Nazri Aziz setuju hadir Forum Jenayah & Rasuah, 4 Nov

Helmi Khalid
Thu | Nov 01, 07 | 5:18:32 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Hrkh) - Rakyat prihatin dan yang sudah tidak tahan lagi dengan peningkatan kadar jenayah serta rasuah negara diajak beramai-ramai ke Forum Jenayah & Rasuah Malaysia, Ahad, 4 November ini di KL International Hotel, Kampung Baru, dekat sini.

Panelis forum terdiri dari Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Musa Husam, Menteri Dijabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz, Pengerusi Gerak, Ezam Mohd. Noor dan dipengerusikan oleh Dr. Mohd. Agus Yusuf.

Forum anjuran Ketua Whip Ahli Parlimen PAS, Salahuddin Ayub ini selain akan mendedahkan pelbagai salah laku jenayah dan rasuah yang berlaku dalam negara, juga akan membuka peluang kepada hadirin membincangkan permasalahan yang semakin meruncing ini.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharudin Tantawi dalam satu sidang media berkata, tidak ada rakyat yang tidak gelisah mengenai keselamatan dan gejala buruk ini, jadi mereka boleh datang dan meluahkan isi hati dalam forum ini.

"Macam-macam akta dan undang-undang telah diperkenalkan, lagi banyak undang-undang, lagi bertambah pula kadar jenayah, ini amat pelik," ringkasnya.

Forum ini katanya, diadakan secara percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat, bermula jam 2.00 hingga 5.00 petang.

Katanya lagi, Nazri telah memberi persetujuan secara lisan untuk hadir. Menurutnya lagi, sehingga sekarang, sambutan melalui jawapan SMS amat menggalakkan dan dijangka akan mendapat kehadiran seperti dijangkakan.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Sabky Yusof berkata, forum ini diadakan tepat pada masanya memandangkan angka kes jenayah dan rasuah semakin tinggi sekarang ini.

"Rakyat sudah tidak tahan lagi bila anggota berpangkat tinggi polis sendiri dituduh terlibat dengan rasuah, kanak-kanak pula menjadi mangsa pelaku jenayah, kita sudah tidak selamat dan ia amat membahayakan semua pihak," kata Sabky. - mns

0 comments: