Rahsia Allingham panjang umur

Rahsia Allingham panjang umur




ALLINGHAM menyambut ulang tahun kelahirannya ke-113 pada 6 Jun lalu."ROKOK, wiski dan berseronok dengan wanita-wanita liar." Dalam nada bergurau, Henry Allingham, 113, menjelaskan mungkin itulah rahsia dia panjang umur. Allingham, mahu membuktikan bahawa faktor umur tidak memalapkan karakternya yang gemar bergurau.

Allingham, merupakan salah seorang daripada dua veteran Britain Perang Dunia Pertama yang masih hidup. Beliau yang meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-113 pada 6 Jun lalu, mencatatkan jangka hayat yang menjangkau tiga abad.

Dilahirkan pada 1896, lelaki yang pernah hidup pada zaman perang itu mengakui menjadi simbol pengorbanan dari satu generasi ke satu generasi merupakan satu pengembaraan yang menakjubkan. Beliau yang diraikan pada satu majlis ulang tahun ke-30 pasukan scout tempatan, turut mengimbau memori yang tersimpan 100 tahun yang lalu.

Majlis yang diakhiri dengan acara angkat sumpah itu juga mencatatkan sejarah apabila Allingham satu-satunya ahli scout tertua yang mengangkat sumpah untuk memberi khidmat terbaik kepada Tuhan, Ratu, membantu orang lain dan mematuhi undang-undang Scout.

Allingham menyertai pasukan scout bersama sepupunya pada 1908, setahun selepas pengasas pasukan tersebut, Lord Baden Powell menjemput 22 orang kanak-kanak lelaki menyertai satu kem perkhemahan.


WAJAH Allingham ketika muda.


Kem tersebut diadakan di Brownsea Island di Poole Harbour, selatan England. Meskipun berumur lebih 100 tahun, Alligham mempunyai memori indah yang masih terpahat dalam ingatannya. Alligham masih ingat bahawa dia juga salah seorang yang menyertai perkhemahan tersebut.

"Saya berasa sangat seronok dan mahu menyertainya sebelum itu tetapi tidak dapat melakukannya kerana ibu saya tidak mampu membelikan pakaian seragam," imbas Allingham yang juga bekas anggota Tentera Udara Diraja (RAF), Britain.

Selain diangkat sebagai veteran Britain tertua, beliau merupakan satu-satunya veteran Perang Dunia Pertama dan merupakan salah seorang tentera British yang terselamat dalam peperangan tersebut.

Rahsia panjang umur

Allingham dilahirkan di Clapton, timur London ketika pemerintahan Ratu Victoria berakhir. Beliau turut memegang rekod di Eropah sebagai lelaki ketiga tertua yang masih hidup.

Bagaimanapun, pada 29 Mac 2009, Guinness World Records menggelar Allingham sebagai lelaki tertua di Britian selepas mengambil gelaran tersebut daripada Tomoji Tanabe, 113, yang meninggal dunia di rumahnya, di selatan Jepun ketika tidur.

Beliau meninggal pada 19 Jun baru-baru ini.

"Realitinya, Henry Allingham merupakan lelaki tertua di dunia," ujar jurucakap di salah sebuah organisasi yang mencatatkan maklumat pemecah-pemecah rekod.

Menurut jurucakap tersebut, Tanabe mengamalkan pemakanan yang sihat seperti makan banyak sayur-sayuran. Beliau begitu mempercayai bahawa kunci utama untuk seseorang itu menikmati hidup yang berpanjangan ialah tidak minum minuman keras.

Ketika meraikan ulang tahunnya yang ke-113, Tomoji Tanabe memakai pakaian kimono dan menerima hadiah berupa cawan teh gergasi yang diukir nama dan tarikh lahirnya.


REKOD yang dipegang Tomoji Tanabe selama dua tahun telah diambil alih oleh Allingham.


Ketika sambutan ulang tahunnya, Tanabe berharapa dia dapat hidup dalam tempoh lima tahun lagi.

Tomoji Tanabe, yang dilahirkan pada 18 September 1895, meraikan ulang tahun kelahirannya di kampung halamannya, di Miyakonojo, Kyushu.

Namun, takdir menentukan bahawa dia hanya sempat hidup hingga 19 Jun lalu.

Tanabe pernah meluahkan bahawa dia mahu hidup dalam tempoh lima tahun lagi. Apakah rahsia beliau panjang umur?

"Mengamalkan gaya hidup sihat, mengelak daripada minum minuman keras dan minum susu pada tiap waktu makan tengah hari".

Sambil mengakui hidupnya bahagia, Tanabe juga makan agak banyak. Bagaimanapun, dia berpantang dengan tidak merokok, tidak minum minuman keras atau makan makanan ringan.

Sebelum kematiannya, Tanabe tinggal bersama salah seorang daripada anak dan menantunya. Beliau juga meninggalkan lebih 100 keturunan termasuk lapan anak, 25 cucu, 52 cicit dan enam piut.

Jepun mencatatkan salah sebuah negara di dunia yang mempunyai penduduk yang panjang jangka hayatnya iaitu mencecah 86 tahun untuk wanita dan 79 tahun bagi lelaki.

Ia dikaitkan dengan kemungkinan diet negara tersebut yang kaya dengan ikan dan nasi.

Jumlah warga Jepun yang hidup lebih 100 tahun meningkat dua kali ganda dalam tempoh enam bulan lalu. Ia mencatatkan rekod setinggi 36,000 orang pada tahun ini.

Menjelang 2050, Bangsa-bangsa Bersatu (UN) menjangkakan, populasi warga emas yang berusia 100 tahun ke atas dijangka mencecah satu juta orang iaitu yang paling ramai di dunia.

"Kami ingin melihat lelaki Inggeris memegang rekod dunia sebagai lelaki tertua selepas Frederick Butterfield, 110, dari England memegang rekod yang sama. Bagaimanapun, beliau meninggal dunia lebih 35 tahun lalu," ujar Ketua Pengarang Guinness World Records, Craig Glenday.

Allingham dianggap simbol yang unik. Beliau mendedahkan rahsia bahawa rakyat Britain hidup lama. Pada 1911, ketika beliau remaja, dianggarkan terdapat hampir 100 warga emas yang berusia 100 tahun ke atas di Britain. Tiga tahun lalu, angka tersebut mencecah hingga 8,970 orang.




Di Jepun saja, dianggarkan jumlah mereka yang berumur 100 tahun ke atas dua kali ganda daripada Britain. Apakah rahsia mereka?

Kombinasi gen yang betul dan dibantu diet yang rendah lemak haiwan. Selain itu, penjagaan perubatan yang lebih baik dan kadar kelahiran antara faktor lain.

Menurut media British, Allingham merupakan seorang veteran tertua yang terlibat dalam peperangan tersebut di United Kingdom dan merupakan bekas anggota RAF.

"Perang adalah sesuatu yang bodoh. Tiada siapa yang menang dengan peperangan," ujar Allingham dalam satu temu bual dengan BBC.

Rakannya, Dennis Goodwin memberitahu ia berita yang memeranjatkan. "Allingham seorang yang berfalsafah. Dia akan mengambil satu langkah yang seolah-olah dia tahu semuanya," katanya.

Alat sokongan

Mengenai kesihatan Allingham, ketika usianya mencecah 110 tahun, beliau masih boleh berjalan seperti biasa tanpa bantuan alat sokongan. Tetapi hari ini, beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk menjalani rutin hariannya.

Bayangkan, pada umur yang sebegitu, beliau mampu mengimbau kembali perkara yang berlaku lebih 100 tahun lalu, cuma bentuk fizikalnya yang kelihatan semakin kurus.

Datuk kepada enam orang cucu, 12 orang cicit, 14 piut dan seorang oneng itu menyertai Perkhidmatan Udara Tentera Laut Diraja iaitu merupakan pelopor kepada pasukan RAF pada tahun 1915. Setahun selepas itu, beliau menyertai Peperangan Jutland yang merupakan pertempuran tentera laut terbesar.

Sejak tahun 2001, wajahnya menjadi sumber inspirasi dalam Persatuan Veteran Perang Dunia Pertama. Pengorbanannya dalam membangkitkan kesedaran golongan muda mengenai sejarah pertempuran peperangan tersebut antara objektif Allingham.

Bapanya meninggal dunia sewaktu usianya baru mencecah tiga tahun. Beliau dibesarkan oleh ibu, datuk dan neneknya serta memperoleh pengajian di Sekolah Majlis Daerah London, sebelum bekerja sebagai pelatih pengendali alat pembedahan di Hospital Barts, London.

Allingham mengikuti bidang ketenteraan pada Ogos 1914 sebagai penghantar surat. Tetapi, tidak lama kemudian dia terpaksa berhenti kerja dan menjaga ibunya yang sakit. Setelah ibunya meninggal dunia, beliau terpilih menyertai anggota Perkhidmatan Udara Tentera Laut Diraja (RNAS).

Kerjayanya bermula sebagai mekanik udara kelas kedua pada 21 September 1915 dan ditempatkan di Chingford, England sebelum menghabiskan sesi latihan di Sheerness, utara Kent, England.

Selepas tamat pengajian, Allingham dipilih menyertai Stesen Udara RNAS di Great Yarmouth, di mana bidang kerjayanya meliputi pengendalian alat gantian kapal terbang.

Berkahwin

Pada September 1917, beliau dinaikkan pangkat sebagai Mekanik Udara Kelas Pertama dan ditempatkan di Western Front dan menyertai No. 12 Skuadron (RNAS).

Beliau bertukar ke Tentera Udara Diraja apabila RNAS bergabung tenaga dengan RFC pada 1 April 1918. Allingham menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya, Dorothy Cator pada tahun 1918 dan kemudian bersara pada tahun 1919.

Mereka berpindah di Eastbourne pada 1960 dan dikurniakan dua cahaya mata pada usia 50 tahun.

Selepas Perang Dunia Kedua, Allingham bekerja di sebuah kawasan perlombongan di Jerman. Pada tahun 1939, beliau dipanggil untuk membantu meneutralkan sistem perlombongan dan beliau berjaya melakukannya selama sembilan hari.

"Itu antara pekerjaan yang tidak dapat saya lupakan. Bayangkan dalam masa yang singkat, saya dapat melakukannya tanpa memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak," jelas Allingham.

Baru-baru ini, beliau diraikan bersempena majlis ulang tahunnya yang ke 113 bersama anggota keluarga, pasukan RAF dan Tentera Laut Diraja.

Kek ulang tahun hari lahirnya dihantar oleh Tentera Marin Diraja, sementara helikopter Tentera Laut Diraja berlegar-legar di ruang udara tempat majlis itu diadakan.

"Ia sungguh hebat, saya tidak pernah menjangkakan penghargaan seperti ini," katanya kepada wartawan.

Dalam pada itu, rakannya Harry Patch, 110, merupakan seorang lagi veteran Perang Dunia Pertama Britain yang masih hidup sehingga kini.

0 comments: