Komitmen cegah jenayah

Komitmen cegah jenayah

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN

SECARA jujur, ada sesuatu yang tidak kena, tidak tepat dan tidak betul dengan 'serangan bersiri' yang dibuat oleh pihak tertentu kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhir-akhir ini.

Amat dikhuatiri, serangan imej yang berterusan ke atas PDRM - yang dilakukan oleh pihak tertentu ini mampu merendahkan 'moral' pasukan polis yang komited dengan usaha mencegah jenayah.

Semua yang cuba dilakukan oleh PDRM dianggap salah dan tidak tepat. Lebih merosakkan lagi, apabila PDRM dikaitkan dengan agenda menjaga kepentingan kelompok penjenayah yang tertentu. Sebagai rakyat, kita perlu mengakui bahawa sejumlah 94,000 anggota PDRM yang ditugaskan untuk menjaga hal ehwal keselamatan rakyat menempuh pelbagai hambatan dan kekurangan.

Maaf cakap, sesetengah balai polis masih ada yang belum mempunyai komputer sekalipun! Kekangan dan hambatan ini kadangkala menyebabkan pasukan polis menjadi 'kurang bersemangat' untuk melaksanakan tugasan dan amanah yang diberikan.

Cuba kita letakkan diri kita di dalam kasut mereka - apakah kita mahu dan selesa berada di kalangan masyarakat sedangkan 'wajah' kita bagaikan dicap dengan pelbagai 'pandangan negatif'.

Masyarakat perlu adil dan menerima hakikat PDRM bukan pasukan yang maksum dan sempurna seluruhnya. Ruang secukupnya mesti diberikan untuk PDRM memperbaiki kualiti khidmat yang ada. Jangan anggap mereka seperti 'tempat melemparkan amarah' semata-mata. Ada ketikanya, merekalah juga tempat kita mengadu dan menyampaikan segala masalah.

Oleh yang demikian, jangan kita selalu terpesona dengan dendang kecaman yang kadangkala dimainkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan. Apa yang direncanakan oleh kerajaan sebagai 'bidang hasil utama' (KRA) iaitu mencegah jenayah - sebagai agenda nombor wahid adalah tepat. Inilah sebenarnya yang rakyat ingin rasai. Suatu persekitaran yang selamat dan tidak dipenuhi dengan insiden jenayah yang menggerunkan.

Sikap masyarakat kita yang utama adalah pendekatan yang bermusim dan tersekat-sekat. Sebagai contoh, ketika mana kita dihadapkan dengan kes pembunuhan Allahyarhamah Adik Nurin Jazlin, semua pihak berasa cukup terpanggil dan prihatin. Ramai yang mengemukakan pandangan. Meletakkan di dalam laman sesawang masing-masing gambar arwah untuk memainkan peranan sebagai rakyat yang prihatin.

Namun, apa yang terjadi selepas itu? Kita kembali kepada norma biasa. Kita kembali kepada kehidupan kita seperti biasa. Pembunuh Adik Nurin Jazlin masih berjalan megah di kalangan kita; tersenyum bahawa 'gelombang rakyat' juga tidak mampu membawanya ke muka pengadilan.

Tidakkah kita berasa kecewa dan hampa? Apa jadi dengan usaha 'Nurin Alert' (mengambil contoh Amber Alert yang dilaksanakan di negara Barat). Apakah ia masih mendatangkan sebarang kesan? Kadangkala sikap 'apathy' dan ketidakpedulian masyarakat kita ini amat mendukacitakan. Kita sudah bertukar menjadi masyarakat yang gemar 'mencemuh' dan 'memarahi' orang lain. Semua orang silap. Aku sahaja yang betul.

Pembangunan minda dan pemikiran yang begini jelas merosakkan generasi kita. Kita mungkin menjadi generasi yang cepat marah dan suka melemparkan telunjuk kepada orang lain. Terjadilah agaknya jenayah kecil di hadapan halaman kita - maka PDRM jugalah yang menjadi bahan sasarnya.

Sesuai dengan kedudukan kita menuju ke status negara yang maju dan hebat; fikrah dan amalan tindakan kita juga wajar menjadi semaju dan sehebat yang kita inginkan. Jangan cepat merungut dan marah apabila hanya sesuatu berlaku kepada 'diri dan keluarga kita sendiri'. Kalau berlaku kepada orang lain - 'aku peduli apa'?

Jika inilah bentuk pemikiran yang ada di kalangan masyarakat kita; apa pun jua usaha dan kerja buat baik yang ingin dilaksanakan - tidak akan mendapat impak yang menyeluruh.

Dalam usaha mencegah jenayah, pilihan yang terbaik adalah menjadikannya benar-benar 'gelombang tindakan rakyat'. KRA tidak akan menjadi bermakna sekiranya sebahagian besar daripada kita memang menunggu untuk melihatnya gagal - sekali gus beroleh 'nikmat politik' daripadanya.

Dalam perkara-perkara yang berkepentingan ramai, yang melibatkan rakyat, yang mencakupi keseluruhan masyarakat - kita sendiri mesti melangkah ke hadapan dan menawarkan khidmat.

Langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuka ruang luas penglibatan sukarelawan di dalam RELA dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) adalah permulaan yang baik. Adalah lebih baik untuk setiap Ahli Parlimen, baik kerajaan ataupun pembangkang, menjadikan misi peribadinya untuk mewujudkan 'kumpulan sukarelawan' cegah jenayah - selain daripada terus terfokus kepada agenda politik.

Masalah dengan amalan politik Malaysia ini; semuanya dipolitikkan. Tidak ada yang boleh diambil sebagai 'garis tengah' dan menjurus kepada rakyat. Yang kononnya 'berpakat' untuk rakyat juga sebenarnya memikirkan tentang 'pakat politik'. Cukup payah jika situasinya begitu.

Apa yang masyarakat ingin lihat adalah - situasi di mana YB Menteri merasmikan 'sukarelawan cegah jenayah' di Pekan dan Pagoh. Dalam masa yang sama, tidak melupakan Permatang Pauh dan Bandar Tun Razak. Barulah nampak hebat dan 'penuh wibawa'. Barulah agenda 'cegah jenayah' menjadi agenda 'rentas politik'.

Masyarakat pun boleh berasa lebih selamat dan bahagia. Mereka dapat membuat kesimpulan - bahawa dalam isu 'mereka', isu 'rakyat' - ada persamaan pemikiran dan tindakan.

Samalah juga dengan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan yang lain - apakah mendokong hasrat kerajaan itu menjadi 'dosa politik' yang tidak boleh dimaafkan? Apakah menjadi dosa kepada Kerajaan Negeri Kelantan misalnya, menerima agenda cegah jenayah sebagai niat kerajaan negeri? Apakah juga menjadi masalah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang?

Rakyat sudah semakin 'bijaksana' dan 'hikmah' dalam menilai kejujuran. Zaman sokongan masyarakat terbeli dengan t-shirt dan menyokong membuta tuli, rasanya sudah berlalu. Masyarakat mahu menilai 'kejujuran' dalam ruang lingkup yang lebih luas dan sepadu.

Dalam 'lapisan halus' niat 1Malaysia Perdana Menteri - adalah elemen khidmat yang tidak selektif dan berpilih. Khidmat yang merentasi sempadan politik dan garis ideologi. Apatah lagi dalam hal 'cegah jenayah' yang menjadi masalah negara. Apakah atas landasan itu sekalipun, orang politik kita masih berfikir tentang politik. Apakah kemuncaknya nanti, waima lubang kubur juga mahu dipolitikkan?

Langkah untuk menambah 'kehadiran polis' dalam masyarakat adalah baik. Namun, setakat ini penulis tidak merasai suasana itu sedang berlaku. Apakah kaedahnya? Di mana kawasan yang diberikan tumpuan? Titik panas yang dicanangkan itu di mana? Apakah rakyat tidak berhak tahu kawasan mana yang lebih bahaya dan mana yang tidak?

Penulis suka mencadangkan, sebagai jawapan kepada permasalahan jenayah jalanan di bandar-bandar besar, pasukan polis mewujudkan struktur baru yang khusus.

Polis Metropolitan - perlu dijadikan satu skuad baru di bawah PDRM. Polis Metropolitan perlu diberikan segala kekuatan untuk menjalankan amanah di bandar-bandar besar di Malaysia. Yang penting, Polis Metropolitan mempunyai kerjasama penuh daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi berkaitan.

Alangkah moleknya, sekiranya Polis Metropolitan Kuala Lumpur misalnya didokong sama oleh kehebatan sistem CCTV Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Malahan diberikan kebenaran oleh akta baru untuk mengakses mana-mana sahaja CCTV bangunan yang terlibat dengan jenayah.

Di luar negara, Polis Metropolitan mempunyai 'fokus dan tumpuan' kepada insiden jenayah, kecil atau besar yang berlaku di dalam bandar. Yang penting, Menteri Dalam Negeri mesti diberikan segala kekuatan untuk merealisasikan 'hajat kepimpinan' yang besar di atas bahunya. Sekiranya beliau terus dihujani dengan masalah yang bersifat 'politikal', tumpuan dan fokusnya mungkin terganggu daripada merealisasikan niat kepimpinan yang secara kebetulan juga menjadi - hasrat rakyat.

Bukan mudah mewujudkan suasana yang selamat secara yang sepadu dan holistik. Cabaran buat Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sememangnya berat. Namun, di atas sokongan dan padu rakyat, insya-Allah ia dapat dilaksanakan.

Agenda kesukarelawanan yang dicadangkan sudah baik - tetapi perlukan agenda pengukuhan.

KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN ialah penulis bebas

0 comments: