Memilih bukan retorik

Memilih bukan retorik

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

SETAHUN sudah berlalu sejak kerajaan negeri Pulau Pinang dirampas pakatan pembangkang. Namun di kawasan Parlimen Permatang Pauh, landskap politiknya tetap sama.

Tiada program pembangunan yang boleh ditakrifkan maksud sebagai pembangunan sebenar. Tiada infastruktur baru yang terbina atau 'nampak'.

Permatang Pasir, antara tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Permatang Pauh juga tidak terkecuali. Tiada langsung tempias pembangunan.

"Meskipun saya ADUN BN Seberang Jaya, saya juga menumpukan perkhidmatan di dua kerusi DUN pembangkang lain - Penanti dan Permatang Pauh.

"Tapi kadangkala terpaksa lepaskan juga, yalah, keutamaan peruntukan tentulah untuk pengundi saya di Seberang Jaya. Pada masa sama terpaksa pula guna peruntukan peribadi untuk menyalurkan khidmat di sana, tapi setakat mana yang termampu oleh saya, ia mendatangkan beban untuk saya," kata Datuk Arif Shah Omar Shah ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Arif Shah yang tewas kepada penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perebutan kerusi Parlimen Permatang Pauh Ogos tahun lalu melihat tumpuan pemimpin pakatan pembangkang di Permatang Pauh dalam setahun ini hanyalah kepada sesi menghadiri sesuatu majlis untuk menunjukkan mereka "ada".

Sedangkan permasalahan sebenar dan realistik berkaitan pembangunan melempar yang merata. Sesekali 'singgah' di Kubang Hulu, Kampung Tun Saadon atau Kampung Permatang Pasir sendiri, masalah ekonomi penduduk agak ketara. Kemudahan atau tambahan infrastruktur masih terawang-awang.

Ketika kerajaan BN sebelum ini sibuk merencana pelbagai program pembangunan di merata Pulau Pinang, perancangan itu tiba-tiba terbantut pada Mac tahun lalu apabila pakatan pembangkang membuat kejutan mengambil alih kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri diterajui Lim Guan Eng beberapa ketika mengambil alih kemudian menguar-uarkan kemiskinan tegar sudah dihapuskan di Pulau Pinang.

"Tetapi sedarkah beliau bahawa ia telah diselesaikan oleh kerajaan negeri BN terdahulu, ini tidak ubah seperti bertelur sebiji riuh sekampung,'' kata Arif Shah.

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik, Noor Sulastri Yurni Ahmad ketika dihubungi berkata, beliau percaya BN masih berpeluang untuk menang di Permatang Pasir jika diambil kira kehendak 80 peratus daripada 300 pengundi di Permatang Pauh yang mahukan parti itu meletakkan calon di Penanti tempoh hari.

Meskipun BN tidak meletakkan calonnya, namun keterampilan parti itu di Permatang Pasir kali ini sudah cukup menjelaskan betapa pentingnya peranan BN atau UMNO khususnya, diperlukan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan kaum lain di Pulau Pinang.

Lihat sahaja apa yang berlaku dalam tempoh 12 bulan mereka memerintah. Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah menjanjikan bahawa dengan kuasa di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, pakatan akan melaksanakan dasar pasaran bebas yang mesra-perniagaan demi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing dan melahirkan ketelusan dan tanggungjawab lebih tinggi dalam urusan perniagaan.

Malah, PKR turut meletakkan salah satu keutamaan dalam perjuangan parti itu dan sekutu-sekutunya ialah untuk mula berdialog dengan para pelabur asing yang sudah bertempat di negeri-negeri tadi.

Selain itu, pembangkang mahu membanteras gejala rasuah dengan meletakkan sasaran iaitu dasar toleransi sifar terhadap rasuah yang bakal meninggalkan impak besar daripada segi mengurangkan kos urus niaga dan membina keyakinan dalam perusahaan kecil dan sederhana.

Tidak terkecuali juga kakitangan kerajaan daripada berurus niaga dengan kerajaan, seterusnya mengurangkan insentif untuk kronisme dan perjanjian dalaman yang begitu membelenggu kerajaan sekarang.

"Janji-janji yang ditaburkan ini disebarkan secara meluas melalui pengguna media baru iaitu laman web Anwar.

"Namun perjuangan akar umbi yang benar-benar membela nasib rakyat seperti di Pulau Pinang ketara tidak meninggalkan kesan yang drastik," kata Noor Sulastri yang juga pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa dalam ucapan Bajet 2009 Negeri Pulau Pinang, Guan Eng membangkitkan isu tentang tanah-tanah yang diambil semula seperti di Sungai Dua yang dikatakan milik kerajaan negeri.

Malah berjanji mewujudkan peluang pekerjaan (projobs) yang menganggarkan seramai 50,000 pekerja swasta kehilangan kerja dengan memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM500 juta. Tetapi hakikatnya semua ini masih di peringkat "ujian" dan belum terlaksana sepenuhnya.

Penyelesaian-penyelesaian yang cuba diketengahkan oleh DAP ini belum mampu menarik perhatian pengundi Melayu bagi memperjuangkan hak mereka. Kedudukan geografi dengan tanah yang sangat terhad, harga tinggi serta lambakan pelabur asing, benar-benar meresahkan rakyat ketika ini.

Baik Arif Shah mahupun Noor Sulastri, kedua-duanya yakin BN masih berupaya untuk membuat kejutan pada pilihan raya kecil Permatang Pasir 25 Ogos ini.

"Nampaknya peluang itu cerah jika kita semua dalam satu barisan bekerja keras menemui rakyat dan lebih penting lagi menganggap calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan itulah wakil rakyat kita di Permatang Pasir nanti," kata Arif Shah.

Arif Shah percaya pengundi Permatang Pasir dapat membuat penilaian yang adil dan bijaksana. Pengundi perlukan seorang wakil rakyat yang tidak beretorik, tidak terlampau berpolitik dan paling penting menjalin kerjasama erat dan mesra dengan Kerajaan Pusat - demi kesejahteraan penduduk setempat.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Putrajaya

0 comments: