Segera realisasikan penubuhan konsortium Felda, Risda, Felcra
SYOR Datuk Seri Najib Tun Razak agar Felda, RISDA dan Felcra bergabung dengan menubuhkan konsortium bagi memajukan industri hiliran wajar diberi perhatian serius oleh ketiga-tiga agensi perladangan terbesar negara.
Penggabungan yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri itu bukannya menyatukan ketiga-tiga agensi berkenaan tetapi ia lebih ke arah membentuk satu jaringan kerjasama ekonomi di bawah konsortium.
Ketika mencetuskan idea itu, Perdana Menteri tentu sekali mengambil kira peranan dan hala tuju ketiga-tiga agensi itu selepas berpuluh tahun penubuhan terutama dari segi manfaat kepada golongan peneroka, projek-projek yang dilaksanakan dan sebagainya.
Walaupun kemampuan agensi-agensi itu sudah teruji termasuk dari segi keuntungan dan kemampuan membayar dividen tinggi kepada peneroka, tetapi gabungan Felda, RISDA dan Felcra di bawah satu konsortium boleh meletakkannya menjadi jenama yang hebat.
Dengan gabungan modal, pengalaman dan kemahiran, konsortium yang bakal diwujudkan nanti boleh merintis usaha memajukan pelbagai industri hiliran berkaitan pertanian.
Selain membina kilang baja seperti contoh yang diberikan oleh Najib, konsortium berkenaan tidak mempunyai masalah untuk membina lebih banyak kilang berasaskan pertanian seperti kilang makanan ternakan, kilang racun tanaman dan lain-lain lagi.
Perdana Menteri tentunya tidak mahu bidang kerjasama melalui konsortium itu hanya terbatas setakat di dalam negara.
Dengan sumber bahan mentah yang pelbagai, tanah luas, modal, tenaga mahir dan pengalaman yang dimiliki, sebenarnya konsortium itu mempunyai peluang cerah untuk berkembang sebagai satu pemaju industri hiliran terkemuka termasuk di luar negara.
Melalui pengeluaran sendiri misalnya baja, racun dan bahan-bahan pertanian, ketiga-tiga agensi itu bukan setakat dapat menjimatkan kos pembelian bahan mentah untuk kegunaan sendiri tapi dapat pula memasarkan produk mereka untuk pasaran tempatan atau eksport.
Najib sendiri berpendapat banyak projek industri hiliran dapat dilaksanakan secara kerjasama antara ketiga-tiga agensi berkenaan termasuk dalam pengurusan ladang dan kilang. Lagi pula, projek-projek membabitkan agensi itu lazimnya mempunyai persamaan dan tidak sewajarnya ia dijalankan secara berasingan.
Hendak seribu boleh, tidak hendak seribu dalih. Perdana Menteri telah membuka jalan dan kini terserah kepada ketiga-tiga agensi itu untuk merintis laluan ke arah merealisasikan usaha penubuhan konsortium tersebut.
Walaupun idea mengenai penubuhan konsortium itu baru dicetuskan, namun rakyat mungkin mengharapkan agar ia dapat direalisasikan segera. Kita tentunya berbangga jika satu hari nanti, banyak jenama produk pertanian terkenal muncul hasil pengeluaran dari kilang-kilang milik bersama konsortium Felda, RISDA dan Felcra.
Jika Perdana Menteri sudah membuka laluan, tiada sebab untuk ketiga-tiga agensi perladangan terbesar negara ini untuk menolak cabaran itu dan ia boleh direalisasikan atas semangat Malaysia Boleh!
0 comments:
Post a Comment