Kajian menyeluruh sebelum tetapkan tarikh GST

Kajian menyeluruh sebelum tetapkan tarikh GST

PERDEBATAN dan perbincangan tentang bilakah masa yang paling sesuai untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam sistem pencukaian Malaysia masih lagi hangat diperkatakan.

Sebelum ini kerajaan telah memberi jaminan bahawa GST tidak akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini. Penundaan pelaksanaan GST sebenarnya memberi kelegaan kepada rakyat dalam keadaan ekonomi tidak menentu yang membelenggu rakyat pada masa kini.

Ada di antara pendapat yang mengesyorkan agar tarikh GST dilaksanakan ialah selepas berakhirnya krisis ekonomi global yang dijangka akan pulih sepenuhnya pada pertengahan tahun 2010.

Ada juga cadangan agar GST dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun lagi. Ada juga yang mencadangkan agar tarikh tersebut diumumkan pada Bajet 2010 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan. Menarik untuk direnungkan ke atas kesemua cadangan ini kerana jika dilaksanakan, ia bakal memberi sumbangan yang amat besar kepada pendapatan kerajaan.

Namun begitu, pelbagai persoalan perlu diambil kira termasuklah persoalan sejauh manakah kerajaan benar-benar bersedia untuk melaksanakannya.

Persediaan kerajaan meliputi penerangan dan kefahaman yang menyeluruh kepada rakyat tentang GST. Kefahaman sahaja tidak mencukupi kerana kerajaan juga perlu memikirkan bagaimana ia boleh dilaksanakan tanpa membebankan rakyat.

Secara asasnya semua barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai, namun kerajaan juga perlu memikirkan bahawa ada sebahagian barangan dan perkhidmatan merupakan barangan keperluan rakyat.

Adakah GST juga akan dilaksanakan terhadap barangan dan perkhidmatan tersebut? Umpamanya adakah GST patut dikenakan terhadap beras, gula dan minyak masak yang merupakan barangan kawalan?

Bagi perkhidmatan pula, adakah GST perlu dikenakan terhadap pengangkutan awam seperti bas dan teksi yang mana baru-baru ini memperolehi “kemenangan” menaikkan harga perkhidmatan mereka.

Begitu juga persoalan bagaimanakah cukai-cukai ini dikumpul dan seterusnya disalurkan terus kepada kerajaan. Sudah tentu rakyat tidak mahu melihat jika ia dilaksanakan nanti, cukai ini tidak diberikan secara terus kepada kerajaan, tetapi wang daripada cukai yang dibayar dimasukkan di dalam kantung para peniaga itu sendiri.

Suatu mekanisme yang terbaik dan cekap perlu difikirkan agar wang GST ini dapat disalurkan secara terus kepada kerajaan.

Ini baru aspek kerajaan, bagaimana pula dengan rakyat? Adakah bila GST dilaksanakan sistem cukai pendapatan yang sedia ada akan dihapuskan? Jika ia dihapuskan, tidakkah ia bakal menguntungkan golongan kaya sedangkan golongan berpendapatan rendah terpaksa membayar cukai yang sama dengan golongan kaya raya.

Memang benar, golongan kaya akan membeli barangan yang lebih mahal berbanding yang berpendapatan rendah, namun kebanyakan barangan terutamanya makanan dan minuman yang dibeli oleh golongan kaya juga dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah. Tidakkah ini bakal memberi implikasi yang besar terhadap kewangan golongan rakyat yang berpendapatan rendah?

Perlu diingat, kebanyakan rakyat di Malaysia masih lagi berpendapatan kelas menengah dan ke bawah. Pendapatan per kapita rakyat Malaysia jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara yang telah melaksanakan GST seperti Singapura dan Australia.

Tidakkah lebih baik jika GST dilaksanakan selepas kerajaan berjaya mempertingkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia setanding dengan rakyat negara maju melalui model ekonomi baru?

Memanglah tidak dinafikan GST juga mempunyai kesan yang amat baik kepada rakyat dan kerajaan, namun kebaikan ini bakal diperolehi jika ia dilaksanakan dengan penuh cekap dan berkesan serta berlandaskan fakta yang sebenar berkaitan dengan pendapatan rakyat Malaysia.

Maka disyorkan agar suatu kajian menyeluruh perlu dijalankan oleh pihak kerajaan agar segala persoalan dapat dijawab secara terperinci seterusnya membantu kerajaan menetapkan tarikh yang paling sesuai untuk melaksanakan sistem GST. Jika tiada kajian yang benar-benar menyeluruh dilaksanakan nanti, dikhuatiri penetapan tarikh tersebut hanyalah berdasarkan pandangan-pandangan umum yang tidak dapat menguntungkan semua pihak.

Penyelesaian secara menang-menang perlulah berdasarkan penemuan-penemuan daripada kajian tersebut sebelum tarikh sebenar pelaksanaan GST ditetapkan dan diumumkan kepada rakyat.


Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia">

0 comments: