|
|
PERWATAKANNYA adalah perkara yang paling sentimental dan kekal dalam ingatan mereka yang pernah mendekati tulisannya. Kita tidak perlu bertemu dengannya untuk merasakan aura intelektual dan keilmuan sepanjang waktu-waktu yang tidak menentu.
Dalam satu tempoh yang singkat, melalui tulisan-tulisannya itu kita merasa akrab dengan tokoh ini.
Sepuluh tahun beliau menimba ilmu di Universiti Amsterdam, Belanda, Allahyarham Prof. Syed Hussein Alatas sejak itu mula menjadi suara kritikal yang membincangkan isu-isu masyarakat, terutama pada peringkat awal selepas merdeka. Ketika itu, mungkin, struktur masyarakat yang masih rapuh sentiasa menjadi perhatian pemikir ini.
Itu belum diambil kira latar belakang kariernya yang hampir semua berlingkar di lembah akademik dan intelektualisme. Sehingga meletakkan beliau pada tahap tersendiri sebagai satu sosok manusia yang berfikir.
Karya
Penglibatan beliau di dalam politik juga tidak diingat orang, seperti karya-karyanya. Dalam tempoh Malaysia membangun, tidak lengkap renungan tentang fasa itu tanpa merenung idea-idea beliau.
Sampailah ke hari ini, jika kita berkesempatan untuk menelaah semula kerja-kerja penting beliau, serta-merta akan terasa cerminan yang cukup jelas tentang raut wajah sebenar bangsa Malaysia secara umumnya.
Pada 1987, buku Intelektual Masyarakat Membangun telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, daripada tulisan asal beliau yang berbahasa Inggeris. Daripada versi ini, ia kemudiannya diterbitkan pula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka menggunakan tajuk sama.
Kritik
Melalui buku inilah, Syed Hussein Al Alatas menyampaikan kritik yang cukup jelas terhadap pemahaman masyarakat tempatan berkaitan budaya intelektual. Satu daripada subjek yang dibincangkan ialah tentang buku Revolusi Mental yang disusun oleh Senu Abdul Rahman.
Buku itu antara lain mencadangkan kepada masyarakat tentang pentingnya peralihan paradigma untuk menimba pengetahuan, masih banyak kecelaruan berbanding membawa manfaat.
Beliau mempertikaikan buku ini. Mengupas pandangan yang dianggapnya cetek dan salah pemahaman. Kemudian, Syed Hussein juga serta-merta menjelaskan perbandingan ideanya sendiri untuk membuatkan kita lebih faham.
Inilah cermin yang akan membuatkan kita malu sendiri ketika mendapati pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh beliau masih relevan hingga ke hari ini. Baik dari sudut pandang sosiobudaya mahupun sosiopolitik. Jadi, persoalannya, apa yang dikerjakan oleh bangsa kita baik pelajar, profesional sehinggalah orang politik sepanjang tempoh itu?
Pada satu waktu lain, polemik dan kontroversi yang melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Buku tulisan mantan Perdana Menteri yang paling popular, Dilema Melayu menjadi bahan bacaan dan perbincangan yang hangat.
Di dalam buku itu, penulisnya seperti menyatakan kelemahan-kelemahan masyarakat Melayu dari kaca mata peribadi. Antaranya ialah kemalasan yang kononnya begitu sinonim dengan orang Melayu.
Membidas
Secara langsung atau pun tidak, sebuah buku lain yang dikarang oleh Syed Hussein Alatas dengan judul Mitos Peribumi Malas seperti membidas dan menjawab paparan sosial yang disebut di dalam Dilema Melayu. Gambaran itu menurut beliau adalah sama seperti bangsa kolonial mahu masyarakat yang dijajah rasakan, bahawa mereka tidak berdaya dan sentiasa perlu bergantung kepada orang lain.
Di dalam buku tersebut juga, Syed Hussein Alatas menyebut dengan cukup jelas pertalian dan psikologi antara penjajah dan orang yang dijajah. Mungkin sebagai cadangan ringkas daripada buku ini, jiwa jangan tewas tanpa belum sempat dimengertikan sebetulnya.
Ada seperkara lagi yang sentiasa menjadi keprihatinan seorang intelektual awam ini, iaitu soal rasuah. Baginya, ini ialah penyakit yang bukan baru. Di dalam buku Rasuah - Sifat, Sebab dan Fungsi, Syed Hussein Alatas mengkaji sejarah rasuah, segala susur galur dan hal-hal lain yang menjadikannya barah dalam ketamadunan manusia.
Pekung
Sebuah lagi buku penting tentang rasuah mungkin Sosiologi Rasuah.
Kini, ketiga-tiga buku ini diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, selepas dua tahun pemergian Allahyarham pada harga yang cukup murah. Membaca tulisan-tulisan ini boleh disamakan seperti membuka pekung di dada.
Tetapi, membuka pekung itu adalah keperluan, demi memperbaiki diri yang selama ini merasakan kita sudah cukup sempurna dan bijak. Ini adalah teks-teks penting yang wajib dibaca, terutama oleh muda-mudi.
Jika diambil serius buku-buku ini dan diteliti, tidak mustahil kita nanti akan terduduk menyaksikan segala hal yang diperkatakan. Mengapa? Selepas beberapa puluh tahun, perkara yang sama masih berlaku.
Misalnya, apabila berbicara tentang rasuah, jika benar-benar mahu mengurangkannya, pemahaman dan kerelaan diperlukan oleh semua bagi mencerai-ceraikan perkara yang menyelubunginya. Tidak ada gunanya mengulang-ulang seruan kosong seperti yang selalu berlaku kini.
Juga, jika ada mahasiswa yang melalui fasa dorman dengan kuliah di kampus ketika ini, tinggalkan itu semua dan cari buku-buku ini. Biar ia menjadi penghuni yang selalu memberikan kesedaran dan bukan sesuatu yang dibuat-buat.
0 comments:
Post a Comment