Sandiwara politik tak jejas semangat, kewibawaan SPRM
SEMUA pihak pasti lega dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan tetap meneruskan siasatan terhadap ahli politik yang dikaitkan dengan rasuah. Sebagai badan diamanahkan membanteras gejala itu, kesediaan SPRM berdepan apa juga rintangan dalam melaksanakan tugasnya memang amat diharapkan. Menegakkan kedaulatan undang-undang memang banyak cabaran. Itu realiti yang harus dihadapi SPRM dan semua penguat kuasa undang-undang. Walaupun ditohmah, dikritik, dikecam malah diancam, ia perlu terus melaksanakan mandat yang diberi tanpa rasa takut atau patah semangat. Tidak kira apa pun bentuk tekanan, semuanya harus dihadapi demi integriti dan kebenaran. Proses menegakkan undang-undang memang sukar tetapi ia adalah usaha mulia demi memartabatkan bukan saja diri sendiri, tetapi juga bangsa dan tanah air. Ia harus dilakukan dengan jujur dan amanah tanpa mengira tempat, keadaan atau waktu. Sebab itu pepatah mengatakan keadilan tidak boleh ditangguhkan. Selagi usaha menegakkan undang-undang dibuat mengikut lunas ditetapkan, ia wajar diteruskan walaupun mungkin tidak popular, jauh sekali disukai ramai. Tiada siapa suka disiasat, lebih-lebih lagi berkaitan rasuah. SPRM sendiri pun tentu tidak suka mengundang kontroversi atau tohmahan, namun ia terpaksa dilalui demi tugas yang diamanahkan. Perkara itu perlu diinsafi semua pihak dan sebab itu kerjasama sewajarnya harus diberikan kepada SPRM. Jika memang tidak bersalah, tidak perlu bersandiwara atau memukul canang menuduh sewenangnya. Berani kerana benar dan yang hak pasti terbukti akhirnya.
Bagaimanapun, tindakan pihak tertentu termasuk parti pembangkang mempersoalkan SPRM setiap kali pemimpin mereka disiasat kerana dikaitkan dengan rasuah, mengundang persoalan. Belum sempat siasatan dimulakan, pelbagai tuduhan dilontarkan kepada SPRM kononnya tidak telus, konspirasi, berniat jahat, lebih berkuasa daripada polis dan terbaru, bertindak seperti gestapo (polis rahsia Nazi). Belum sempat SPRM mengambil keterangan, mereka pantas mendakwa pemimpin mereka 'bersih'. Ini bercanggah dengan dakwaan mereka pejuang keadilan, ketelusan dan keterbukaan. Jika benar, mengapa mereka paling bising dan cuba menghalang SPRM membuat siasatan? Tidak cukup dengan itu, mereka meletakkan syarat tidak masuk akal. Syarat supaya SPRM hanya melakukan soal siasat di pejabat orang disyaki dan pada waktu pejabat, nyata bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang dan keterbukaan sejagat. Tiada negara di dunia yang mengurus jenayah hanya pada waktu pejabat. Apakah ia bermakna pembangkang juga mahu laporan jenayah hanya dibuat pada waktu pejabat? Jika pembangkang mendukung prinsip perundangan sejati, mereka harus akur, undang-undang perlu ditegakkan sepanjang masa dan di mana saja. Sikap mereka ini bukan saja aneh malah meragukan kerana jika individu lain atau bukan daripada parti mereka disiasat, tiada isu ditimbulkan. Sebaliknya, bila membabitkan kalangan mereka, pelbagai syarat dikenakan dan mahu dilayan seperti raja. Dalam hal ini, semua pihak harus bersyukur dengan ketegasan SPRM yang membuktikan apa jua sandiwara politik tidak mampu menggugat kewibawaannya menggalas amanah demi menjamin negara bebas rasuah.
0 comments:
Post a Comment