Pembebasan pengebom Lockerbie satu misteri besar

Pembebasan pengebom Lockerbie satu misteri besar

Oleh Khaidir A Majid

Alasan perikemanusiaan Menteri Scotland, tiada tindakan AS, Britain wujud keraguan

PEMBEBASAN awal warga Libya, Abdel Basset Al-Megrahi dari penjara Scotland Khamis lalu menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Menteri Keadilan Scotland, Kenny MacAskill, berkata pembebasan banduan yang disabit kesalahan di atas pengeboman di udara pesawat Pan Am 103, 21 tahun lalu yang kemudiannya terhempas di Lockerbie, Scotland dibuat atas dasar perikemanusiaan.

Basset, menurut menteri itu tidak dijangka akan hidup lama berikutan menghidap kanser. Atas pertimbangan itu beliau dibenarkan kembali ke negaranya untuk mati di sana. Bagi Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, perasaan perikemanusiaan menteri Scotland itu tidak bertempat kerana Basset tidak pernah mempunyai perasaan sama ketika memasang bom di atas pesawat Pan Am 103 yang meletup dan menyebabkan 290 penumpang terkorban, termasuk 189 rakyat Amerika.

Imej televisyen menunjukkan Basset menaiki pesawat untuk pulang ke negaranya, tanpa dibantu sesiapa dan dikepit pula tongkat, menimbulkan persoalan benarkah dia sakit tenat. Diikuti pula sambutan sebagai wira diterima sekembalinya di Tripoli, bertambah marahlah Amerika dan juga Britain terhadap pembebasan Basset.

Kenapa marah saja? Kenapa tidak dihalang menteri Scotland berkenaan daripada membebaskan Basset? Bukankah Amerika dan Britain berpengaruh terhadap Scotland sehingga boleh memberi tekanan terhadapnya untuk tidak membebaskan 'pembunuh kejam' itu?

Mengapa biarkan Basset hanya menjalani lapan daripada 27 tahun hukuman penjaranya? Bagi kebanyakan orang, termasuk di Britain sendiri, pembebasan Basset itu satu misteri besar.

Kebanyakan kita mahu mempercayai MacAskill dan mahu menerima sebagai hakikat bahawa rakyat Scotland terbukti lebih berperikemanusiaan daripada Basset yang tidak langsung menunjukkan belas kasihan kepada penumpang 103 Pan Am yang menjadi korban penerbangan itu.

Bagaimanapun, suasana di sebalik pembebasan banduan itu amat membingungkan. Antaranya, mengapakah MacAskill menemui Basset di penjara sebelum memutuskan untuk membebaskan beliau? Kenapakah beliau berbuat demikian kerana seorang menteri tidak diperlukan menerusi undang-undang menemuramah seorang banduan sebelum membebaskannya.

Obama mengecam pembebasan itu - pesawat itu adalah milik syarikat AS dan ramai rakyat Amerika terkorban dalam serangan berkenaan. Mengapakah kerajaan Britain sunyi sepi walaupun jelas ia mengetahui Basset bakal dibebaskan beberapa hari sebelum keputusan diumumkan?

Kenyataan Presiden Libya, Muammar Gaddafi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Britain, Gordon Brown dan Menteri Luarnya, David Miliband juga menimbulkan persoalan. Mengapakah berterima kasih kepada mereka jika mereka langsung tidak terbabit dalam pembebasan Basset?

Semua ini membawa kita kepada persoalan apakah mungkin Basset sebenarnya tidak bersalah.

Malapetaka dihadapi Basset bermula apabila Gaddafi menyerahkan beliau kepada mahkamah Scotland. Perbicaraan ke atasnya bermula pada 2001.

Beliau didapati bersalah dan dipenjarakan 27 tahun di Scotland kerana pesawat Pan Am 103 itu terhempas di Lockerbie. Namun, selepas beberapa tahun berlalu, satu demi satu bukti dikemukakan untuk mensabitkan kesalahan ke atas warga Libya itu mula menunjukkan kerapuhannya.

Antara yang membuktikan pembabitan Basset dalam serangan itu ialah keterangan diberi seorang pekedai dari Malta, Tony Gauci. Pada 1988 Basset bertugas sebagai pengawal keselamatan di Libyan Arab Airlines di Malta.

Gauci mengenal pasti beliau sebagai lelaki membeli pakaian kanak-kanak ditemui dalam beg mengandungi bom yang meletup di atas pesawat Pan Am 103. Pekedai Malta itu kemudian ditemui berhijrah ke Australia, hidup mewah dengan wang berjuta dolar yang didakwa dibayar kepadanya untuk memberi keterangan berkenaan.

Satu lagi keterangan menyatakan alat jangka diguna pakai dalam bom terbabit dibekalkan syarikat Switzerland Mebo. Pemilik syarikat itu, Edwin Bollier mendedahkan beliau menolak tawaran AS$4 juta (RM14 juta) daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat pada 1991 untuk memberi keterangan bahawa syarikat itu membekalkan alat jangka MST-13 yang digunakan itu kepada Libya.

Bagaimanapun, salah seorang bekas pekerjanya, Ulrich Lumpert memberi keterangan kepada mahkamah bahawa alat jangka itu dibekalkan kepada Libya. Namun, pada 2007 beliau mengaku berbohong kepada mahkamah.

Pada tahun ini, pendedahan dibuat bahawa ruang bagasi Pan Am di lapangan terbang Heathrow dicerobohi 17 jam sebelum pesawat malang itu berlepas dari London pada 21 Disember 1988.

Polis mengetahui mengenai pencerobohan itu 12 tahun lalu, tetapi memilih untuk tidak mendedahkannya pada perbicaraan berkenaan.

Pencerobohan itu menyangkal teori asal bahawa beg dimuatkan dengan bom � dan pakaian kanak-kanak yang kononnya dibeli Basset � dibawa oleh penerbangan lain dari Malta dan dipindahkan ke pesawat Pan Am 103.

Dengan segala penemuan baru ini, tidaklah memeranjatkan mengapa Suruhanjaya Kes Jenayah Scotland pada 2007 bersetuju merujuk kes Basset ke Mahkamah Rayuan Kes Jenayah di Edinburgh.

Keputusan Suruhanjaya itu mencetuskan krisis kerana perbicaraan baru mungkin mendedahkan bukti rapuh dikemuka dan diterima mahkamah sebelumnya.

Dalam usahanya memerangi keganasan, Washington dan London menghantar anak mudanya menyabung nyawa di Iraq dan Afghanistan. Jika perang menentang keganasan itu begitu penting, kenapakah seorang pengganas paling kejam dibenarkan pulang hanya selepas lapan tahun menjalani hukuman. Apakah ia semudah atas dasar perikemanusiaan?

Penulis ialah Pengarang Luar Negara Berita Harian

0 comments: