'Nafas baru' Pemuda, Wanita MIC

'Nafas baru' Pemuda, Wanita MIC

Oleh SANTHY MUTHALU
pengarang@utusan.com.my

PEMILIHAN pemimpin bagi Pergerakan Pemuda dan Wanita MIC kelmarin memberikan keputusan seperti yang dijangka ramai. Ini kerana mereka yang dipilih membarisi kepimpinan sayap MIC itu bukanlah muka-muka baru bagi kaum minoriti ini.

Kebanyakan daripada mereka telah lama berkecimpung dalam arena politik terutamanya di dalam MIC.

T. Mohan yang dahulunya Penyelaras Pergerakan Pemuda MIC, mengalahkan anak saudara Presiden parti, S. P. Muthuveloo dengan majoriti 173 undi.

Ia memberi isyarat bahawa perwakilan mahukan kepimpinan Mohan walaupun pesaingnya mendapat sokongan padu daripada Datuk Seri S. Samy Vellu.

Mohan dikatakan mempunyai kekuatan tersendiri kerana berjaya memikat hati kaum India dengan menyelesaikan beberapa masalah rumit seperti ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan.

Pemilihan Mohan menunjukkan perwakilan tidak lagi mengikut telunjuk sesiapa tetapi membuat keputusan berdasarkan kebolehan calon. Mohan berjaya membuktikan beliau "boleh diharap".

Sementara itu, pemenang bagi kerusi Naib Ketua, V. Mugilan juga bukannya calang-calang tokoh bagi masyarakat India. Beliau adalah Ketua Biro Politik dan juga Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Selangor sejak 10 tahun lalu.

Mugilan yang menjadi orang kanan Datuk G. Palanivel dikatakan mendapat mandat dan mempelajari teknik mendekati akar umbi daripada ketuanya itu.

Beliau sebelum ini pernah memberitahu wartawan bahawa Palanivel adalah role model beliau dalam usaha melakarkan nama dalam arena politik ini.

Bagi Palanivel, kedua-dua Mohan dan Mugilan adalah pemimpin masa depan MIC yang boleh mencorakkan arah tuju pergerakan tersebut agar lebih diterima oleh golongan muda masyarakt India.

"Mereka memang layak kerana bersemangat tinggi dan tidak pernah berputus asa walaupun berdepan dengan pelbagai halangan ketika kempen.

"Inilah yang kita mahukan daripada seorang pemimpin. Mereka perlu tabah dalam menghadapi cabaran,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Pemilihan kelmarin turut menyaksikan kemenangan sekali lagi berpihak kepada Datin Paduka Komala Krishnamoorthy.

Beliau berjaya mengekalkan jawatan sebagai Ketua Wanita MIC. Komala kekal apabila mengalahkan pesaingnya, S. Thangeswari dengan majoriti 26 undi.

Walaupun, Komala menang dengan majoriti yang sangat tipis, ia tetap membuktikan sayap itu masih memerlukan kepimpinannya.

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam menganggap kemenangan Komala dan timbalannya, Dr. V. Prama Kumari akan membantu menjadikan pergerakan itu lebih kuat seperti Pergerakan Wanita UMNO dan MCA.

Kata beliau yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia, jika pergerakan itu menjadi kuat, ia juga secara langsung akan membantu MIC untuk mengembalikan keyakinan kaum India terhadap parti tersebut.

"Masyarakat India khususnya golongan wanita kini dipengaruhi oleh kesedaran politik yang tinggi kerana mereka lebih berani mencuba sesuatu yang baru.

"Oleh itu, ketua-ketua Pemuda dan Wanita itu perlu bergerak seiring dengan peredaran masa dan berani melakukan perubahan,'' jelasnya.

0 comments: