Multaqa beri PM mandat

Oleh Norfatimah Ahmad dan Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA LUMPUR: Multaqa Pengerusi Biro Agama Umno Peringkat Kebangsaan 2007 yang berakhir semalam memberi mandat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memastikan garis panduan Islam Hadhari sebagai pendekatan untuk menggerakkan pentadbiran negara.

Dalam multaqa tiga hari anjuran Biro Agama Umno dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Penerangan itu, tujuh resolusi diputuskan sebagai usaha untuk merealisasikan matlamat meletakkan Islam di kedudukan tertinggi.

Tujuh resolusi yang diharap dapat dilaksanakan kepemimpinan negara adalah seperti berikut:

Pertama, berdasarkan prinsip Islam sebagai tradisi asas utama yang mendefinisikan Melayu sebagai teras tamadun bangsa, oleh itu penerapan dan pelaksanaan Islam Hadhari wajib dilihat sebagai strategi terpenting untuk memelihara dan memperkukuh tradisi yang dinamik.

Kedua, membina tamadun bangsa terbilang menerusi gerakan bersepadu gagasan Islam Hadhari dalam semua sektor mesti dipertingkatkan.

Ketiga, untuk memartabatkan ekonomi masyarakat Islam, halal hab mesti dijadikan landasan bagi menjana dan memperkasa ekonomi bangsa dengan pembabitan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Keempat, media dan pengamalnya berpegang kepada prinsip iman dan takwa dalam melaksanakan amanah, profesionalisme dan tanggungjawab.

Kelima, memperkasa pertahanan negara bagi mengekang ancaman dalaman dan luaran untuk mengekalkan kedaulatan negara dalam semua bidang.

Keenam, kaedah Islam Hadhari digunakan untuk menangani isu yang mengganggu gugat negara bangsa, agama, kaum dan kontrak sosial.

Ketujuh, mengiktiraf golongan agama bukan hanya pengucapan, malah diberi peranan utama dalam arus perdana.

Sementara itu, Pertubuhan Alumni Kelab Umno Luar Negara akan menganjurkan Seminar Melayu 2057 kali ketiga pada Ahad ini bertujuan mencari hala tuju serta menghasilkan pelan tindakan untuk panduan masyarakat Melayu dalam menghadapi cabaran 50 tahun akan datang.

Timbalan Pengerusi pertubuhan, Datuk Mohd Rais Zainuddin, berkata seminar itu diadakan untuk membincangkan sasaran mengenai arah perjalanan orang Melayu yang dikhuatiri akan mundur kerana tidak tahu arah tuju untuk berada pada landasan yang betul.

Seminar sehari bertajuk ‘Melayu 2057, Siri 1: Agenda Politik’ dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu akan diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Orang awam yang berminat untuk menyertai seminar ini boleh menghubungi ahli jawatankuasa pertubuhan, Kama Azrul di talian 03-40446300 atau 013-4706357.

0 comments: