Minda Pengarang: Konsortium Felda, Felcra, Risda jana komoditi negara

Minda Pengarang: Konsortium Felda, Felcra, Risda jana komoditi negara

PENGGABUNGAN adalah strategi memperkasakan modal, kepakaran dan tenaga kerja untuk membina impak baru serta menajamkan fokus operasi. Proses ini banyak dilakukan syarikat dan bank yang bertukar menjadi entiti multinasional atau konglomerat mega dengan tujuan memperkukuh serta melebarkan penguasaan dalam pasaran. Penggabungan juga antara langkah meneruskan kesinambungan dan menjamin kelangsungan sesebuah institusi atau entiti dalam pasaran. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengutarakan idea supaya agensi pertanian terbesar � Felda, Felcra dan Risda bergabung mewujudkan konsortium, jelas ia bermaksud kerjasama dan kesepakatan yang boleh memberi kebaikan bersama. Ia membabitkan soal penggunaan kemudahan bersama, berkongsi rangkaian perniagaan, mengelakkan pertindihan logistik, memanfaatkan teknologi secara bersepadu serta menyelaraskan perancangan atau projek. Penggabungan itu tidak akan melenyapkan nama Felda, Felcra dan Risda. Ia bukan seperti dilakukan kebanyakan syarikat atau bank yang bertujuan mengecilkan operasi dan membabitkan pemberhentian kakitangan. Sebaliknya, kerjasama ketiga-tiga agensi itu akan menjimatkan kos dalam penyediaan kemudahan dan logistik bernilai jutaan ringgit. Ini akan menjadikan ketiga-tiganya lebih berdaya saing, ada penyelarasan malah meningkatkan angka perolehan.

Felcra contohnya boleh berkongsi 72 kilang memproses buah kelapa sawit miliknya di seluruh negara. Felda yang memiliki kelompok usahawan yang menghasilkan produk bermutu, boleh meminjamkan kerangka kerja program itu kepada Felcra dan Risda. Risda yang memiliki stok kayu getah pula boleh membekalkannya kepada Felda yang memiliki kilang perabot. Ini membolehkan Felda mempelbagaikan bahan perabot daripada teras batang pokok kelapa sawit kepada kayu getah. Felda pula boleh membekalkan anak benih kelapa sawit kepada Felcra dan sebaliknya Felcra boleh menggunakan kenderaan Felda untuk mengangkut buah ke kilang Felda dan mengangkut minyak sawit ke pelabuhan untuk eksport. Sekali gus, Felcra boleh menjana hasil baru melalui jualan minyak sawit berbanding jualan buah sawit selama ini. Malah jika Felda dan Felcra mahu mewujudkan kilang memproses minyak sawit menjadi pelbagai produk hiliran, maka semua rancangan boleh direalisasikan melalui konsortium berkenaan. Apa yang penting ialah operasi, matlamat dan piagam korporat masing-masing terus kekal. Adalah sukar malah hampir mustahil menggabungkan operasi dan pengurusan ketiga-tiganya yang mempunyai skop tersendiri � peneroka tanah rancangan (Felda), pekebun kecil getah (Risda) serta penduduk yang terbabit dengan penyusunan semula (Felcra). Namun, penggabungan itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan pendapatan lebih 112,000 keluarga peneroka Felda; 235,000 pekebun kecil getah; serta 78,000 peserta Felcra di seluruh negara.

0 comments: