Wanita misteri rancang rapi ‘misi’ jumpa PM

KUANTAN: Wanita misteri yang naik ke pentas dan menghadiahkan ros merah jambu kepada Perdana Menteri ketika sedang berucap melancarkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pagi kelmarin, dipercayai merancang rapi ‘misi’ itu.

Wanita yang tinggal di Temerloh itu, datang ke tapak pameran untuk melihat lokasi pelancaran ECER dan pintu masuk utamanya pada jam 1 pagi hari sama. Wanita itu juga meminta abang angkat menghantarnya ke lokasi itu, walaupun ada kereta sendiri.

Lebih mengejutkan, wanita berusia 32 tahun itu turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seseorang yang mengucapkan tahniah kepadanya, kerana berjaya dalam ‘misinya’.

Abang angkatnya yang enggan dikenali berkata, pada malam itu wanita terbabit tidur di rumahnya dan memaklumkan dia ada misi besar untuk dilaksanakan pagi esok.

“Pagi semalam (kelmarin), dia meminta saya membawanya ke Pasar Besar untuk membeli bunga ros sebab nak bagi pada seseorang pada majlis ECER.

“Dia membeli sekuntum ros merah dan sekuntum carnation merah, tetapi berubah fikiran meninggalkan dua bunga itu di rumah saya, sebelum memetik setangkai ros merah jambu milik isteri saya. Ketika dalam perjalanan ke tapak pameran ECER, dia meminta saya berhenti untuk membeli epal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanah Putih di sini, petang semalam.

Kejadian itu berlaku jam 11 pagi, ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang berucap melancarkan ECER. Tindakan wanita itu secara tiba-tiba naik ke pentas dan menghadiahkan setangkai ros mengejutkan Perdana Menteri.

Kejadian berlaku di hadapan lebih 15,000 tetamu dan disiarkan secara langsung, turut menimbulkan persoalan berhubung kawalan keselamatan yang longgar terhadap Perdana Menteri.

Abang angkat wanita itu berkata, sebelum keluar keretanya, wanita terbabit beberapa kali membetulkan pakaian dan bertanya sama ada penampilannya menarik.

“Saya sangkakan dia mahu bertemu teman lelakinya. Dia kemudian membawa beg berisi bunga ros dan epal menuju ke khemah besar dengan meninggalkan beg dan telefonnya dalam kereta saya.

“Selepas menunggu tiga jam, saya mencarinya tetapi tidak berjumpa dan telefon yang ditinggalkannya pula banyak menerima panggilan tidak berjawab selain SMS.

“Saya melihat satu SMS dalam telefonnya dan hairan kerana ada ucapan tahniah kerana berjaya dalam misinya. Saya hanya ketahui misinya apabila polis meminta saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebab wanita itu ditahan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan bunga ros dan epal itu diserahkan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Difahamkan, wanita itu meminati Perdana Menteri sejak kecil dan pernah ditahan polis ketika mahu melakukan perkara sama ketika Abdullah ke Balok, sebelum ini.

Wanita itu selesai disoal siasat kira-kira jam 10 malam kelmarin, sebelum dibawa pulang oleh ibunya ke Kampung Bukit Lada, Temerloh.

0 comments: