Kabinet sentuh isu Ramli

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff sepatutnya menggunakan mahkamah bagi mempertahankan diri dan bukan membuat kenyataan secara terbuka kepada media berhubung siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadapnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata kenyataan Ramli kepada media kelmarin dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, semalam, tetapi tidak ada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu.

“Kita ada bincang tetapi tak ada keputusan. Kita rasakan Ramli kena pertahankan diri di mahkamah dan bukan bagi PC (sidang akhbar),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Amanah Raya Berhad (ARB) di Wisma Amanah Raya Berhad di sini, semalam.

Nazri mengulas tindakan Ramli yang mengadakan sidang media mengesahkan beliau adalah pegawai kanan polis yang dilaporkan media memiliki aset sebanyak RM27 juta.

Ramli dilaporkan kesal dengan tindakan BPR membocorkan maklumat kepada media berhubung siasatan terhadap dirinya sedangkan ia sepatutnya dirahsiakan memandangkan penyiasatan itu belum lengkap.

Bagaimanapun, Nazri berkata beliau tidak tahu apa sebenarnya dimaksudkan Ramli apabila menuduh BPR membocorkan maklumat kerana beliau mendapati BPR tidak membocorkan sebarang maklumat mengenai nama orang yang disiasat.

“Saya sudah dapat kepastian daripada BPR, mereka tidak bocorkan sebarang maklumat nama orang yang disiasat. Saya tak faham apa yang dia maksudkan yang kita tak lindung,” katanya.

Di Kota Bharu, Pas menggesa Perdana Menteri campur tangan segera berhubung kemelut yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) susulan kenyataan Ramli itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata isu itu menuntut maklum balas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengekalkan integriti kedua-dua agensi terbabit. – Bernama

0 comments: