Ramli didakwa hari ini -- Dijangka dihadapkan atas tuduhan berkaitan pemilikan harta

Oleh Ruhaidini Abd. Kadir dan Mohd. Saiful Mohd. Sahak


Adik Ramli Yusuff, Ruslina Yusuff bersama peguamnya, Harvinderjit Singh selepas dipanggil memberi keterangan berhubung pemilikan harta abangnya di Ibu Pejabat BPR, Putrajaya, semalam. – Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI.

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff dijangka didakwa di mahkamah esok di bawah Seksyen 32 (1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 berhubung pengisytiharan aset-aset yang dimilikinya.

Ramli, 55, akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan berkaitan maklumat hartanya selepas Badan Pencegah Rasuah (BPR) memanggil beliau memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu di ibu pejabat BPR di Putrajaya dekat sini.

Kertas siasatan terhadap Ramli yang dibuka pada Julai lalu telah lengkap dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara baru-baru ini.

Utusan Malaysia difahamkan, Jabatan Peguam Negara yang meneliti kertas siasatan itu bersetuju mengambil tindakan ke atas Ramli setelah berpuas hati dengan hasil siasatan BPR.

Pada 12 Oktober lalu, seorang peguam, Rosli Dahlan, 46, yang dikaitkan dengan Ramli telah didakwa di mahkamah di bawah seksyen yang sama.

Menurut kertas pertuduhan, Rosli didakwa menerima notis seperti yang dikehendaki oleh Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 32(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bertarikh 17 Julai lalu supaya memberikan pernyataan yang benar dan mendedahkan segala maklumat yang diketahui mengenai aset-asetnya.

Rosli, bagaimanapun, didakwa telah dengan sengaja tidak mematuhi terma-terma notis tersebut dalam pernyataan bersumpahnya bertarikh 20 September lalu apabila beliau tidak mendedahkan maklumat yang dikehendaki.

Semalam, Ramli dalam sidang akhbar tergempar selama kira-kira 45 minit di ibu pejabat JSJK di Jalan Dato’ Onn di sini mengesahkan dirinya sedang disiasat oleh BPR berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa serta memiliki aset bernilai RM27 juta.

Beliau menafikan memiliki aset sebanyak itu dan melahirkan perasaan kesal dengan tindakan BPR membocorkan maklumat kepada akhbar tertentu mengenai siasatan terhadap dirinya.

Ramli mendakwa maklumat siasatan itu sepatutnya dirahsiakan kerana penyiasatan badan tersebut sendiri belum lengkap manakala faktanya pula tidak benar.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, tidak sampai 24 jam selepas sidang akhbar mengejut Ramli semalam, BPR pagi ini bertindak memanggil kakak dan adik Pengarah JSJK Bukit Aman itu untuk membantu siasatan

Kakak sulung Ramli, Rahmah, 57, yang menetap di Kampung Bunut, Pasir Mas, Kelantan dipanggil oleh BPR untuk memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di Kota Bharu pada pukul 11 pagi ini.

Adik bongsunya pula, Ruslina, 44, seorang kerani di sebuah jabatan kerajaan, memberi keterangan di Ibu Pejabat BPR Putrajaya dekat sini petang ini.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan memberitahu Utusan Malaysia, keterangan kedua-dua wanita itu direkodkan oleh BPR di bawah Seksyen 22 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

“Rekod keterangan (kakak dan adik bongsu Ramli) merupakan sebahagian daripada proses siasatan BPR,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ruslina ketika ditemui di pejabat peguamnya di Bukit Damansara di sini memberitahu, seorang pegawai BPR telah menghubunginya pada pukul 9 pagi berhubung siasatan yang melibatkan abangnya.

“Saya telah dihubungi berkali-kali oleh pegawai itu. Ketika itu saya berada di sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan doktor telah memberi saya cuti sakit selama dua hari bermula hari ini.

“Pada masa yang sama, saya telah dimaklumkan beberapa pegawai BPR berada di rumah saya ketika itu,” katanya yang tinggal di Kota Damansara dekat sini.

Menurut Ruslina, dia telah meminta pegawai terbabit menangguhkan prosiding tersebut tetapi pegawai berkenaan bertegas untuk berjumpa dan merekodkan keterangannya.

“Saya telah diarahkan untuk memberi keterangan di pejabat BPR hari ini juga,” katanya.

Sehubungan itu, atas nasihat salah seorang saudaranya, Ruslina berkata, dia kemudian ke pejabat peguamnya, Kumar Partnership di Wisma E&C di Jalan Dungun, Bukit Damansara pada pukul 11 pagi ini untuk mendapatkan nasihat guaman.

Peguam Ruslina, Harvinderjit Singh pula memberitahu, beliau dan anak guamnya tiba di Ibu Pejabat BPR Putrajaya pukul 1.45 petang ini.

Jelas beliau, Ruslina telah memberi keterangan kepada BPR selama lebih tiga jam bagi membantu siasatan kes melibatkan abangnya.

“Keterangan Ruslina direkodkan mulai pukul 3.15 petang dan dalam tempoh lebih tiga jam, dia telah memberi kerjasama kepada BPR,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan di Kota Bharu, Rahmah disoal siasat lebih tujuh jam berhubung siasatan BPR terhadap adiknya.

Rahmah yang merupakan seorang suri rumah mula disoal siasat sejurus tiba di pejabat BPR yang terletak di Wisma Persekutuan, Jalan Bayam, Kota Bharu kira-kira pukul 11 pagi.

0 comments: