Tafsiran songsang demokrasi hakis semangat patriotisme

Tafsiran songsang demokrasi hakis semangat patriotisme

Oleh Achmad Dzariean Mohd Nadzri
bhrencana@bharian.com.my

PADA 31 Ogos ini, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-52. Kemerdekaan yang dicapai pada masa lalu bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia menuntut segala pengorbanan dan kepayahan generasi terdahulu untuk bersatu dengan menunjukkan semangat cintakan negara yang tinggi.

Semangat patriotisme anggota masyarakat di dalam negara pada ketika itu tidak boleh dipertikaikan lagi kerana setiap warga negara akan berusaha gigih, di samping bertoleransi antara satu sama lain bagi meyakinkan pihak penjajah bahawa negara ini akan aman dan sentosa, walaupun ia didiami struktur masyarakat majmuk yang mempunyai etnik yang pelbagai.

Amalan demokrasi ditinggalkan golongan penjajah berjaya diterima masyarakat dan diamalkan dengan baik. Walaupun takrifan terhadap sistem demokrasi adalah kompleks, ia disesuaikan dengan keadaan hasil daripada kebijaksanaan pimpinan terdahulu dan ketinggian semangat demokrasi yang ditunjukkan generasi sebelum ini.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya amalan demokrasi yang diguna pakai oleh negara dalam sistem antarabangsa amat rumit dan sukar untuk ditafsirkan. Sungguhpun sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan, adalah acuan ditinggalkan penjajah, ia berjaya dipertahankan sehingga hari ini.

Namun, keberkesanan sistem yang diguna pakai ini semakin hari semakin luntur akibat daripada terhakisnya semangat patriotisme di kalangan anggota masyarakat pada ketika ini. Kesedaran masyarakat yang semakin mendalam terhadap prinsip universal seperti kebebasan, keadilan, hak asasi manusia sedikit sebanyak mempengaruhi semangat demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Kecenderungan pihak tertentu yang sentiasa melaungkan perubahan rejim, secara langsung memberi impak negatif terhadap penyuburan semangat patriotisme di kalangan masyarakat terutama golongan muda pada hari ini.

Hakikatnya, semangat demokrasi juga menuntut kepada perubahan, tetapi ia perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana perubahan itu tidak membawa sebarang makna sekiranya semangat cintakan negara sudah tidak wujud lagi dalam masyarakat. Ketiadaan semangat cintakan negara di kalangan generasi muda sekarang, amatlah membimbangkan.

Sesungguhnya hubung kait antara terma demokrasi dan patriotisme amat rapat. Semangat memelihara demokrasi tidak akan lahir sekiranya perasaan cintakan negara tidak wujud. Dalam konteks pembinaan sesebuah negara bangsa, tafsiran mengenai semangat demokrasi dan patriotisme perlu diterjemah mengikut keadaan dan tidak berpandukan kepada terjemahan yang membabi buta.

Disebabkan terlalu taksub untuk mengangkat semangat demokrasi, wujud kecenderungan pihak tertentu memberikan tafsiran songsang terhadap demokrasi. Apa yang berlaku di dalam negara pada hari ini, membuktikan segala-galanya.

Pada satu pihak, prinsip demokrasi itu dianggap adil sekiranya sesuatu keputusan memihak kepada mereka dan ia dianggap zalim jika prinsip demokrasi itu tidak memihak kepada mereka. Pemahaman yang tidak jelas terhadap prinsip demokrasi inilah yang mencetuskan keadaan ketidakstabilan yang berlaku kerana pada hari ini institusi Raja tidak lagi dihormati, kedudukan agama Islam sudah mula dipermainkan dan undang-undang negara dicabuli dengan sewenang-wenangnya.

Rentetan daripada peristiwa inilah menyebabkan semangat patriotisme golongan muda kini semakin terhakis. Usaha murni pimpinan negara yang terdahulu dalam membawa pembangunan semakin lama semakin dilupakan. Kebijaksanaan pimpinan terdahulu memerintah dan mengurus negara mengikut acuan demokrasi ala Malaysia, membawa imej dan prestij positif negara pada peringkat antarabangsa.

Golongan muda kini mungkin sudah lupa dan alpa dengan segala kemewahan yang sedang dinikmati dan langsung tidak pernah memikirkan sejarah terdahulu. Golongan muda pada hari ini tidak pernah mensyukuri nikmat yang dikurniakan.

Apa yang selalu dipersoalkan oleh golongan muda zaman sekarang jika ditanya mengenai semangat cintakan negara ialah apakah manfaat yang akan diperoleh sekiranya menyokong pihak kerajaan. Tetapi adakah golongan ini pernah bertanya kembali kepada diri sendiri apakah sumbangan yang sudah dilakukan terhadap pembangunan negara.

Hakikatnya, pencapaian yang dicapai oleh negara kita pada hari ini tidak akan diperlihatkan sekiranya semangat cintakan negara itu tidak menebal di kalangan rakyat, di samping kebijaksanaan pimpinan negara dalam mencorak dan mengurus pentadbiran negara.

Warisan kepemimpinan negara yang ditadbir urus dalam suasana yang baik ini perlu diwarisi dan dikekalkan bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat direncanakan dengan baik. Sifat-sifat ke arah pemencilan kaum, penolakan terhadap ideologi politik sempit perlu diketepikan kerana jika dibiarkan, ini secara langsung akan menghakis semangat cintakan negara.

Memetik kata-kata Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, iaitu ‘sesiapa yang mempunyai perasaan cintakan negara dan mahu menjadikan negara ini sebagai tanah airnya perlulah menunjukkan perasaan taat setia yang tidak berbelah bagi.’

Sesungguhnya, usia negara kita masih terlalu muda dan perjalanan masih jauh ke hadapan bagi membentuk sebuah negara bangsa yang utuh, dinamik dan progresif. Adalah tidak adil untuk kita memberikan penilaian mengikut selera dan hawa nafsu pihak tertentu kerana tidak ada gunanya kemerdekaan yang akan mencapai angka yang ke-52 pada bulan ini, tetapi kita masih mempunyai mentaliti dan pemikiran yang masih dijajah.

Tiada siapa yang perlu dipersalahkan sekiranya keadaan ini masih berlaku pada hari ini dan realitinya ialah masyarakat kita, terutama golongan muda perlu bangkit semula menyemai perasaan cintakan negara.



Penulis ialah tutor di bahagian Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah

0 comments: