|
|
DI sebuah bilik rumah sewa bujang di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor, senaskhah buku yang nampak lusuh mula memanggil. Detik ini berlaku pada tahun 2003. Di antara celah tilam nipis dan lantai parkir, kulit buku itu semacam bercerita dengan penuh tenang tentang isi di dalamnya. Waktu itu belum diketahui lagi apakah yang mahu dimuntahkan oleh kandungan buku tersebut.
Detik itu juga menyaksikan kuliah di Universiti Malaya (UM) amat membosankan dengan siswa-siswi di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) kelihatan lebih cenderung untuk melepak di belakang kafe sambil menayang kasut dan jeans baru serta berbual kosong.
Tidak ada perkara yang benar-benar menambat inspirasi seorang anak muda pada waktu itu.
Tetapi di rumah, ada beberapa kerat manusia yang bernafsu terhadap buku. Internet menjadi sumber informasi dan kemudiannya, oleh kerana tiada dana wang yang banyak, kedai buku terpakai Payless Book (kini sudah tiada) yang terletak di tingkat satu Amcorp Mall menjadi lubuk pemburuan.
Seorang teman menemui buku ini di situ. Into The Wild dicapai dan dibawanya pulang ke rumah sewa bujang kami. Saya lambat berkenalan dengan tajuk yang satu ini. Tetapi ia tidak menunggu lama untuk minta dibaca.
Waktu malam yang kosong, kami berbicara tentangnya. Teman tadi akan bercerita ringkas dan saya pula diam. Menahan rasa yang semakin membuak untuk tahu lebih lanjut, saya meminjam buku ini dan tidak lama selepas itu, saya mula hanyut.
Ia mengisahkan tentang seorang anak muda Amerika, Christopher McCandless (Chris) yang memperjudikan setiap perkara dalam hidup termasuk kebodohan untuk membuat pilihan yang dimahukan.
Ada dua perkara teras yang dipotretkan oleh Chris. Pertama, bagaimana seorang anak muda lepasan kolej yang idealis membuang kehidupan yang sedang dilalui dan menggantikannya dengan sesuatu yang baru serta lain.
Dia ialah antara segelintir individu yang tidak senang untuk terus duduk di dalam lingkaran keselesaan yang sudah tersedia. Keluarga yang harmoni, cukup wang untuk hidup, memiliki kereta dan kerjaya cerah yang sedang menanti tidak lagi menjadi penawar jiwa yang sedang sakit.
Seperkara yang pasti dan mungkin hal besar yang mendorongnya melakukan perubahan hidup itu adalah kongkongan. Keputusan hidup yang setakat itu sentiasa ditentukan oleh orang lain. Ia lama-kelamaan menjadi himpitan perasaan yang berakhir dengan rasa memberontak yang tidak ketentuan.
Kedua, bagaimana Chris menghimpun tenaga serta keyakinan untuk mengambil keputusan dan tidak berpaling lagi. Lazimnya anak muda, naluri penerokaan sentiasa tebal.
Dalam diri Chris, semuanya tergambar termasuk penerokaan fizikal, spiritual, tempat, masa dan keterbatasan diri. Agaknya Chris yang tersedar daripada normaliti dan realiti persekitarannya selepas tamat pengajian di Universiti Emory mahu menebus kembali 'kebebasan' yang sebelum ini terlepas pandang dan dirampas oleh keadaan semasa.
Jon Krakauer, sang penulis buku ini kembali menjejaki laluan yang diambil oleh Chris iaitu laluan naluri (dengan cara berteori) dan juga laluan fizikal (tempat-tempat persinggahan Chris). Chris hakikatnya terlalu terdesak dengan perasaan sendiri.
Dia mengosongkan baki akaun yang bernilai AS$25,000 (RM87,500), membakar wang tunai di dalam dompet dan meninggalkan kereta untuk memasuki satu 'alam' lain yang miskin kebendaan. Mungkin itu disengajakan, tetapi hakikatnya ia terlalu drastik.
Apa yang menjadi kemarahan insan bernama Chris itu masih boleh dibincangkan kerana tiada siapa benar-benar mengerti situasi tersebut.
Chris kembali kepada perkara paling asas. Mengembara dengan kaki, memerhati kehidupan dari corong berbeza dan jatuh cinta dengan entah siapa di tempat yang entah di mana. Menikmati kehidupan dengan mood yang paling minimum dan menyerap persekitaran yang mungkin menenangkan jiwanya.
Dari satu tempat ke satu tempat, tanpa berita kepada keluarga mahupun teman-teman lama, Chris menyamar sebagai Alex iaitu nama yang akan diberitahunya kepada orang-orang yang bertanya dan terserempak atau menumpangkannya ke mana-mana.
Apabila penempatan manusia tidak lagi membenihkan kenikmatan yang diharapkan, Chris memasuki zon yang sudah lama diidamkan iaitu alam liar. Tanpa perlindungan, tanpa perasaan dan tanpa kemanjaan seperti kebiasaannya seseorang mahukan, Chris pasrah menuju ke gurun salji Alaska.
Di situ, dia menemukan kebahagiaan sebelum merempuh kecelakaan. Dengan beg sandang dan bekalan makanan yang sedikit, dia menghamparkan tilam kembara di dalam sebuah 'bangkai' bas lama di daerah Fairbanks.
Itulah rumahnya. Dengan beberapa buku, dia menikmati hidup di sana. Tetapi, alam liar yang diinginkan itu terlalu rakus. Dalam kesejukan, tiada makanan yang mampu menyediakan kehangatan, perkara paling asas di tempat seperti itu.
Akhirnya, kelemahan sendiri memakan diri. Chris tersilap baca tentang tumbuhan-tumbuhan liar yang boleh dimakan di dalam sebuah buku. Kesilapan itu membawa padah apabila dia termakan sejenis tumbuhan beracun. Akhirnya, dia menemui ketenangan abadi ketika salji menebal sebelum mayatnya ditemui.
Selepas buku ini, sebuah filem dengan tajuk yang sama diterbitkan. Ia diarahkan oleh Sean Penn dan muzik oleh Eddie Vedder (Pearl Jam). Satu lagi penghormatan untuk semangat yang sukar dimengerti oleh seorang anak muda seperti Chris.
Berdepan dengan kisah ini waktu itu membawa angin yang lain. Angin yang bercerita tentang semangat dan keyakinan individu yang dalam usia 20-an telah dijanakan.
Melihat persekitaran hidup di UM waktu itu, corong meloloskan diri seperti ini amat membantu untuk mengelak sesak jiwa walaupun ia hanya datang dalam khayalan yang sebentar.
Inspirasi adalah perkara besar untuk anak-anak muda agar terus melihat kehidupan. Tetapi pengakhiran tragis seperti yang dilalui Chris mungkin ada jalan yang lebih molek. Dia memagut kepercayaan yang kental untuk diyakini. Agaknya, Chris tidak mati sia-sia.
0 comments:
Post a Comment