Negara perlu rangka pelan darurat H1N1

Negara perlu rangka pelan darurat H1N1

Khaidir A Majid

SATU surat pembaca New Straits Times semalam memberi gambaran betapa selesema babi atau wabak Influenza A (H1N1) mungkin menyebabkan kematian lebih 116,000 rakyat Malaysia.

Pembaca itu membuat perkiraan dengan mengguna pakai andaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan purata 25 peratus daripada jumlah penduduk sebuah negara akan dijangkiti selesema baru itu.

Daripada yang dijangkiti, 1.65 peratus (purata semasa kadar kematian selesema babi di Malaysia) akan mati akibatnya, lantas lebih 100,000 di Malaysia iaitu satu jumlah yang tidak boleh ditampung serentak oleh Stadium Nasional di Bukit Jalil.

Jika dilihat secara bersendirian, angka ini agak menakutkan, lebih-lebih lagi tidak banyak yang dapat kita lakukan untuk lari daripada penyakit selesema ini, melainkan mengurung diri dalam bilik sehingga wabak besar ini hilang dengan sendirinya.

Bagaimanapun, apakah ia benar begitu bahaya atau apakah ia hanya ‘media hype’ atau gembar-gembur media?

Bukankah selesema satu penyakit yang biasa dijangkiti semua orang - iaitu kira-kira lima hingga 20 peratus jumlah penduduk setiap tahun di sesebuah negara. Bukankah setiap tahun memang ada yang mati akibat selesema biasa sekali pun - di Amerika Syarikat saja setiap tahun 36,000 orang mati kerana selesema.

Jika begitu mengapakah perlu digembar-gemburkan? Bagi mereka yang cenderung mendengar cerita konspirasi, sudah tentu mudah mengesyaki ada ‘udang di sebalik batu’ berhubung wabak selesema 2009 ini.

Antara cerita konspirasi dikemukakan ialah ia digembar-gembur oleh pihak tertentu untuk menakut-nakutkan pengguna. Apabila pengguna ketakutan, mereka lebih mudah termakan untuk membeli apa saja yang dikatakan mampu melindungi mereka daripada penyakit ini.

Benar atau tidak, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah virus selesema ini wujud di kalangan kita. Berikutan itu, setiap negara perlu melaksanakan tindak balas terbaik bagi membendung wabak ini daripada menular tanpa kawalan.

Selain amalan kesihatan terbaik yang boleh dilakukan setiap individu, pihak berkuasa di seluruh dunia banyak mempertimbangkan pelbagai langkah jika pandemik selesema babi bertambah serius, iaitu menyebabkan kadar kematian yang lebih tinggi.

Di negara di hemisfera utara, seperti Amerika Syarikat dan negara Eropah, isu yang dihadapi sekarang ialah sama ada untuk menutup sesi sekolah yang akan bermula September ini selepas berakhirnya cuti musim panas yang panjang.

Bagi mereka yang menganjurkan penutupan sekolah secara menyeluruh, alasan bagi menyokong langkah itu ialah hakikat bahawa kanak-kanak paling mudah dijangkiti dan berikutan itu merekalah penyebab utama virus berkenaan tersebar secara meluas.

Dua pakar penyakit berjangkit dari Imperial College London, Dr Simon Cauchemez dan Prof Neil Ferguson, berpendapat penutupan sekolah dapat ‘memecahkan rantaian jangkitan’ yang akan memberi masa kepada saintis mencari penawar berkesan bagi selesema babi ini.

Kata mereka kajian menunjukkan penutupan sekolah mungkin mengurangkan kes selesema babi sehingga 45 peratus.

Bagaimanapun setakat ini, pihak berkuasa di Eropah, mahupun di Amerika Syarikat masih berpendapat langkah penutupan sekolah tidak perlu buat masa ini. Mereka menganggap langkah berkenaan hanya menjejaskan pelajaran, malah turut memporak perandakan kehidupan ibu bapa yang terpaksa membuat perubahan waktu kerja bagi memastikan anak tidak tinggal keseorangan di rumah.

Selain itu, jika diambil kira kos ekonomi, langkah sedemikian mungkin membabitkan kerugian berbilion dolar, berikutan ramai terpaksa tidak bekerja untuk menemani anak di rumah.

Apa sekalipun garis panduan sudah dikeluarkan kepada sekolah agar memperkenalkan amalan kesihatan yang baik di kalangan pelajar untuk mengurangkan jangkitan.

Antara disaran Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat ialah pelajar perlu sering membasuh tangan dengan sabun, menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila bersin, dan dalam kes tidak ada tisu, dengan lengan baju.

Ibu bapa juga perlu selalu memeriksa suhu badan anak mereka dan sekiranya didapati tinggi tidak menghantar mereka ke sekolah. Pihak sekolah juga perlu memeriksa suhu badan pelajar dan mengasingkan mereka di bilik khas bagi yang menunjukkan tanda-tanda selesema, sebelum menghantar mereka ke hospital untuk rawatan.

Saranan ini dibuat dengan andaian wabak selesema babi tidak bertambah serius dan vaksin penawarnya dijangka dikeluarkan menjelang akhir tahun ini didapati berkesan.

Namun dalam kes ia menjadi lebih teruk, bukan hanya sekolah yang harus ditutup untuk waktu yang panjang malah juga pejabat dan tempat perniagaan. Dalam senario itu apakah persediaan sudah dibuat untuk mengurangkan kos ekonomi yang terpaksa ditanggung.

Sekolah mungkin boleh meneruskan pelajaran melalui televisyen atau internet. Apakah badan korporat sudah membuat persediaan sedemikian agar perniagaan mereka tidak terjejas?

Penulis ialah Pengarang Luar Negara, Berita Harian

0 comments: