Teruskan siasatan, jangan peduli persepsi pembangkang

Teruskan siasatan, jangan peduli persepsi pembangkang

BUKAN sukar untuk memahami mengapa tiba-tiba Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seolah-olah 'merajuk' apabila mahu membekukan siasatan kes-kes membabitkan orang politik.

Ia sebenarnya ada kaitan dengan sejarah penubuhan SPRM. Awalnya Badan Pencegah Rasuah (BPR) di bawah pemantauan kerajaan, kini menjadi suruhanjaya bebas yang dipantau lima jawatankuasa dan panel luar.

Masalah besar BPR dulu ialah krisis persepsi yang seolah-olah tidak berkesudahan. Kini, sebagai suruhanjaya bebas ia masih berdepan masalah sama dengan kebanyakan persepsi negatif dicetuskan oleh pemimpin parti-parti pembangkang.

Sebab itulah, dalam konteks BPR-SPRM, soal persepsi mengenai integriti di Malaysia sebenarnya tidak banyak kaitan dengan keperluan mengubah sistem atau struktur pentadbiran agensi terbabit.

SPRM ditubuhkan pada awal tahun ini atas kesedaran para pemimpin kerajaan sendiri dan juga selepas mendapat desakan hebat daripada para pemimpin pembangkang.

Sesetengah pemimpin pembangkang secara terang-terang mencadangkan supaya suruhanjaya itu mestilah menjadikan sepenuhnya Suruhanjaya Antarabangsa Menangani Rasuah (ICAC) di Hong Kong sebagai model.

Apabila SPRM ditubuhkan dengan mencontohi sepenuhnya ICAC, pemimpin parti pembangkang di negara ini masih mencari alasan untuk memperleceh suruhanjaya itu.

Bekas Pesuruhjaya ICAC, Tony Kwok sendiri datang ke Malaysia tahun lalu. Katanya, struktur dan bidang kuasa SPRM jauh lebih baik daripada segenap sudut berbanding ICAC sendiri. Tetapi pengiktirafan itu tidak diendahkan oleh pembangkang.

Sikap itu membuatkan mereka bukannya pejuang membanteras rasuah sebaliknya tergolong dalam 'kumpulan pencinta isu rasuah' (meminjam istilah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed).

Bagi kumpulan itu, isu rasuah tidak patut 'mati'. Isu-isu rasuah membolehkan mereka mencari publisiti dan populariti murahan.

Berbalik kepada kenyataan Pengarah Siasatan SPRM, Shukri Abdull mengenai pembekuan siasatan kes-kes ahli politik, ia sekadar menjadi tanda kemuncak 'kebosanan' suruhanjaya itu. Kenyataannya nampak serius tetapi sebenarnya bersifat sinis. Sindiran beliau tepat ditujukannya kepada pemimpin parti-parti pembangkang.

Pemimpin pembangkanglah yang selama ini menjadi pendesak penubuhan SPRM dan menuntut rasuah diperangi habis-habisan tanpa pilih kasih.

Mereka akan menyokong malah menjadikannya modal kempen setiap kali SPRM menahan, menyiasat dan mendakwa pemimpin parti pemerintah. Namun, selepas menjadi pemerintah di beberapa negeri, mereka tidak dapat menerima sama sekali apabila ada kalangan mereka disiasat kes rasuah. Menjadi saksi sesuatu kes pun ditolak bulat-bulat.

Mereka bukan saja mendakwa SPRM tidak telus, tidak profesional dan bermacam-macam tuduhan lain malah sanggup menuduh suruhanjaya itu terlibat dalam konspirasi jenayah terhadap saksi termasuk dalam kes kematian Teoh Beng Hock.

Dari segi hakikat perjawatan, Shukri atau pegawai penjawat awam dalam SPRM sebenarnya tiada kuasa pemutus untuk membekukan sebarang siasatan.

Ia kini dalam bidang kuasa Panel Penilaian Operasi SPRM iaitu badan bebas yang mengkaji dan memutuskan berhubung kertas siasatan. Ini termasuk mengarahkan SPRM membuka semula atau menutup sesuatu kes. Shukri pastinya tidak bermaksud melampaui kuasa panel bebas itu tetapi sekadar memberi mesej kepada 'kumpulan pencinta isu rasuah' supaya berjuanglah membanteras rasuah, bukan mencari populariti murahan.

Kepada Shukri dan pegawai SPRM, usahlah gentar dengan sebarang ugutan, kecaman dan tekanan kumpulan tersebut. Jangan dipedulikan persepsi apa pun yang hendak diberi oleh mereka. Ini kerana mereka bukannya pejuang dalam isu rasuah.

Sesungguhnya, persepsi mengenai tahap integriti rakyat Malaysia dan kredibiliti SPRM sendiri bukan ditentukan kata-kata dan tindak-tanduk kumpulan berkenaan, sebaliknya oleh rakyat Malaysia yang selama ini menyokong tindakan suruhanjaya itu.

0 comments: