Belum terlambat meriahkan kempen kibar bendera

Belum terlambat meriahkan kempen kibar bendera

ULANG tahun kemerdekaan akan disambut kurang dua minggu lagi. Namun kehangatan untuk menyambut ulang tahun hari keramat negara ini seperti kurang terasa.

Mungkin kerana umat Islam akan menyambut bulan Ramadan yang lebih kuat impaknya atau kerana kesan penularan simptom wabak selesema babi atau Influenza A H1N1.

Kibaran bendera sebagai lambang kedaulatan Malaysia jarang kelihatan. Berbanding tahun-tahun sebelum ini, bendera Malaysia boleh dilihat di mana-mana sahaja. Ia berkibar megah pada kenderaan persendirian dan juga di setiap premis perniagaan atau kediaman.Namun menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-52 ini, suasana kelihatan 'sejuk'.

Langkah untuk menghangatkan sambutan kemerdekaan tahun ini sepatutnya lebih hebat dan hangat. Ini bertepatan dengan tahun menyemarakkan perpaduan yang ingin dibentuk melalui gagasan Satu Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ulang tahun kemerdekaan adalah hari yang amat penting bagi sesebuah negara. Inilah harinya di mana semua rakyat perlu melupakan sejenak sengketa dan perbezaan politik. Kita perlu merenung keadaan semasa agar api kebencian tidak menjadi duri dalam daging antara kita.

Kibaran bendera tidak kira percuma atau dibeli, perlu diperbanyakkan kerana semangat setiap warganegara yang mengibarkan bendera dan yang melihat bendera dikibarkan akan terus bersemarak.

Ia akan menjadi peringatan bahawa kita masih ada negara dan inilah tanah tumpah darah yang perlu dipertahankan.

Namun apa yang menyedihkan, kalangan rakyat masih lagi mengharapkan bendera percuma diberi oleh pertubuhan bukan kerajaan mahupun agensi kerajaan. Mentaliti subsidi sebegini perlu dimerdekakan dari terus dijajah dalam pemikiran.

Apa yang menyedihkan mesej kemerdekaan dalam iklan di media massa perlu lebih menekankan soal pengisian kemerdekaan seperti mewujudkan perpaduan jitu antara kaum yang lebih realistik. Ia bukan sekadar nilai sentimental hari merdeka yang sebenarnya gagal dimengertikan oleh generasi muda yang belajar sejarah hanya untuk lulus peperiksaan dan kurang menghayati nilai kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh nenek moyang kita.

Kemerdekaan bukan hanya peluang memburu kekayaan dan meminta hak sama rata tanpa bersama berjuang mengisinya dengan semangat setiakawan dan cintakan negara.

Bukanlah berat jika kita menghormati dan mengenang jasa pemimpin-pemimpin yang membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah setengah abad dulu.

Tahun 2009 sewajarnya menjadi tahun perpaduan dan bukannya tahun untuk menyemarakkan sengketa politik.

Lupakan sebentar politik yang memualkan dan serangan-serangan peribadi yang kita tahu ada udang di sebalik batu. Jangan sampai Barisan Nasional menjadi mangsa agenda politik sempit segelintir pihak yang fikir mereka lebih bijak daripada orang lain.

Justeru, kemerdekaan perlu diraikan dengan kempen yang lebih hebat, sehebat kempen membendung penularan virus H1N1.

Hari ulang tahun kemerdekaan ini akan memberi ingatan bahawa kita masih mempunyai sistem dan kerajaan yang berdaulat dan dipandang tinggi oleh di peringkat global. Kibaran bendera, adalah satu daripada lambang untuk meluahkan semangat nasionalisme yang ada dalam diri kita.

Mahal atau murahnya bendera bukan ukuran semangat kemerdekaan. Ia lambang satu bendera satu Malaysia. Kita perlu bersatu demi masa depan negara. Telusuri kembali kesengsaraan rakyat di bawah penjajah.


BANTING, SELANGOR DARUL EHSAN">

0 comments: