Tak patut timbul keraguan

Tak patut timbul keraguan

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

APABILA timbul isu umat Islam perlu berhati-hati berbuka puasa di hotel kerana juadah yang disediakan belum dapat ditentukan halal atau haram, maka ramai yang tertanya-tanya mengapa boleh jadi sedemikian rupa.

Isu tersebut sama sekali tidak sepatutnya timbul di Malaysia yang diiktiraf sebagai sebuah negara Islam dan diakui di peringkat antarabangsa. Sepatutnya di negara ini pematuhan terhadap garis panduan halal dan haram dipandang serius oleh semua pihak.

Sepatutnya umat Islam di negara ini tidak perlu ada rasa cuak atau was-was untuk berbuka puasa di hotel-hotel atau restoran-restoran besar kerana status Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menidakkan timbulnya keraguan seumpama itu.

Atas dasar negara Islam itulah pengunjung-pengunjung dari Asia Barat semakin membanjiri negara ini kerana bagi mereka selain tarikan alam semula jadi, Malaysia juga menawarkan kemudahan makan, minum dan tempat tinggal 'halal' tanpa perlu ada keperluan untuk melihat logo-logo yang dipamerkan.

Tetapi jangkaan mereka itu tidak tepat. Seorang kenalan yang berbulan madu di negara ini pernah membangkitkan soal logo halal yang dipamerkan di restoran-restoran di negara ini, sedangkan menurut beliau sebagai negara yang penduduknya majoriti beragama Islam, isu tersebut tidak sepatutnya timbul.

Sebelum datang ke negara ini, beliau bertanggapan tidak akan timbul masalah untuk mencari restoran halal atau tidak akan ada logo halal tergantung di luar premis semata-mata untuk mengesahkan makanan yang disediakan adalah halal.

Dalam pemikiran beliau, setiap premis menjual makanan boleh dimasuki tanpa was-was kecuali yang diuruskan oleh bangsa-bangsa lain yang sepatutnya tergantung di luar premis itu 'tidak halal'.

Pandangan beliau itu sememangnya menarik perhatian lantaran amalan di negara ini restoran yang menyediakan juadah tidak halal berselerak di sana sini dan bagi orang luar yang tidak biasa dengan amalan tersebut menyangkakan ia adalah premis halal.

Semakin mengundang kepelikan apabila fakta dan angka menunjukkan hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh negara yang dapurnya diiktiraf sebagai halal.

Tentunya maklumat itu sangat tidak sesuai dan tidak selari dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang majoriti penduduknya beragama Islam di mana soal halal haram tidak boleh dipandang ringan.

Tentunya statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Hotel Malaysia yang menunjukkan hanya 27 hotel mempunyai dapur utama yang diiktiraf halal bukan petunjuk yang memberangsangkan.

Angka tersebut jika disebut di London atau Thailand mungkin tidak akan dipersoalkan tetapi apabila dikaitkan dengan Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, satu tindakan drastik mesti diambil untuk membetulkan keadaan itu.

Dalam keadaan kerajaan kita bersungguh-sungguh mempromosikan hub halal, statistik tersebut menunjukkan arus yang bertentangan dan amat menyedihkan terutama kepada umat Islam di negara ini yang setiap kali Ramadan menjadikan hotel sebagai destinasi utama berbuka puasa.

Sudah tiba masanya pihak berkuasa termasuk kerajaan sendiri melaksanakan dengan serius setiap arahan berkaitan memartabatkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Langkah itu penting supaya orang luar dapat menilai bahawa pengiktirafan Malaysia sebagai negara Islam bukan semata-mata kerana acara rasmi dan keupayaan negara menjadi pengerusi pertubuhan Islam di peringkat antarabangsa.

Sebaliknya, pengiktirafan itu mencakupi keupayaan negara membuktikan usaha mengangkat kemurnian Islam itu sendiri di peringkat domestik yang salah satu daripadanya adalah dengan memastikan setiap arahan berkaitan halal dan haram dipatuhi oleh semua pihak yang berkenaan.

Jakim misalnya mesti secara aktif memantau operasi dapur-dapur hotel dan memastikan setiap dapur utama bersih dan halal yang bukan sahaja boleh dinikmati oleh umat Islam malah bangsa-bangsa lain di negara ini.

Perlu juga ada hukuman berbentuk pengajaran kepada mana-mana hotel yang gagal berbuat demikian seolah-olah mereka mengetepikan keperluan umat Islam di negara ini dalam soal halal dan haram.

Keengganan bekerjasama dalam menyediakan dapur halal itu sedangkan umat Islam yang mengunjungi premis berkenaan bukan sedikit semestinya mengundang persoalan sejauh mana benarnya pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sedangkan dalam soal asas pun Jakim dilihat tidak mempunyai sepenuh kuasa untuk bertindak.

Sejauh mana badan-badan yang diberi kuasa untuk memantau isu halal dan haram ini benar-benar dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan jika pematuhan di pihak industri perhotelan amat rendah malah ada yang tidak mahu langsung berbuat demikian.

Sama juga seperti dalam isu bahasa apabila badan yang diberi tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan tidak mempunyai kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan agenda tersebut sehingga disamakan seperti kehilangan taring.

Begitu juga dengan Jakim yang dilihat tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan sepenuhnya sehinggakan jumlah hotel yang dapur utamanya tidak halal bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Sepatutnya soal dapur-dapur utama hotel enggan menyediakan juadah halal tidak timbul lagi. Isu ini telah lama dibangkitkan namun perkembangan serta sambutannya amat perlahan malah semacam tidak dihiraukan oleh pihak industri perhotelan.

Hasilnya, umat Islam yang ingin berbuka di hotel-hotel di sebuah negara Islam disajikan dengan juadah yang boleh diragui status halalnya - satu perkembangan yang tidak boleh dibenarkan berterusan di negara ini.

Sememangnya diakui Malaysia adalah negara berbilang kaum tetapi ia tidak bermakna isu halal haram terutama dalam aspek penyediaan makanan mesti menyamaratakan kesemua kaum itu.

Teorinya - juadah yang halal untuk umat Islam boleh dinikmati oleh orang bukan Islam, sebaliknya makanan yang haram hanya terhad kepada bukan Islam. Jadi hakikatnya bukankah lebih mudah menyediakan juadah yang boleh dinikmati oleh semua kaum di negara ini daripada mengehadkannya kepada kaum tertentu.

Paling penting adalah keberkesanan fungsi Jakim untuk memantau perihal halal haram bukan sahaja di hotel-hotel malah di restoran-restoran seperti kopitiam yang turut mengundang keraguan umat Islam untuk berkunjung ke situ.

0 comments: