Obses buah dan sayur

Obses buah dan sayur


Mohana Gill


"ANNIL had your lunch? Hmmmm…… had fruits as well?". Soalan-soalan ini terpacul daripada mulut Mohana Gill ketika melihat kelibat anaknya, Annil Gill muncul sewaktu temuramah ini sedang berlangsung.

Dengan mengangguk, Annil menjawab: "Ya… ya.". Dia seakan-akan sudah menjangka soalan itu.

Pada ketika itu, Mohana memberitahu, soalan tersebut adalah lumrah bagi semua ahli keluarganya. Beliau mahu memastikan setiap ahli keluarganya patuh pada diet yang diamalkannya. Obses wanita ini terhadap buah-buahan dan sayur-sayuran yang menjadi menu perdana dalam diet seharian ada sebab tertentu.

Senario perbualan yang hanya berlarutan kira-kira dua minit itu, sudah memadai untuk membuktikan kepekaan Mohana terhadap buah-buahan yang wajib ada dalam rejim pemakanan keluarganya pada setiap hari.

Beliau adalah penulis beberapa buku masakan terkemuka tempatan dan antara bukunya yang laris bertajuk Fruitastic! dan Vegemania. Buku itu pernah satu ketika dahulu menjadi buku yang berada di rak utama di gedung-gedung buku terkemuka di ibu kota.

Anugerah Gourmand World Cookbook Award pada tahun 2006 melalui buku yang berjudul Fruitastic! For Health Living, Longevity and Wellness bagi kategori Best Single Subject Cookbook dan Best Health and Nutrition Cookbook telah melonjakkan namanya dalam dunia penulisan tempatan.

Tidak lama kemudian, buku Vegemania! ilhamnya memenangi anugerah Best Vegetarian Book in the World pada anugerah yang sama yang berlangsung di Pameran Buku London pada tahun 2007.

Penulis buku yang sudah memanjat usia 70 tahun itu tampil menawan dalam gandingan sari rona hijau kebiruan dengan mengenakan sanggul ala biduanita, Saloma pada sesi temu bual ini.

Menurut Mohana, setiap hari sebelum mengambil sarapan, dia akan meminum segelas jus buah-buahan segar sama ada oren, tembikai, epal dan sebagainya.

Amalan minum jus segar itu, membuatkan dirinya mampu bergerak aktif sepanjang hari sekali gus memberi tenaga tambahan untuk tubuhnya yang semakin berusia.


MOHANA membuat banyak penyelidikan sebelum menghasilkan buku.


Mohana yang ditemui Kosmo! di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor meneruskan perbualan dengan menyatakan, pada zaman moden ini, ibu bapa menghadapi kesukaran mengamalkan makan buah-buahan dalam kalangan anak-anak. Ini kerana katanya, gaya hidup masyarakat hari ini, lebih menjurus kepada budaya makanan segera.

"Kanak-kanak pula mudah terpengaruh memilih makanan segera yang sarat mengandungi pelbagai bahan pewarna dan pengawet, sedangkan makanan tersebut mengundang kesan yang kurang elok pada kesihatan.

"Kadangkala, ibu bapa juga tidak bijak menguruskan tabiat makanan anak-anak. Ibu bapa tidak boleh sekadar meminta anak-anak mengambil sepotong betik, nanas ataupun tembikai. Sebaliknya, ibu bapa perlu bertindak kreatif memperaga hidangan buah-buahan mengikut keinginan si kecil," katanya.

Bekas pensyarah ekonomi dari salah sebuah universiti tempatan itu berkata, lebih buruk lagi, ada pula ibu bapa yang selalu menawarkan ganjaran tidak elok kepada anak-anak seperti memberi gula-gula dan minuman bergas sekiranya anak-anak berkelakuan baik.

"Sebagai ibu bapa, kita perlu mengubah minda dengan memperkenalkan lebih banyak buah dan sayur dalam diet harian mereka. Dalam masa yang sama, kita perlu memikirkan yang terbaik dan berkesan untuk memperkenalkan hidangan berkhasiat kepada anak-anak supaya mereka menggemarinya," ujarnya.

Ibu kepada dua anak lelaki yang sudah dewasa ini juga berkata: "Saya pernah melalui kesukaran untuk memuaskan keperluan makan anak-anak. Sebabnya, anak sulung saya, Sanjeev sangat memilih dalam soal makanan.

"Oleh kerana dia pemakan sayur (vegetarian) sepenuh masa, jadi pilihan makanan untuk Sanjeev sangat terhad. Keadaan ini membuatkan saya lebih berhati-hati dan kreatif dalam menyediakan makanan untuknya," kata Mohana sambil memberitahu amalan vegetarian anak-anaknya bermula sejak 15 tahun yang lalu.

Senario itu mendorong Mohana untuk memeriksa label makanan dengan teliti setiap kali membeli bahan makanan di pasar raya-pasar raya besar.


BUKU Fruitastic! pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.


"Sebab itu jugalah yang membuatkan saya sentiasa mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan kemahiran memasak dengan cuba mengubah pelbagai resipi sedia ada kepada menu vegetarian yang enak serta lazat.

"Selain kemahiran memasak, perhatian penuh turut diberi terhadap kandungan, cara penyediaan dan rasa sesuatu makanan yang disediakan untuk ahli keluarga. Ini kerana, saya ingin memastikan makanan yang dijamu itu sihat dan sedap," ujarnya sambil menjelaskan bahawa apa yang perlu untuk menghidangkan makanan yang sihat dan sedap adalah imaginasi, masa, usaha dan kasih sayang.

Lama-kelamaan, suami dan anaknya, Annil juga semakin mengambil berat soal pemakanan. Mereka turut mengambil lebih buah-buahan dan sayur-sayuran segar untuk mencapai tahap kesihatan yang optimum.

"Kadangkala, hidangan makanan juga perlu berwarna-warni. Ia penting untuk mencetuskan mood kepada suami dan anak-anak agar menghabiskan makanan. Hiasi pinggan dengan item makanan berwarna untuk kelihatan seperti pelangi.

"Misalnya, salad. Walaupun hidangan itu hanya terdiri daripada sayur-sayuran segar, anda boleh meletakkan kekacang, nasi, ulam dan sebagainya untuk menjadikan salad itu lebih menarik," kata anak kelahiran Myanmar yang menetap di ibu kota sejak tahun 1960-an setelah berkahwin dengan Dr. S.S. Gill.

Tambahnya lagi, penggunaan herba dan rempah ratus adalah satu cara menambah warna, rasa dan aroma enak dalam makanan.

Mengulas lanjut, mengenai perkembangan dunia penulisan, Mohana berkata, pengalaman melayan kerenah anak-anaknya dalam memilih makanan telah mencetuskan idea kepadanya untuk menghasilkan buku masakan. Penyertaannya dalam persidangan antarabangsa mengenai kesihatan bersama suaminya pula antara faktor lain yang turut mendorong minatnya untuk menulis buku berkenaan.

"Suami banyak membantu saya mendapatkan bahan-bahan rujukan dan saya amat berterima kasih terhadap segala sumbangan suami dalam perkara itu," katanya yang memberitahu buku Fruitastic! setebal 265 muka surat memuatkan resipi berasaskan buah-buahan termasuk minuman, sup, salad, menu utama, jem, pencuci mulut dan cara baru dalam penyediaan buah-buahan.

Sementara itu, buku masakan terbaru Mohana ditulis khusus untuk kanak-kanak dan akan lebih fokus terhadap sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Buku ini akan diberi judul Aheli iaitu nama cucu saya yang baru berusia 1 1/2 tahun dan kini berada di Australia.

0 comments: