RIA PANE membawa anak perempuannya yang berusia tujuh tahun, Kezia berjumpa doktor di Jakarta, Indonesia kerana demam dan sakit tekak. Anaknya diberi tujuh jenis ubat termasuk antibiotik dan ubat-ubatan lain yang dipercayai dapat melegakan demam.
Pakar-pakar memberitahu, bukanlah sesuatu yang asing apabila berlaku kes-kes pemberian ubat yang berlebihan dan di luar keperluan pesakit.
Menurut mereka, keuntungan yang diperoleh daripada jualan ubat, doktor-doktor di Asia seperti dari Indonesia dan Hong Kong cenderung memberi preskripsi ubat-ubatan yang berlebihan. Amalan ini bakal mencetus masalah pada masa depan.
"Polifarmasi (perubatan terlampau) sangat popular di sini. Ia bermakna mereka menggunakan banyak ubat yang tidak diperlukan seperti memberi anda pelbagai jenis antibiotik hanya untuk selesema.
"Setiap kali mereka menjual ubat-ubatan, mereka akan mendapat untung. Motifnya ialah keuntungan. Apabila doktor memberi banyak ubat, ibu bapa akan berasa gembira dan lebih gembira lagi apabila disuruh berehat di rumah," kata seorang profesor di Clinical Trials Centre, Universiti Hong Kong, William Chui.
Tindak balas
Pengambilan pelbagai ubat boleh mencetuskan bermacam-macam tindak balas. Ia membawa kepada kesan sampingan yang tidak dijangka. Lebih teruk, ia mampu meningkatkan risiko tentangan terhadap bakteria.
Contoh terbaru melibatkan ubat oseltamivir. Penyelidik di Amerika Syarikat (AS) mendapati, ia tidak begitu berkesan terhadap 98 peratus daripada kes virus influenza H1N1.
Oseltamivir dikenali dengan jenama Tamiflu dan dikilangkan oleh Roche AG.
Oseltamivir disyorkan sebagai langkah pertama untuk menghalang penyebaran virus selesema burung H5N1 tapi kini pakar mempersoalkan sampai bilakah ia berkesan menghalang virus tersebut.
Selain mengurangkan keberkesanan dadah yang terkandung dalam ubat, bakteria dan virus yang terdedah kepada dadah yang tidak diperlukan turut menyebabkan kesan serius lain.
"Ia akan memudaratkan pesakit. Lagi banyak ubat (dadah) yang mereka ambil semakin teruk kesannya terutama kepada warga emas. Mereka lebih mudah jatuh sakit akibat interaksi dadah dan juga kesan sampingan. Mereka akan mendapat kemurungan terlampau dan pening, ia merupakan sesuatu yang kami tidak galakkan," kata Chui.
Antibiotik
Pengamal perubatan di Indonesia sering memberi pesakit mereka antibiotik bagi yang menghidap selesema biasa sedangkan ubat seperti itu hanya diperlukan untuk jangkitan bakteria.
"Kebanyakan ibu bapa tergesa-gesa untuk menghilangkan simptomnya, bukan penyakit itu sendiri. Doktor mungkin tertekan untuk memberi rawatan walaupun rawatan yang diberikan sebenarnya tidak diperlukan," kata pakar pediatrik, Purnamawati S. Pujiarto. Beliau cuba memberi informasi mengenai penggunaan ubat-ubatan di Indonesia.
Pakar-pakar memberitahu, pemikiran dan amalan sebegitu bukan sahaja membawa kepada polifarmasi, tetapi juga kepada campuran beberapa dadah yang dikenali sebagai puyer di Indonesia.
Diharamkan
Puyer dilakukan dengan mencampurkan beberapa jenis dadah. Ia dijadikan sebagai serbuk dan dibahagikan ke dalam paket-paket kecil. Kadangkala ia dicampurkan dengan sirap.
Bagaimanapun, ia telah diharamkan di beberapa buah negara. Tetapi, di Indonesia amalan tersebut telah berakar umbi sejak berdekad lalu terutama untuk mengubati masalah kesihatan kanak-kanak.
Sehubungan itu, pakar-pakar mengingatkan bahawa amalan ini mungkin akan menimbulkan masalah kerana dadah atau ubat tersebut mungkin telah dibahagikan secara tidak sekata atau ahli farmasi itu tidak membersihkan mangkuk yang digunakan. Kesannya, ubat tersebut mungkin bercampur-campur.
"Isu sebenarnya bukanlah puyer itu, tetapi aspek pengetahuan dan kepakaran.
"Adakah ahli farmasi itu mengetahui jenis dadah yang tidak dibenarkan? Sejauh mana doktor itu tahu jenis dadah yang tidak boleh dicampurkan dan boleh membahayakan pengguna?
"Campuran itu membuatkan pesakit tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya telah mengambil pelbagai jenis ubat walaupun hanya satu jenis ubat," kata Dwiprahasto, seorang profesor di Universiti Gadjah Mada di Jogjakarta. Dwiprahasto juga merupakan pengerusi Indonesian Pharmacologist Association.
Salah guna
Di Hong Kong, Chui dan rakan sejawatnya baru-baru ini mendapati, penyalahgunaan carbapenem kini semakin berleluasa. Carbapenem merupakan antibiotik yang kuat digunakan di hospital-hospital swasta.
Antibiotik seperti ini hanya disarankan sebagai profilaksis untuk prosedur major tetapi pakar-pakar mendapati, ia juga diberikan kepada pesakit yang menjalani pembedahan biasa.
"Alternatif profilaksis memerlukan tiga dos sehari tetapi ini dilakukan hanya satu dos sehari. Hospital swasta menggunakannya secara berleluasa bagi menyekat semua jangkitan.
"Apa yang paling kami takuti adalah tentangan bakteria stenotrophomonas maltophilia. Jika anda menyalahgunakan carbapenem, bakteria ini akan menjadi lebih mudah membiak.
Stenotrophomonas maltophilia adalah bakteria yang menyebabkan jangkitan luar biasa dan sukar untuk diubati seperti pneumonia, jangkitan pada saluran kencing dan jangkitan dalam darah.
0 comments:
Post a Comment