SPRM beri isyarat salah
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
TEMPOH sebulan lalu boleh disimpulkan sebagai waktu-waktu yang agak sukar bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bermula dengan kes kematian Teoh Beng Hock yang meninggal dunia sewaktu dalam 'jagaan' SPRM,
sehinggalah kepada ugutan bunuh yang diterima Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan. Begitu juga beberapa insiden lain yang mendedahkan suruhanjaya itu kepada pelbagai kecaman.
Malah dalam kejadian pergelutan membabitkan seorang pembantu kepada Exco kerajaan negeri Selangor baru-baru ini juga, SPRM ditempelak kerana dikatakan bertindak kasar sehingga mendatangkan kecederaan.
Sedangkan perkara itu sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara baik dan berhemah sekiranya pihak terbabit memberikan kerjasama sepenuhnya.
Barangkali kerana kecaman demi kecaman yang diterima, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull mengeluarkan kenyataan bahawa suruhanjaya itu akan menghentikan serta-merta semua siasatan membabitkan ahli politik.
Tindakan itu pastinya mengejutkan banyak pihak kerana dalam usia baru beberapa bulan, semangat SPRM untuk memerangi budaya rasuah secara habis-habisan tidak seharusnya sebegitu goyah.
Apabila SPRM secara rasminya mengambil alih peranan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada 1 Januari lalu, badan itu dilihat mampu meningkatkan imej negara dalam memperkasakan soal integriti.
Pelbagai penambahbaikan disuntik dalam meningkatkan kewibawaan, akauntabiliti, ketelusan dan keberkesanan badan itu.
Antaranya pembentukan badan pemantau luar seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).
Lembaga pemantau ini antara lain akan memastikan elemen kawalan, pencegahan dan pendidikan mengenai rasuah berjalan seiring.
Malah SPRM juga diberikan kuasa dan kebebasan untuk meneruskan pendakwaan kes-kes yang disiasat sekali gus tidak lagi terikat dengan Jabatan Peguam Negara.
Rang Undang-Undang Penubuhan SPRM Bahagian VIII juga misalnya turut memberikan kekebalan kepada SPRM dan pegawainya untuk menjalankan tugas.
Ia turut diberikan kekebalan sama dengan seorang Pegawai Polis di bawah Akta Polis 1967 (Akta 344).
Segala penambahbaikan itu seharusnya menjadikan SPRM sebuah badan yang lebih berani untuk bertindak sesuai dengan taraf "diraja" yang dimiliki.
Justeru, tiada sebab mengapa SPRM perlu takut atau tunduk kepada mana-mana pihak waima ahli politik kerana kuasa badan itu jauh lebih tinggi.
Malangnya, kenyataan Shukri seolah-olah menafikan semua penambahbaikan yang dibuat dalam memperkasakan SPRM.
Ia juga menimbulkan pertanyaan di kalangan orang ramai sejauh mana sebenarnya bidang kuasa dan kemampuan SPRM dalam menjalankan tanggungjawab memerangi budaya rasuah.
Apakah SPRM selepas ini hanya akan memberi tumpuan dan berani bertindak terhadap rakyat biasa atau pegawai-pegawai rendah kerajaan sahaja?
Siapa pula yang akan menghakimi salah laku korupsi di kalangan ahli politik yang sebenarnya lebih banyak didedahkan kepada pengetahuan umum sama ada secara rasmi atau sebaliknya?
Kerana itu juga ramai yang menilai SPRM telah memberikan isyarat yang salah apabila tidak mahu lagi menyiasat kes membabitkan ahli politik.
Kenyataan itu jelas menyimpang daripada bidang kuasa yang dipertanggungjawabkan kepada SPRM untuk tidak membezakan mana-mana pihak selagi dakwaan salah laku korupsi mereka adalah berasas.
Dalam erti kata yang lain, SPRM sebenarnya tidak boleh menolak sebarang bentuk laporan atau aduan mengenai salah laku rasuah ke atas mana-mana entiti sekalipun apatah lagi membabitkan ahli politik.
Sementelah SPRM juga tidak bersendirian dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Kehadiran beberapa badan seperti Lembaga Penasihat Bebas Pencegahan Rasuah dan Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah yang turut sama ditubuhkan bersama SPRM seharusnya memberi lebih keyakinan kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan peranannya. Perkara yang sama turut ditekankan pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun, Terengganu, Asri Salleh.
Menurut beliau, jika sebuah suruhanjaya bebas seperti SPRM tidak bebas menjalankan tugas dan peranannya, apakah lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat?
Bagaimana pula dengan nasib pemberi maklumat serta status siasatan yang telah, sedang dan akan dijalankan?
"Jika ahli politik adalah kebal daripada SPRM, sudah tentu lapisan masyarakat yang lain pun akan mahu menuntut kekebalan yang sama. Jika ini terjadi, maka tidak keterlaluan dikatakan bahawa penubuhan SPRM adalah sia-sia," jelas beliau.
Hakikatnya tidak ada siapa pun yang berani menafikan bahawa tanggungjawab untuk memerangi budaya rasuah terutamanya membabitkan individu dan kes berprofil tinggi bukanlah mudah.
SPRM bukan sahaja perlu berdepan dengan kerenah individu yang didakwa yang pastinya akan menggunakan segala bidang kuasa yang ada sehingga menyukarkan siasatan.
Malah turut berdepan dengan persepsi masyarakat yang menilai sejauh mana ketelusan SPRM dalam melaksanakan tanggungjawab.
Sejak sekian lama, usaha membanteras rasuah terutamanya oleh BPR sebelum ini dikatakan hanya terpakai kepada parti pembangkang.
BPR juga dikecam bertindak seperti sebuah badan kerajaan sekali gus memberi kekebalan kepada pegawai kerajaan terutamanya yang berpangkat kanan. Persepsi itulah antara yang cuba dihapuskan apabila BPR dinaikkan taraf menjadi sebuah suruhanjaya.
Namun, usaha itu bukanlah sesuatu yang mudah dan SPRM seperti juga BPR, pastinya akan berdepan dengan banyak cabaran.
Kecaman yang dilontarkan terhadap SPRM ketika ini hanyalah sebahagian kecil daripada cabaran yang perlu dihadapi dalam meningkatkan keyakinan badan itu di kalangan orang ramai.
Jika SPRM yang baru berusia beberapa bulan sudah mengangkat bendera putih terhadap kecaman seperti itu, bagaimana badan ini akan terus menggalas keyakinan rakyat pada masa depan?
Umum juga mengetahui pihak polis tidak pernah terkecuali daripada kontroversi dalam menjalankan tugas termasuk membabitkan kerenah orang politik.
Malah, ada sesetengah kes membabitkan kematian sehinggakan badan itu dikritik dan dan dikecam dengan hebat.
Bayangkan bagaimana seandainya pihak polis pula membuat keputusan untuk membekukan siasatan mereka bagi kes-kes jenayah membabitkan ahli politik?
Apakah yang boleh dibayangkan berlaku di negara ini pada masa depan? SPRM perlu ingat bahawa majoriti rakyat masih yakin ia dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan penuh adil, ikhlas dan telus. Maka, jangan tunduk kepada tekanan. Teruskan perjuangan demi negara.
0 comments:
Post a Comment