Tidak semua jajahan budaya merugikan
Suti Suriani Othman
ADA sesetengah inti pati artikel ini sebenarnya pernah saya sentuh sebelum ini apabila bercakap mengenai budaya Timur dan budaya Barat, tetapi minggu ini saya panjangkan perbincangan itu supaya dapat kita berfikir lagi dan seterusnya belajar.
Kita boleh menghayati sesetengah tindakan yang nampak remeh dan ‘tidak perlu’ tetapi sesungguhnya bernilai besar kepada yang lain. Namun, untuk kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa Barat yang dikatakan lebih maju, kita boleh belajar dan meneladani apa yang baik dalam budaya mereka.
Untuk meraikan bulan kemerdekaan ini, saya berasakan ramai yang setuju keperluan kita untuk merdeka bukan hanya dari segi penjajahan mental, malah juga ‘jajahan budaya’ yang menjadi adat untuk sekian lama, tetapi hari ini memerlukan penelitian semula.
Banyak kisah dan peluang sebenarnya datang daripada laman web berbentuk kemasyarakatan seperti RealCycle Nottingham dan Gumtree Nottingham seperti yang pernah dikongsikan sebelum ini. Begitu juga minggu ini, sesuatu yang menarik saya pelajari mungkin juga dapat memberi idea untuk kita keluar daripada ‘jajahan budaya’ yang mungkin diterima ramai, tetapi tidak semestinya menjadi ikutan yang terbaik.
Kisahnya begini. Pernah suatu ketika, saya mengiklankan beberapa barangan yang tidak diperlukan lagi tetapi dalam keadaan masih baik dan boleh digunakan kepada salah satu daripada laman web yang dinyatakan tadi. Dalam mesej itu, saya turut menyatakan bahawa barangan itu perlu diambil segera, seboleh-bolehnya sebelum Jumaat minggu sama kerana kami akan berada di luar Nottingham pada hujung minggu itu.
Dalam beberapa e-mel sebagai respon daripada mereka yang berminat dengan barangan yang dipromosikan, ada satu e-mel yang saya sifatkan ‘e-mel membuka paradigma baru dalam hal kemasyarakatan’ terutama di kalangan kita yang bukan berbudayakan amalan itu.
E-melnya jika diterjemahkan berbunyi begini, ‘Hai, saya berasa amat risau apabila awak menyatakan yang awak akan keluar hujung minggu ini. Ini kerana, tidak semua individu dalam laman web ini jujur dalam perbuatan mereka. Saya tidak mahu mereka berpura-pura menghantar e-mel dan meminta alamat awak tetapi nanti akhirnya pecah masuk ketika ketiadaan awak di rumah’.
Sejujurnya saya tergamam dengan e-mel itu. Bukan tergamam takutkan rumah dirompak, tetapi terkejut dengan sifat prihatin penghantar e-mel yang nyata tidak mengenali saya, berada jauh dari kawasan perumahan saya dan pastinya tidak akan ‘untung atau rugi’ apa-apa jika berlaku keburukan atau sebaliknya kepada saya.
Itulah yang saya sifatnya ‘e-mel membuka paradigma baru dalam hal kemasyarakatan’ yang sungguh terpuji pada mata dan hati ini. Saya balas e-melnya dengan menjelaskan, ‘Terima kasih kerana keprihatinan anda. Sesungguhnya ‘nilai’ e-mel anda amat saya hargai berbanding e-mel balas yang memaparkan minat terhadap barangan yang saya iklankan’.
Kepekaannya, sungguhpun di alam maya nyata mengharukan dan boleh membuatkan kita berfikir mengenai diri sendiri, adakah kita juga pernah, sedang atau akan bersikap begini. Kebanyakan kita, termasuk saya sendiri tidak selalu ingin mengambil tahu hal seperti ini. Namun perkara ini membuka mata seluas-luasnya, sekali gus membawa saya keluar daripada ‘jajahan budaya’ yang seolah-olah perkara biasa di kalangan kita.
Dalam hal ini, mungkin memberi sedekah kepada mereka yang memerlukan dalam bentuk material adalah sesuatu yang sangat mulia, tetapi apabila direnung dengan mendalam, tindakan menghantar e-mel yang bersifat prihatin dan tidak memberi untung kepada penghantarnya boleh disifatkan dalam bentuk tindakan yang jauh lebih mulia dan berimpak besar.
Mengapa? kerana saya bersedekah juga untuk tujuan material iaitu secara tidak langsung dapat ‘membersihkan’ rumah daripada barangan yang tidak diperlukan lagi. Mudah sungguh kerana mereka yang berminat akan datang mengambilnya di rumah kita tanpa perlu keluar setapak pun. Malah, secara tidak langsung kita dapat memastikan barangan itu digunakan oleh keluarga lain kerana dari segi logiknya jika tidak berminat, mereka tidak akan susah payah berurusan dan datang mengambil barangan itu (sungguhpun hal ini tidak dapat kita pastikan 100 peratus).
Berbeza dengan kes penghantar e-mel tadi. Dia membuat sesuatu yang ‘tiada untung langsung pada dirinya’, malah mengambil masanya untuk kerisauan, menaip e-mel, menekan butang send (hantar) kepada seseorang yang langsung tidak pernah ditemuinya.
Kemungkinan dia mendapat balasan e-mel yang tidak menyenangkan juga ada dan tindakannya itu nyata tidak membawa sebarang keuntungan kepadanya. Senario yang sama turut memperindahkan hari-hari yang kadangkala menekankan di perpustakaan universiti.
Pelajar yang mengetahui mengenai kerosakan komputer tertentu misalnya, akan menulis nota di atas komputer berkenaan sebagai satu bentuk pemberitahuan yang komputer itu tidak berfungsi. Ini juga adalah tindakan ‘tiada motif untung rugi’ tetapi bersifat amat mulia.
Di Malaysia, pengalaman menunjukkan jika berlaku kerosakan mesin dan seumpamanya, bukan saja individu yang tahu mengenai kerosakannya tidak memberi sebarang ‘amaran’, sebaliknya individu yang menaip di sebelah kita yang sedang terkial-kial ini juga menutup mulut, mengambil keputusan tidak ambil peduli.
Selepas sekian lama kita mencuba, barulah kita tahu yang komputer itu tidak berfungsi dan hal ini kadang-kala memberi tekanan terutama jika kita sedang mengejar masa. Maka rugilah masa dan tertekanlah jiwa, tetapi pada masa sama, tiada rasa bersalah dan tiada perasaan ‘perlu’ berkongsi maklumat yang bersifat ‘tiada untung rugi’ tadi oleh pengguna sebelumnya atau pengguna di sebelah kita (jika dia mengetahui).
Walhal, nyata ini bukan tindakan sukar pun. Maka akhir-akhir ini saya cuba berfikir dan bertindak dalam dimensi ini dalam usaha mencontohi amalan baik dari Barat dengan harapan akan membawanya pulang ke Malaysia dan seterusnya bersama-sama menerapkannya sebagai ‘budaya Malaysia’.
Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kewartawanan di Nottingham Trent University, United Kingdom.
0 comments:
Post a Comment