200 sami keluar bantah junta Myanmar

YANGON: Sekurang-kurangnya 200 sami Buddha Myanmar berarak secara aman di tengah negara itu semalam yang menjadi bantahan pertama selepas tentera mematahkan tunjuk perasaan antikerajaan, bulan lalu.

Tindakan terbaru sami yang mengetuai bantahan sebelum ini, dibuat ketika Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari bakal tiba di Myanmar, lusa bagi melakukan lawatan keduanya.

Kumpulan sami yang memakai lilitan kain serba jingga, membaca mantera ketika berarak melintasi bandar Pakkoku – lokasi sama tentera melepaskan tembakan amaran ke atas sami awal bulan lalu yang menjadi antara punca tunjuk perasaan besar-besaran.

Mereka berarak selama sejam dan tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan kembali ke biara masing-masing.

Pakkoku adalah pusat pembelajaran Buddha dengan 80 biara di situ dan terletak kira-kira 630 kilometer ke barat laut pusat perdagangan Yangon.

"Ada kira-kira 200 sami berarak pagi ini. Mereka berjalan di sekitar Pauk Road," kata saksi kepada agensi berita Reuters.

Demonstrasi sedemikian menjadi sasaran junta yang mengarahkan tentera menembak penunjuk perasaan dalam kejadian 27-28 September yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa, seperti didakwa kerajaan.

Namun kumpulan pembangkang sebaliknya mendakwa angka kematian sebenar jauh lebih tinggi iaitu 200 orang sehingga mencetuskan kecaman antarabangsa.

Sementara itu, tindakan Gambari kembali ke Myanmar lusa, berlaku ketika ahli perundangan Amerika Syarikat menimbang memperluaskan sekatan ke atas jeneral tentera yang menyelia operasi ke atas tunjuk perasaan.

"Gambari akan berada di Myanmar pada 3-8 November depan," kata seorang diplomat Barat yang enggan dikenali, sambil menambah wakil PBB berkenaan akan turut melawat bandar pentadbiran baru Naypyidaw pada keesokan harinya.

Pegawai PBB di Bangkok yang dihubungi bagi mengesahkan tarikh sebenar kunjungan Gambari tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kehadirannya kecuali berkata ia sepanjang minggu pertama November.

Kali terakhir Gambari ke Myanmar pada 29 September hingga 2 Oktober lalu, beberapa hari selepas anggota keselamatan membelasah penunjuk perasaan dengan kayu belantan dan melepaskan gas pemedih mata selain menahan orang ramai.

Dalam lawatan itu, Gambari menemui ketua junta Jeneral Than Shwe dan pemimpin prodemokrasi Aung San Suu Kyi yang dalam tahanan rumah.

"Rundingan yang bermula sejak kunjungan pertamanya akan diteruskan dan itu sesuatu yang baik," kata diplomat itu.

Gambari turut melakukan lawatan ke enam negara Asia bagi meningkatkan tekanan ke atas pemimpin junta, malah usahanya itu mendapat sokongan antarabangsa termasuk China yang juga sekutu utama Myanmar. - AFP/AP

0 comments: