Ramli perlu pertahan diri

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff perlu mempertahankan diri di mahkamah sekiranya terdapat dakwaan rasuah terhadapnya berhubung pemilikan aset sebanyak RM27 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tindakan Ramli mengadakan sidang akhbar tergempar bagi mempertahankan dirinya seperti yang dibuat semalam adalah kurang wajar kerana tidak akan memberi apa-apa faedah.

“Apa juga yang kita nak bela dan pertahan diri tunggu mahkamahlah. Ini orang belum dakwa lagi dia sudah (membuat kenyataan), kalau buat luar mahkamah tak ada apa-apa (faedah),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Amal Aidilfitri Amanah Raya Berhad di sini, hari ini.

Mohamed Nazri mengulas tindakan Ramli mengadakan sidang akhbar selama kira-kira 45 minit semalam di ibu pejabat JSJK bagi mengesahkan dirinya sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung pemilikan aset itu tetapi menafikan memiliki harta sebanyak itu.

Ramli, 55, berasal dari Sabah dan pernah menjadi Pesuruhjaya Polis negeri itu serta Ketua Polis Pahang. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah JSJK sejak Mei 2005.

Bagaimanapun, menurut Mohamed Nazri, kenyataannya itu bukan satu pengesahan Ramli akan didakwa di mahkamah kerana beliau sendiri tidak tahu apa tindakan selanjutnya.

Beliau menjelaskan, mesyuarat Kabinet hari ini turut membincangkan kes Ramli tetapi sedikit sahaja dan secara umum serta tiada sebarang keputusan dibuat.

Ditanya kekesalan yang diluahkan Ramli terhadap tindakan BPR membocorkan maklumat kepada akhbar tertentu mengenai siasatan terhadap dirinya, Mohamed Nazri menegaskan: “Tidak ada, saya telah mendapat penjelasan BPR, ia tidak membocorkan nama orang yang disiasat.”

Mengenai rasa tidak berpuas hati Ramli apabila nama pemberi maklumat sulit polis didedahkan dalam kertas pertuduhan di mahkamah kerana ia tidak selaras dengan langkah melindungi saksi, Mohamed Nazri memberitahu, beliau tidak faham apa yang dimaksudkan Pengarah JSJK itu.

“Saya tidak tahu apa yang dimaksud kita tidak lindung. Kalau saksi buat kenyataan bersumpah, kemudian fakta yang diberikan mereka adalah tidak benar, itu sudah perjury (memberi keterangan palsu).

“Kalau perjury ia merupakan satu kesalahan, kita tidak boleh lindung dia (saksi),” tegasnya.

0 comments: