MUZIUM sering dianggap sebagai tempat yang cukup membosankan. Malah, ia mungkin antara destinasi terakhir dalam senarai lawatan jika lokasi itu dicadangkan.
Tidak kurang ramai yang mengelak untuk singgah ke muzium walaupun berkali-kali diajak oleh kenalan atau ahli keluarga.
Senario inilah yang menyebabkan Muzium Negara misalnya, hanya popular di kalangan pelajar sekolah rendah yang datang secara rombongan atau pelancong asing yang dibawa oleh ejen pelancongan.
Mengapakah reputasi Muzium Negara hanya dilihat sebagai tempat menyimpan khazanah negara dan bukannya sebagai satu destinasi yang tidak jemu dikunjungi?
Ada banyak kemungkinannya. Sejak dibuka pada 31 Ogos 1963 tiada kerja-kerja menaiktaraf dilakukan secara besar-besaran dan menyeluruh. Ini menyebabkan tanggapan orang ramai terhadap Muzium Negara tidak berubah.
Promosi
Atau mungkinkah tiada promosi yang hebat sehinggakan tanggapan orang ramai terhadapnya kekal sejak puluhan tahun lalu? Tanggapan itu perlu diperbetulkan kerana Muzium Negara sering menganjurkan pelbagai aktiviti dan pameran bermusim sebagai tambahan kepada pameran yang sedia ada dari semasa ke semasa.
Melihat 'nyawa' Muzium Negara seperti kata pepatah telur di hujung tanduk, pelbagai pihak mula memberi teguran termasuklah para pencinta warisan budaya. Malah, ahli Dewan Negara pernah menegur dengan menyatakan Muzium Negara sama taraf dengan muzium kelas ketiga. Sehubungan itu, pihak Jabatan Muzium Negara (JMM) merasakan satu perubahan drastik perlu dilakukan segera.
Dana
Inisiatif untuk melaksanakan projek menaiktaraf Muzium Negara dimulakan empat tahun lalu. Ia dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan dana sebanyak RM20 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-9.
Penghujung tahun lalu, Muzium Negara berwajah baru. Namun, perbezaannya tidak begitu ketara. Bagaimanapun, pengunjung dapat melihat 100 peratus transformasi di ruang pameran dan empat galerinya.
"Kita harus mengubah persepsi orang ramai mengenai Muzium Negara dan menjadikannya sebagai satu destinasi yang seronok dikunjungi.
"Ia juga perlu mencerminkan budaya kita melalui maklumat interaktif supaya lebih mesra pengunjung," kata Ketua Pengarah JMM, Ibrahim Ismail.
Jalan cerita
Menurut beliau, sejak Muzium Negara dibina tiada perubahan ketara dapat dilihat. Oleh itu katanya, orang ramai melihat Muzium Negara dengan persepsi yang sama sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Menurutnya, sebelum projek itu bermula, satu jawatankuasa dibentuk dan beberapa pakar dikenal pasti bagi mengumpul idea untuk menentukan konsep muzium dan 'jalan cerita' bagi pameran tetap yang diadakan di Muzium Negara.
Kerja-kerja pengubahsuaian struktur dalaman naik taraf Muzium Negara telah dimulakan pada Jun 2006 setelah segala konsep dan 'jalan cerita' ditentukan oleh pakar-pakar perunding dan pihak muzium sendiri.
Secara umumnya, pameran tetap ini dibahagikan kepada empat zon utama iaitu Zon Kemunculan Masyarakat Awal, Kerajaan Melayu Awal, Kedatangan Kuasa Luar dan Negeri-Negeri Melayu dan Malaysia Kini.
Sebagai permulaan pengubahsuaian, tingkat satu iaitu Galeri C dan D telah ditutup untuk menjalankan kerja-kerja menaiktaraf, sementara Galeri A dan B di tingkat bawah masih dibuka untuk kunjungan para pelawat.
Pada masa yang sama, kerja-kerja luaran bangunan muzium, menyusun atur semula pameran luar, membina pentas terbuka serta khemah berbumbung di perkarangan muzium.
Interaktif
Muzium Negara sebelum ini bersifat konvensional dalam menyampaikan maklumat misalnya, tulis dan papar. Begitu juga dari segi persembahan artifak yang dipamerkan.
"Kini, penyampaian lebih interaktif dengan kios maklumat diletakkan di setiap galeri, selain penggunaan projektor," katanya.
Beliau memberitahu, untuk melakukan pengubahsuaian itu, pelbagai aspek perlu diambil kira. Ini kerana pengunjung muzium terdiri daripada pelbagai umur dan golongan masyarakat, dalam dan luar negara.
"Kami mahu maklumat yang diberikan sampai kepada pengunjung tanpa mengira umur dan bangsa.
"Apa yang penting adalah pengunjung berasa selesa dan seronok ketika berada di muzium," katanya.
Jumlah pengunjung dilaporkan turut meningkat pada setiap bulan sejak Januari tahun ini. Tiga bulan pertama, sebanyak 69,611 jumlah pengunjung dicatatkan manakala dari April hingga Jun, sebanyak 96,613 pelawat singgah di Muzium Negara.
Perubahan
Mengulas lanjut katanya, bukan Muzium Negara saja menjalani proses pengubahsuaian, malah muzium-muzium di bawah JMM juga kini giat menjalani kerja-kerja pengubahsuaian.
Ini termasuklah Muzium Perak di Taiping, Perak; Muzium Kota Kayang di Perlis dan Muzium Arkeologi di Lembah Bujang, Kedah.
"Saya terpegun melihat susun atur Muzium Negara dan usaha yang dilakukan oleh pihak pengurusan cukup membanggakan.
"Mesej yang disampaikan mudah diterima oleh pengunjung dewasa atau kanak-kanak. Saya lihat mereka tidak mempunyai masalah untuk memahami input yang diberikan. Dengan hanya melihat artifak yang dipamerkan, itu sudah memadai untuk membuatkan mereka faham," kata seorang pengunjung, Faradillah Harun, 27, dari Labuan, Sabah.
Faradillah yang pertama kali mengunjungi Muzim Negara menjelaskan, pemikiran masyarakat tempatan mengenai Muzium Negara harus berubah. Ini kerana rakyat tempatan sering mengagungkan muzium negara luar, sedangkan muzium di negara sendiri belum diterokai.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Zain Daud, 45, memberitahu, perubahan yang dilakukan oleh Muzium Negara mampu menarik lebih banyak pengunjung.
"Banyak pembaharuan yang dilakukan dan kemudahan yang ditawarkan juga bersifat interaktif," katanya.
0 comments:
Post a Comment