Polis Pakistan kenal pasti pengebom Pervez

ISLAMABAD 31 Okt. – Pihak berkuasa Pakistan sedang berusaha mengenal pasti identiti pengebom berani mati yang meletupkan dirinya sejauh 500 meter dari pejabat Presiden Jeneral Pervez Musharraf semalam bagi mencari dalang serangan tersebut.

Ketua Polis Rawalpindi, Saud Aziz berkata, selain ujian DNA, beberapa pakar bedah telah ditugaskan membentuk semula muka pengebom yang hancur selepas dia meletupkan dirinya di bandar yang pusat kegiatan ketenteraan.

“Kami sedang cuba menentukan identiti pengebom itu dan akan menyiarkan lakaran wajahnya tidak lama lagi.

“Selain kepala, polis turut menemui tiga batang jari dipercayai milik pengebom, yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 23 tahun, dan telah menghantarnya ke pejabat pendaftaran kebangsaan untuk mengenal pasti identitinya melalui cap jari tersebut,” katanya.

Menurut Saud, pihak polis tidak menolak kemungkinan serangan itu mempunyai kaitan dengan rangkaian Al-Qaeda dan Taliban kerana terdapat beberapa elemen Al-Qaeda dalam serangan tersebut.

Dalam pada itu, jurucakap presiden, Rashid Qureshi menyatakan Pervez berada di dalam Rumah Tentera ketika kejadian dan dapat mendengar letupan itu berlaku.

Serangan terbaru itu juga berlaku betul-betul di hadapan rumah seorang jeneral kanan tentera, antara perancang utama operasi antimilitan di Masjid Merah sebelum ini.

Selain Pervez dan jeneral tersebut, serangan yang menyebabkan tiga anggota polis dan empat orang awam terbunuh itu turut dikaitkan dengan tindak balas seorang ulama pro-Taliban terhadap operasi semasa tentera di Lembah Swat.

– Agensi

0 comments: