Najib masih di bawah 'pemerhatian' rakyat

Najib masih di bawah 'pemerhatian' rakyat

Oleh Jamhariah Jaafar

Penjelasan mengenai 1Malaysia mesti dibuat secara lantang

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu mempunyai iltizam dan semangat kuat bagi menghadapi cabaran yang datang silih berganti sejak beliau mengambil alih pentadbiran Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN), empat bulan lalu.

Sebelum ini tempoh 100 hari pertama sering dianggap sebagai masa berbulan madu, namun Perdana Malaysia keenam itu langsung tidak berkesempatan untuk berehat, kerana beban digalas daripada pentadbiran lalu bukan hanya membabitkan kemelut politik, bahkan isu perkauman, krisis ekonomi dan terkini wabak penyakit yang merebak begitu pantas.

Ini adalah hasil pemerhatian Presiden Institut Kajian Politik dan Ekonomi (IKAPE), Tan Sri Abdullah Ahmad, ketika membentangkan analisisnya di seminar 'Pentadbiran YAB Datuk Seri Najib Razak' di Universiti Malaya (UM), anjuran bersama Jabatan Sejarah UM dan Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia, baru-baru ini.

Katanya, sepanjang empat bulan mentadbir negara, Najib menghadapi pendapat umum yang berbelah bahagi, ada yang gembira, marah, ketakutan dan bimbang dengan apa yang bakal berlaku pada masa depan.

"Bukan Melayu mahu apa yang dilihatnya iaitu 'Malay Malaysia' (Melayu Malaysia) ditukar menjadi Malaysia yang mengamalkan meritokrasi sepenuhnya.

"Melayu/Bumiputera pula takut status quo (mereka) terkubur. Maka sebab itu ada usaha (gagal buat atau sengaja dilakukan demikian buat sementara waktu) agar ada perikatan, pakatan atau kombinasi pasukan antara penyokong status quo dengan mereka yang berhasrat (untuk mewujudkan) sebuah negara teokrasi berasaskan syariah," kata Abdullah merujuk kepada usaha parti Pas untuk membentuk Kerajaan Perpaduan dengan Umno dan BN baru-baru ini.

Bekas Duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, menyedari cabaran serius yang sedang dihadapi, Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia, dengan tekad yang diucapkannya dengan tegas iaitu 'Saya akan melakukan reformasi dan perubahan' .

"Terjemahan dan tanggapan saya 'aku bukan (Tun Abdullah) Badawi, aku bukan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan aku juga bukan seperti ayah (Tun Abdul Razak Hussein)," kata Abdullah yang mengulas bahawa Najib mahu mencipta identitinya sendiri dan berharap rakyat tidak menyamakan beliau dengan mana-mana Perdana Menteri Malaysia yang lain.

Bagaimanapun, bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press ini berkata, ramai pemerhati politik termasuk dirinya sendiri mendapati cara pentadbiran Najib hampir sama dengan pendekatan Tunku Abdul Rahman, yang menghadapi kemelut perkauman pertama dalam sejarah negara ini.

Perdana Menteri pertama itu adalah pemimpin Melayu pertama memperkenalkan gabungan parti antara kaum yang dikenali sebagai Perikatan bersama MCA dan MIC, serta mengamal sikap toleransi, perkongsian kuasa dan mewujudkan persefahaman yang akhirnya menjadi pegangan seluruh rakyat Malaysia sehingga hari ini.

Abdullah berkata, Najib hari ini menghadapi cabaran empat penjuru iaitu daripada kumpulan yang mempunyai cita-cita dan matlamat politik berbeza:

# Kumpulan yang ingin mewujudkan Malaysian Malaysia � konsep ini didukung oleh parti pembangkang dan disokong beberapa parti komponen BN.

# Kumpulan yang ingin mewujudkan negara teokratik � didukung parti pembangkang yang mula mengguna cogankata 'Islam Untuk Semua'.

# Kumpulan yang mahu status quo Melayu diteruskan dan diperkukuhkan � berjuang untuk memastikan kontrak sosial dan Perlembagaan Malaysia terus dijunjung, dan

# Kumpulan oportunis � mereka yang mengambil kesempatan apabila wujud saja peluang.

Katanya, semua kumpulan ini telah memecahbelahkan rakyat dan berikutan hasil Pilihan Raya Umum Ke-12 kini terbeban pada bahu Najib, dan rakyat Malaysia masih memerhati dan menilai sama ada beliau wajar diberi sokongan atau sebaliknya.

"Reaksi dan sokongan rakyat berbeza, bergantung dengan siapa anda bercakap. Majoriti bukan Bumiputera dan sekelompok Bumiputera hendak (konsep) Malaysian Malaysia.

"Dalam golongan yang sama, ada (juga) kalangan yang menyokong konsep untuk mewujudkan negara teokratik�. asalkan bukan atau jangan BN yang diterajui oleh Umno.

"Bagi Bumiputera pula, lebih separuh berazam akan mempertahankan status quo. Tetapi barisan ini sekarang kian ramai yang gelisah, sudah mula marah pada kerajaan kerana kepemimpinan (hari ini) dilihat sebagai banyak bertolak ansur dan berkompromi," katanya.

Justeru, Abdullah berpendapat kepemimpinan Najib, dengan dibantu timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti Umno serta barisan kabinet BN perlu menjelaskan dengan lantang apa yang sebenarnya dimaksudkan konsep 1Malaysia, yang memang sedap didengar tetapi agak kabur.

Jelasnya, konsep 1Malaysia penuh percanggahan terutama apabila Timbalan Perdana Menteri berkata dia akan berkompromi, bertolak ansur dengan pelbagai perkara, kecuali dalam isu membabitkan hak orang Melayu.

"Najib dan kerajaan (BN) harus berterus terang apa yang boleh dirunding dan apa yang tidak boleh berpadu padan," kata Abdullah yang turut bersetuju Najib wajar diberi sokongan untuk mewujudkan satu rundingan baru (new deal) kepada rakyat Malaysia.

Abdullah mengaku bahawa tempoh empat bulan adalah terlalu awal untuk menilai kewibawaan Najib yang sedang bertungkus lumus memulihkan keyakinan rakyat terhadap pemerintahan Umno dan BN, apa lagi beliau terus menghadapi ujian yang tidak kunjung padam.

"Saya sebenarnya yakin dengan kemampuan Najib untuk memulihkan keyakinan rakyat, berilah dia tempoh lima, enam bulan lagi� baru kita boleh membuat penilaian sebenar terhadap kepemimpinannya.

"Apapun satu hal yang rakyat tidak mahu, akan menolak dan mengguling pada pilihan raya akan datang (kecualilah ekonomi subur dan kemakmuran melimpah) ialah seorang pemimpin yang tinggal dalam 'fool paradise' atau yang 'delusional'. Saya kira dan berdoa Najib tidak demikian."

0 comments: