Nasib isteri didera

Nasib isteri didera

Tahap pendidikan dan status dalam kalangan masyarakat elit India memberikan isteri sedikit perlindungan, berbanding dengan suami.


WANITA miskin di India paling menderita kerana mereka tidak mampu meninggalkan suami.


DENGAN cermin mata hitam penuh bergaya di atas kepala, kuku yang dicat warna terang dan memakai pakaian berjenama terkenal berwarna hitam, wanita yang duduk di sebuah kafe terkemuka di New Delhi, India itu tidak kelihatan seperti seorang isteri yang menjadi mangsa dera.

Ironinya, wanita berusia 37 tahun yang meminta namanya tidak disiarkan demi melindungi identiti diri dan anak-anaknya sebenarnya telah didera selama bertahun-tahun oleh suaminya, seorang peguam yang kaya.

"Dia mencekik, menampar dan meludah saya," kata ibu kepada dua orang anak yang tinggal di sebuah kawasan mewah.

Dia merupakan salah seorang daripada jutaan wanita India dari semua kasta kehidupan yang didera oleh suami masing-masing. Kaji selidik kerajaan terkini menunjukkan seorang daripada tiga wanita India menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Tahap pendidikan dan status dalam kalangan masyarakat elit India memberikannya hanya sedikit perlindungan, berbanding dengan suaminya yang mempunyai rangkaian hubungan dengan orang berpengaruh.

Selepas bertahun-tahun didera, dia menyeret suaminya ke mahkamah di bawah Akta Keganasan Domestik yang bertanggungjawab melindungi mangsa dera dan menjatuhkan hukuman berat kepada pendera. Malangnya, sehingga kini, akta itu tidak banyak membantunya.

"Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2006 itu tidak diambil serius. Banyak kes yang sama ditangguhkan, termasuklah kes ini," kata peguam wanita malang itu, K.K. Manan.

Pada tahun 2007, sebanyak 185,312 kes jenayah ke atas wanita telah dilaporkan, berbanding dengan 164,765 kes pada tahun sebelumnya. Kumpulan hak asasi menyatakan lebih banyak kes tidak dilaporkan.

Keganasan rumah tangga sudah lama menjadi tatapan masyarakat. Malah pihak media sering memaparkan kes-kes isteri dipukul kerana masalah mas kahwin, selain didera dan dibunuh, terutamanya di kawasan-kawasan penduduk miskin.

Kepesatan ekonomi India telah meningkatkan jumlah wanita yang berjaya dan berpengaruh. Mereka biasanya mempunyai kerjaya dan menikmati lebih banyak kebebasan berbanding dengan generasi ibu bapa. Golongan ini juga memakai pakaian barat, selain makan di restoran dan berhibur di bar serta kelab-kelab malam.

Perubahan ini kadangkala bertentangan dengan elemen-elemen kekangan yang kekal diamalkan secara meluas dalam masyarakat konservatif di India. Malah, dalam kalangan golongan atasan, kebebasan wanita boleh menjadi sangat terhad.

Akta keganasan rumah tangga digubal buat pertama kalinya untuk memberi perlindungan dan pampasan terhadap semua jenis penderaan di rumah, termasuk berbentuk fizikal, seksual, kata-kata, emosi atau ekonomi.

Misalnya, sebelum ini, suami tidak boleh didakwa atas tuduhan merogol isteri, melainkan isteri mereka berusia bawah 15 tahun. Undang-undang baru itu bermatlamat menjatuhkan hukuman dalam tempoh 60 hari selepas perbicaraan pertama.

Tetapi, selepas setahun kemudian, kes wanita teraniaya ini masih tertangguh. Awal Mac lalu, dia terpaksa tampil sekali di mahkamah khas wanita di New Delhi.


WANITA ini meminta namanya tidak disiarkan demi melindungi identiti diri dan anak-anaknya.


Dari bilik peguamnya yang sempit, dia berjalan melepasi barisan pekerja yang masih menggunakan mesin taip untuk menyiapkan kerja, sebelum memanjat anak-anak tangga yang kotor untuk masuk ke bilik mahkamah bagi membolehkan kesnya didengar.

"Wanita tidak dilindungi oleh akta ini. Semua wanita mangsa keganasan rumah tangga terpaksa melalui proses mahkamah yang panjang, selain yuran guaman yang sangat mahal. Di negara ini, semuanya mengenai wang dan kuasa. Anda boleh membeli sesiapa sahaja," ujarnya.

Sekali lagi, suami dan penasihat undang-undangnya tidak hadir di mahkamah. Namun, hakim tetap mendengar kes itu tanpa kehadiran mereka.

Pada bulan ini, dia masih menunggu kes untuk didengar sekali lagi. Biasanya, kes akan ditangguhkan sekiranya tertuduh tidak hadir di mahkamah.

Salah seorang daripada pasukan peguamnya memberitahu, tidak banyak hukuman dijatuhkan ke atas suami yang mendera. Kebanyakannya kerana penangguhan seperti ini.

Sikap acuh tidak acuh terhadap jenayah keganasan domestik di India tidak banyak berubah. Justeru, keadilannya masih samar-samar dan sukar dilaksanakan.

Kaji selidik terbaru yang dijalankan oleh kerajaan mendapati 54 peratus wanita, berbanding 51 peratus lelaki menyatakan memukul isteri dibolehkan dalam beberapa keadaan.

"Malah, masih wujud pegangan dalam masyarakat India bahawa wanita membuat laporan salah tentang masalah penderaan," jelas Manan.

"Stigma tetap timbul dalam kalangan janda dan wanita yang membuat laporan menentang keluarganya," kata Naib Pengerusi Pusat Pengajian Wanita, Kumud Sharma.

"Pandangan mengenai maruah, tidak boleh menentang keluarga atau ahli keluarga menghalang ramai wanita membuat laporan," tambahnya.

Salah seorang rakannya cuba untuk bercerai dengan suami yang suka mendera. Suaminya yang merupakan seorang pemaju hartanah kaya dikahwininya menerusi perkahwinan yang dirancang keluarga ketika dia berusia 19 tahun.

Apabila dia ingin meninggalkan suaminya selepas 11 tahun berdepan dengan penderaan fizikal dan tahu suami mempunyai hubungan sulit, keluarganya mengheretnya kembali ke pangkuan lelaki tersebut.

"Saya dipaksa masuk ke dalam kereta. Mereka mengunci saya di dalam bilik apabila sampai di rumahnya," katanya.

Wanita itu yang turut meminta namanya tidak didedahkan demi melindungi identiti diri dan anak perempuannya, akhirnya berjaya meninggalkan suaminya. Kesnya begitu lambat untuk diselesaikan kerana sistem itu disifatkannya sebagai 'perlahan seperti siput'.

Isteri-isteri mangsa penderaan itu memberitahu suami mereka yang kaya menggunakan wang dan pengaruh untuk melambat-lambatkan prosiding kes di mahkamah. Selain itu, rasuah menjadi satu helah yang paling biasa digunakan.

Wanita miskin paling menderita kerana mereka tidak mampu meninggalkan suami. Namun begitu, para aktivis menegaskan keganasan rumah tangga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kaya atau miskin. - Reuters

0 comments: