan negara ini sebagai transit jaringan pasaran gelap nuklear yang diterajui oleh A.Q. Khan dari Pakistan.
Sudah pasti ramai rakyat Malaysia akan mempersoalkan jika White House mempunyai pendangan positif terhadap Malaysia. Bagaimana mungkin Laporan Penyeludupan Manusia yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS dua minggu lepas meletakkan Malaysia pada tahap yang begitu buruk sekali?
Perlu ditekankan sekali lagi disinilah tugas diplomat Malaysia di luar negeri memainkan peranan masing-masing untuk memperbetulkan tanggapan berat sebelah sesetengah pihak terhadap Kuala Lumpur.
Menarik juga diperkatakan apa yang telah dijelaskan oleh Perdana Menteri mengenai adanya usaha-usaha pihak tertentu untuk memburukkan Malaysia dalam media peringkat antarabangsa.
Di sinilah kepakaran dan kemahiran diplomat Malaysia diperlukan untuk berhujah terutama sekali perkara yang membabitkan maruah dan kedaulatan negara.
Para diplomat juga perlu memahami isu global semasa supaya nasihat yang tepat mampu disampaikan kepada Kuala Lumpur supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan sebelum ia terlambat.
Mahu tidak mahu AS adalah sebuah negara kuasa besar yang mampu mewarnai geopolitik dunia dan ini sudah pasti akan memerlukan Kuala Lumpur sentiasa berurusan dengan Washington.
Tetapi begitu ironis sekali, AS yang juga merupakan rakan niaga terbesar Malaysia masih tidak mempunyai duta yang mewakili negara ke AS.
Segala masalah pelantikan duta perlu diselesaikan dengan segera. Ini kerana setiap detik Malaysia tidak mempunyai duta ke AS, maka Kuala Lumpur akan sentiasa berada dalam landasan yang tidak kukuh apabila berdepan dengan Washington.
PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
0 comments:
Post a Comment