PM: Sederhana dalam isu agama

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta pemimpin-pemimpin UMNO berhati-hati dan bersederhana dalam memberi reaksi terhadap isu agama Islam yang dibangkitkan oleh penganut-penganut agama lain.

Perdana Menteri menegaskan, setiap reaksi yang diutarakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO hendaklah dibuat dengan betul dan berhemah.

“Jangan cakap kasar dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak patut dikeluarkan,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Multaqa Pengerusi-Pengerusi Biro Agama UMNO Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Multaqa selama tiga hari bermula Isnin lepas itu dihadiri kira-kira 1,000 pengerusi biro agama peringkat bahagian dan cawangan UMNO dari seluruh negara.

Abdullah memberitahu, apa sahaja yang menyentuh agama Islam sama ada yang tidak kena, tidak betul atau terlalu melampau tidak harus dibalas dengan emosi.

Beliau menambah, pemimpin-pemimpin UMNO perlu mengawal diri dan tidak mengambil tindakan yang merugikan semua pihak.

‘‘Ini tidak bermakna kita tidak boleh memberi reaksi terhadap apa yang dibangkitkan mengenai perkara yang tidak benar tentang agama Islam tetapi ia perlu dilaksanakan dengan penuh hati-hati.

“Isu agama adalah isu sensitif dan ia perlu ditangani dengan sebaik-baiknya, seboleh-bolehnya hendaklah diadakan perbincangan dan betulkan pandangan yang salah terhadap agama Islam,’’ katanya.

Perdana Menteri memberitahu, sekiranya tindakan itu diambil, orang bukan Islam akan lebih memahami agama Islam yang merupakan sebuah agama yang cukup lengkap bukan sahaja dari segi ibadah tetapi dalam soal kehidupan seharian.

Menurut Abdullah, ketika menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa yang dihadiri pemimpin-pemimpin negara lain beliau acap kali ditanya mengapa umat Islam terlalu sensitif.

“Saya menjelaskan dengan betul dalam nada suara yang sederhana mengapa umat Islam bertindak melampau seperti dalam isu kartun yang menghina Nabi Muhammad dan penjelasan saya diterima baik oleh pemimpin terbabit,’’ katanya.

Jelasnya, kitab al-Quran yang menjadi pegangan umat Islam bukan sahaja mengandungi soal ibadah tetapi juga pelbagai perkara lain dalam kehidupan manusia.

“Sehubungan itu, tafsiran ayat-ayat al-Quran hendaklah berubah mengikut keadaan semasa. Janganlah terlalu jumud, al-Quran perlu ditafsirkan dengan lebih dinamik,’’ katanya.

0 comments: