Anugerah Merdeka medan tonjol kebolehan anak Malaysia

Anugerah Merdeka medan tonjol kebolehan anak Malaysia

Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my

ESOK sekali lagi penerima Anugerah Merdeka diumumkan. Majlis Anugerah Merdeka edisi ketiga itu, mungkin memberi kejutan. Setiap penerima memperoleh hadiah wang tunai RM500,000, tetapi ganjaran itu mungkin terlalu kecil jika dibandingkan impak sumbangan penerimanya kepada rakyat dan negara ini.

Selepas tiga tahun anugerah berprestij setaraf Hadiah Nobel itu diperkenalkan, nyata negara ini tidak kekurangan warga yang mempunyai inspirasi dan aspirasi bagi memenuhi kriteria pemilihannya.

Hakikatnya, bangsa dengan inspirasi untuk berjaya yang tinggi boleh mengubah pembentukan tamadunnya sehingga disegani bangsa lain. Namun, inspirasi itu tidak pula menjadikan bangsa berkenaan memiliki motivasi untuk berjuang mencapai matlamat mereka andainya mereka kekurangan aspirasi untuk melakukannya.

Justeru, sebaik bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pengenalan Anugerah Merdeka pada 27 Ogos 2007 bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-50 negara, tidak ramai sebenarnya memahami tujuan ia diwujudkan.

Tahun lalu menyaksikan tiga individu berbeza latar belakang menerima anugerah itu berdasarkan pencapaian mereka membawa negara ke satu tahap yang membanggakan.

Daripada pemilihan calon sehinggalah keputusan akhir menentukan penerima yang benar-benar layak, semua dilakukan panel terdiri daripada individu dihormati dalam bidang masing-masing.

Keunikan kriteria calon penerima anugerah ini bukan saja terletak pada sumbangan mereka untuk negara, malah impak mereka hasilkan menerusi kerja keras tanpa mengenal erti putus asa dan tidak pula mengharapkan balasan.

Semua ini diambil kira dan dinilai secara kritis oleh sekumpulan individu berwibawa melalui proses pencalonan yang terhindar daripada pengaruh politik dan juga meritokrasi. Tidak ada kuota Bumiputera atau bukan Bumiputera diguna pakai dalam membuat keputusan muktamad.

Setiap pencalonan dibuat juga tidak diiklankan di media, sebaliknya dilakukan berdasarkan kajian dan pencarian yang dibuat sendiri oleh panel dilantik bagi mengekalkan betapa eksklusifnya anugerah berkenaan.

Satu pasukan ditubuhkan terdahulu bagi membuat kajian mengenai Hadiah Nobel dan mereka ini dihantar ke Oslo, Norway bagi merangka bentuk Anugerah Merdeka mengikut acuan dan cita rasa tempatan.

“Pemberian anugerah ini bukan mudah. Pelbagai proses saringan dilakukan oleh jawatankuasa pencalonan, jawatankuasa keputusan sebelum diluluskan dan diterima Lembaga Pemegang Amanah Anugerah. Semua proses ini menjadikan anugerah ini mempunyai prestij tersendiri.

“Jika anda menyelamatkan seorang budak daripada mati lemas, itu tidak memungkinkan anda boleh tersenarai sebagai calon penerima anugerah ini. Kita hanya melihat sumbangan anda berikan itu mampu memberikan impak untuk satu jangka waktu panjang kepada masyarakat dan pembentukan negara,” kata Pengerusi Sekretariat Penganjuran Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohamad ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, anugerah ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia sama ada orang perseorangan atau pertubuhan asalkan memenuhi kriteria ditetapkan. Bagi kategori Sumbangan Ulung kepada Rakyat Malaysia pula diberikan kepada warga asing yang memberikan sumbangan dengan impak besar kepada rakyat negara ini.

“Lembaga Pemegang Amanah anugerah ini merangkumi wakil daripada tiga konglomerat minyak ternama iaitu Petronas, ExxonMobil dan Shell yang sudah menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta dalam tabung amanah khusus bagi anugerah ini.

“Satu sekretariat juga ditubuhkan bagi tujuan mengurus, merancang dan mengendalikan semua aktiviti membabitkan penganugerahan itu. Jika Filipina boleh berbangga dengan Anugerah Magsaysay yang diperkenalkan sejak 1957, kita mengharapkan Anugerah Merdeka ini juga boleh menjadi kebanggaan kepada penerimanya,” katanya.

Pada majlis sulungnya tahun lalu, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dipilih sebagai penerima anugerah itu untuk kategori Pendidikan dan Komuniti; Kumpulan Pengkaji Ensefalitis Virus Nipah dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan Profesor Datuk Dr Khalid Kadir (Kesihatan, Sains dan Teknologi); Persatuan Pencinta Alam Malaysia (Alam Sekitar) dan Datuk Leslie Davidson untuk kategori Sumbangan Ulung kepada Rakyat Malaysia.

Pemilihan Ungku Aziz amat bertepatan jika diambil kira sumbangan beliau dalam pembentukan sebuah institusi yang kini mendapat pengiktirafan dunia, iaitu Tabung Haji serta kajiannya mengenai kadar kemiskinan di kalangan nelayan dan Melayu di luar bandar.

Usaha beliau sanggup mengalami sendiri kepayahan golongan miskin dan tinggal bersama mereka selama berbulan-bulan kira-kira 30 tahun lalu, demi menyiapkan kajiannya itu adalah sesuatu yang terpuji dan pastinya tidak ramai yang berani melakukannya.

Paling membanggakan, hasil kajian beliau itu diguna pakai agensi kerajaan berkaitan dalam merumus dan memperkenalkan dasar bagi menambah baik struktur ekonomi dan sosial golongan itu.

Selain itu, cetusan buah fikiran beliau dalam penubuhan Tabung Haji dan pergerakan koperasi negara turut memberi dimensi baru bagi usaha berterusan membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah, di samping sumbangannya dalam bidang pendidikan, terutama ketika menerajui Universiti Malaya.

Kumpulan Pengkaji Ensefalitis Virus Nipah dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya dipimpin Dr Tan Chong Tin yang terpilih sebagai penerima bersama kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi berikutan kejayaan mereka menghasilkan penemuan dan pemahaman punca, kesan dan pengawalan jangkitan viral Ensefalitis Nipah juga bersesuaian kerana hasil kajian dijalankan kumpulan itu kini menjadi rujukan saintis di seluruh dunia seandainya serangan virus seumpama itu berulang.

Bagi seorang lagi penerima untuk kategori sama, Profesor Datuk Dr Khalid Kadir yang mengabadikan separuh usianya membuat penyelidikan dalam bidang berkaitan penyakit kencing manis (diabetes), kaitannya antara hormon serta tekanan dalam pelbagai jenis tisu, sememangnya layak menerima pengiktirafan berkenaan.

Tahun lalu juga menyaksikan Datuk Leslie

Davidson menjadi penerima pertama bagi kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia atas kesungguhan beliau membangunkan komoditi kelapa sawit berskala besar di negara ini.

Hasil kajiannya terhadap pendebungaan menggunakan serangga Elaeidobius Kamerunicus dari Afrika ke atas kelapa sawit menyebabkan peningkatan besar dalam pembangunan dan hasil tuaian ladang, yang membawa kesan positif bukan saja kepada ekonomi negara, malah kepada kehidupan mereka yang terbabit dalam industri ini.

Atas sumbangan beliau itu juga melakar sejarah baru kepada negara dan mengubah landskap ekonomi Malaysia daripada kebergantungan sepenuhnya sebelum itu kepada hasil minyak kepada komoditi berkenaan.

Dedikasi dan usaha berterusan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) terhadap pemuliharaan Hutan Simpan Belum-Temenggor di Perak melayakkan mereka menerima Anugerah Merdeka bagi Kategori Alam Sekitar.

Hasil kerja keras mereka dalam dua siri ekspedisi meneroka hutan simpan itu pada 1993 dan 1998 dibantu saintis dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) dijadikan ukuran kepada keputusan kerajaan mewartakan kawasan itu sebagai Taman Negara.

Satu garis panduan pengurusan hutan simpan juga dihasilkan MNS sebagai rujukan kepada setiap kerajaan negeri yang mahu melakukan penerokaan kawasan hutan di bawah pentadbiran mereka.

Semua penerima ini jelas memberikan impak kepada negara dan lebih jauh lagi, mereka turut memberikan dimensi baru kepada dunia yang sering memandang rendah terhadap kemampuan anak Malaysia.

Harapannya hanya satu, untuk melihat Anugerah Merdeka bukan hanya menghadiahkan sejumlah ganjaran (RM500,000 untuk setiap penerima anugerah), malah turut memberikan inspirasi dan aspirasi kepada generasi baru untuk berusaha mencapai sesuatu yang bukan hanya membanggakan diri mereka, sebaliknya membanggakan Malaysia ke serata dunia.

Jika anugerah ini turut diberikan kepada mereka yang sudah pergi meninggalkan kita, tidak mustahil Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Yasmin Ahmad berada dalam senarai penerima kali ini.

0 comments: