Oleh RAHIM LAJIS
KUALA LUMPUR 31 Okt. – Raja Munirah Raja Iskandar, pelajar sebuah kolej swasta yang kini meringkuk dalam penjara di Jepun, menafikan dia mempunyai hubungan cinta dengan pemuda Iran yang memperdayakannya untuk menyeludup dadah.
‘‘Bukan kerana cinta. Milad bukan kekasih saya... dia cuma kawan biasa,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo, Khamis lalu.
Sewaktu wartawan Utusan menemuinya di pusat tahanan itu, Raja Munirah yang berkulit hitam manis, tinggi lampai dan berambut panjang sampai ke bahu berada dalam keadaan lemah.
Dia yang memakai seluar sukan kelabu dan baju T berwarna merah tidak digari ketika pertemuan itu berlangsung selama 10 minit.
Sepanjang pertemuan mulai pukul 1 petang itu seorang pegawai penjara sentiasa mengawasi perbualan yang telah ditetapkan dibuat sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
Dalam nada suara yang tersekat-sekat, pelajar berusia 22 tahun itu memberitahu dia diperkenalkan kepada Milad oleh seorang rakan perempuannya di sebuah kolej di ibu kota kira-kira setahun lalu.
Menurut Raja Munirah, ketika perkenalan itu, dia baru menamatkan pengajian Ijazah Komunikasi Massa di kolej swasta itu manakala Milad menuntut di sebuah kolej swasta di Cyberjaya.
Selepas mengenalinya selama setahun, lelaki itu menawarkan kerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) – sesuai dengan kelulusan Raja Munirah – di syarikat Milad yang kononnya berpangkalan di Jepun dengan gaji kira-kira RM9,000 (AS$2,500) sebulan.
Raja Munirah bagaimanapun dikehendaki ke Tokyo untuk menghadiri temuduga terlebih dahulu. Milad tidak pula menemaninya ke Jepun.
Setibanya di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada 20 Disember tahun lalu, Raja Munirah ditahan apabila beberapa peket dadah jenis syabu dijumpai dalam beg yang dibawanya.
Beg itu dibeli oleh Milad untuk mengisi pakaian musim sejuk Raja Munirah dan ia hanya diserahkan kepadanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sejurus sebelum pesawat berlepas.
Sebaik sahaja ditahan di Lapangan Terbang Narita, Tokyo, Raja Munirah cuba menghubungi telefon bimbit Milad tetapi gagal.
Peguam Jepun yang disediakan oleh kerajaan negara itu menasihatkan Raja Munirah supaya mengaku salah bagi mendapatkan hukuman ringan iaitu penjara enam bulan saja.
Bagaimanapun, apabila dia membuat pengakuan bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan empat bulan. Wanita muda itu kini sudah menghabiskan hampir 11 bulan usianya dalam penjara.
Milad, pemuda Iran yang memintanya membawa beg itu ke Jepun, dikatakan sudah meninggalkan Malaysia akhir tahun lalu dan kini dipercayai berada di Indonesia.
Raja Munirah berpesan kepada gadis-gadis di tanah air supaya jangan mudah mempercayai tawaran lumayan daripada seseorang tanpa sebab yang munasabah.
‘‘Ingatlah... bukan mudah orang mahu beri tawaran lumayan. Fikirkanlah masak-masak... mesti ada muslihat. Jangan ikut hati, gunakan akal,’’ katanya.
Sebelum meninggalkan penjara, wartawan Utusan bertanya kepada Raja Munirah kenapa dia tidak kelihatan sedih sepanjang perbualan singkat itu. Raja Munirah menjawab: ‘‘Saya sudah tiada air mata lagi.’’
0 comments:
Post a Comment