Jaga toleransi agama

Oleh Norfatimah Ahmad

Rakyat mesti kawal sensitiviti untuk capai persefahaman, perpaduan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengingatkan rakyat supaya mengawal sensitiviti agama dengan mengamalkan sikap toleransi untuk mengelak keadaan yang boleh merugikan semua pihak.

Sambil menegaskan pesanan itu ditujukan kepada semua rakyat sama ada beragama Islam dan bukan Islam, Perdana Menteri berkata, berbincang, bertukar fikiran dan meningkatkan pemahaman terhadap sebarang isu adalah cara paling berkesan untuk mencapai persefahaman serta perpaduan kaum.


Beliau mengakui setiap bangsa itu emosional terhadap agama masing-masing, tetapi menegaskan banyak perkara yang diketahui tidak sepatutnya disebarkan untuk mengelak salah faham.

"Berjaga-jaga dalam percakapan kita supaya sentiasa betul dan sederhana caranya. Tidak perlu cara kasar dan sampai ke peringkat keluarkan perkataan tidak sepatutnya walaupun marah dan kecil hati... perlu pandai jaga lidah bila bercakap walaupun ketika hati pedih dan kepala bengang.

"Sentiasa ingat dan berhati-hati kerana terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya," katanya pada majlis penutup Multaqa Pengerusi Biro Agama Umno Peringkat Kebangsaan 2007, di sini.


Pada majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Penerangan itu, Abdullah turut menerima Resolusi Multaqa berkenaan serta melancarkan laman web dan buletin Biro Agama Umno.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md Zin, Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Othman Desa.

Abdullah berkata, sensitiviti setiap bangsa terhadap agama masing-masing juga boleh menyebabkan sebarang percakapan atau tindakan yang dilihat tidak kena, menghina dan tidak betul boleh menimbulkan perasaan tidak senang, marah dan pelbagai lagi.

"Dalam pertemuan dengan kawan-kawan (bukan Islam), saya sentiasa katakan kepada mereka... apa yang mereka ingat tidak ada apa, pada kita besar erti dan maknanya," katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan rakyat supaya mendalami ilmu untuk menjalani kehidupan dengan sempurna dan tidak bermatlamat untuk menipu, merosakkan alam atau individu lain.

"Orang berilmu dihormati, disayangi, diiktiraf dan mengajar kita melakukan sesuatu hanya untuk kebaikan, sekali gus melambangkan agama kita," katanya.

Malah, beliau juga menggesa ulama supaya membuat tafsiran yang tidak keluar dari batas tauhid yang boleh membawa kekufuran kerana Islam adalah ad-din, yang menjelaskan amalan harian dengan lengkap.

"Tafsiran dinamik adalah penting... mungkin kita tidak ingat kerana ilmu kita tidak tinggi. Oleh itu kita kena usaha untuk menemui ilmu yang terpendam.

"Justeru itu, beri tafsiran ikut fahaman ilmu hari ini kerana kita tidak mahu beri pengertian yang menjadi kejumudan," katanya.

Beliau merujuk sepotong ayat dalam surah Yassin yang menjelaskan mengenai tumbuhan yang boleh mengeluarkan api atau dengan kata lain kelapa sawit yang kini diproses sebagai sumber bahan api menerusi teknologi tenaga bio.

Perdana Menteri juga mengingatkan semua pihak supaya tidak menafikan sesuatu yang berlaku hanya kerana tidak memahami isu tertentu seperti program angkasawan negara kerana ia juga dijelaskan dalam al-Quran.

0 comments: