Bengkel paling moden di Kota Bharu

Bengkel paling moden di Kota Bharu

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my




Napi Motor Works turut jadi tumpuan pemilik kereta jenama mewah

TIDAK ramai di kalangan anak Melayu di Kelantan yang terbabit dalam bidang perniagaan membuka bengkel membaiki kereta mampu menjadi seorang usahawan berjaya sehingga berani membuat pelaburan mencecah hampir RM1 juta.

Namun, hakikat itu mampu dilakukan seorang anak muda, Hanapi Othman, 42, antara yang paling berjaya menjalankan perniagaan itu di Kota Bharu sejak hampir 25 tahun lalu apabila beliau memiliki sebuah bengkel paling moden dengan mempunyai pelbagai peralatan membaiki kereta terkini termasuk penggunaan sistem komputer bagi mengesan sebarang kerosakan enjin kereta sistem elektronik.

Berdiri dengan megah, bengkel membaiki kereta dikenali dengan nama Napi Motor Work (NMW) yang terletak bersebelahan stesen minyak Petronas di Jalan Sultan Ibrahim, ia boleh dianggap setanding dengan bengkel membaiki kereta moden yang ada di bandar besar seperti Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

NMW boleh berbangga kerana kini mempunyai bangunan baru yang diubah suai daripada bengkel lama dengan pelaburan keseluruhan membabitkan kelengkapan dan peralatan membaiki kereta moden kira-kira RM1 juta.

“Saya memang bercita-cita untuk memiliki sebuah bengkel membaiki kereta yang moden. Berkat dengan kesabaran mengumpul wang hasil daripada perniagaan, saya memberanikan diri membuat pelaburan besar mengubah suai bengkel kereta yang siap mengambil masa tiga bulan dan sepenuhnya pada 31 Januari lalu membabitkan kos RM500,000.

NAPI memerhatikan pekerjanya mengendalikan enjin kenderaan.

“Pembelian pelbagai alat moden termasuk masing-masing tiga komputer untuk dianogsis enjin kereta mewah buatan Jerman khas untuk BMW dan Mercedez Benz dan dua untuk kereta buatan Asia. Untuk komputer ini saja saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM400,000 dan NMW satu-satunya bengkel yang mempunyai sistem komputer bagi tujuan diagnosis enjin di Kota Bharu,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kota Bharu, baru-baru ini.

Beliau yang hanya menimba ilmu membaiki kereta ketika bekerja di bengkel kereta di Kuala Lumpur pada awal tahun 80-an tanpa mempunyai pendidikan formal dalam bidang enjin kenderaan juga, mampu membaiki enjin kereta ternama seperti Porche, Jaguar serta pelbagai kereta mewah lain.

Ketika ini NMW mempunyai 20 kakitangan iaitu 16 daripada mereka ialah mekanik terlatih manakala selebihnya kakitangan pengurusan. Malah, ada di kalangan mekanik NMW memiliki ijazah kejuruteraan mekanikal enjin selain pekerja lulusan Politeknik, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Komuniti.

NMW juga adalah satu-satunya bengkel kereta di Kota Bharu yang diberi kepercayaan oleh ejen untuk menjalankan perkhidmatan servis kenderaan pacuan empat roda Sangyong Rexton keluaran Sangyong Motor dari Korea.


Hanapi berkata, beliau juga sentiasa mengambil pelajar daripada institusi kemahiran berkenaan yang mengikuti kursus pengajian berkaitan enjin kenderaan menjadi pelatih bagi meningkatkan kemahiran mereka.

“Sebenarnya setiap tahun saya mengambil pelajar dari Politeknik, IKBN, IKM dan Kolej Komuniti menjadi pelatih NMW. Setiap enam bulan saya akan mengambil enam pelatih untuk diberi latihan sambil bekerja.

“Saya juga membuka peluang mereka bekerja apabila tamat pengajian, tetapi perlu mencapai tahap yang ditetapkan NMW untuk menjadi seorang mekanik yang profesional. Sebab itu, setiap pekerja di sini, saya amat menitiberatkan kepada kemahiran supaya memberi kepuasan kepada pelanggan yang datang untuk mendapatkan khidmat membaiki kenderaan mereka.

“Matlamat saya, sekali pelanggan baru baiki kereta miliknya di NMW, mereka akan cadangkan kepada rakan mereka yang lain pula supaya datang ke sini. Oleh itu, setiap pelanggan datang membaiki kereta mereka di sini, saya akan pastikan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik dan berbaloi dengan wang mereka bayar,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini purata kenderaan masuk ke bengkelnya untuk dibaiki atau servis antara 15 hingga 20 kenderaan sehari dan kebanyakannya kereta mewah jenis BMW dan Mercedez Benz, selain kereta keluaran Jepun dan Korea.

Katanya, apa yang menarik ramai juga di kalangan pemilik kenderaan itu datang dari luar Kelantan terutama Kuala Lumpur untuk membaiki kereta mereka.

“Mereka datang ke sini (NMW) untuk baiki kereta terutama pemilik kereta mewah mungkin kerana kos lebih murah berbanding caj yang dikenakan bengkel kereta di Kuala Lumpur atau berpuas hati dengan pembaikian yang kita lakukan,” katanya.

Sejak membuka bengkel membaiki kereta bermula pada 1987, beliau berkata kira-kira 200 anak muda sudah bekerja dan belajar menimba ilmu berkaitan kenderaan daripada sistem mekanikal kenderaan sehinggalah kepada sistem enjin.

Katanya, hasil daripada kemahiran dan pengalaman yang diperoleh ketika bekerja di NMW, ramai juga antara mereka berjaya membuka bengkel sendiri secara kecil-kecilan di kampung masing-masing selain bekerja dengan bengkel lain.

Ditanya rancangan masa NMW, katanya, beliau merancang membuka sebuah lagi cawangan membaiki kereta di bandar Jeli sebagai sebahagian memperluaskan operasi perniagaan NMW.

Katanya, beliau sudah mengenal pasti kawasan yang sesuai di pusat bandar Jeli untuk membuka bengkel cawangan.

“Saya rasa Jeli adalah kawasan yang strategik untuk menyediakan perkhidmatan membaiki dan servis kenderaan sebagai bandar persinggahan untuk perjalanan dari Kota Bharu ke Perak.

“Selain itu, saya juga sedang dalam pertimbangan untuk membuka kedai menjual alat ganti kenderaan di Kota Bharu yang mempunyai hubungan dengan perniagaan yang saja jalankan sekarang.

“Sebenarnya perniagaan menjual alat ganti kenderaan kereta motor tidak ramai diceburi oleh orang Melayu di sini, sebaliknya ia lebih banyak dikuasai bukan Melayu,” katanya.

Info

Jenis komputer diagnosis yang digunakan di bengkel NMW


  • SIEMEN SSS-OPS (Tripple S) untuk kereta BMW. Digunakan untuk coding/program bagi kereta BMW keluaran tahun 2005 ke atas.

  • GT ONE untuk kereta BMW. Digunakan untuk analisis kerosakan, coding/program pada bahagian komponen yang ditukar baru pada kenderaan.

  • CARSOFT untuk BMW. Digunakan untuk diagnosis pada bahagian enjin, auto transmisi, sistem brek dan komponen tertentu pada kenderaan BMW.

  • AST 5700 Digunakan untuk mengesan/membaca kesalahan kod bagi kenderaan Mercedes Benz dan BMW juga digunakan untuk program/coding pada fungsi tertentu sistem elektronik kenderaan berkenaan.

  • AUTOLAND - VEDIS Digunakan untuk mengesan/membaca data/kesalahan kod bagi kereta Asia dan Eropah juga untuk program/coding pada fungsi tertentu.

  • CARMAN SCAN II - untuk kereta Asia. Sebagai back up kepada Autoland.

  • SCAN 100 - khas untuk kenderaan keluaran SSANGYONG MOTOR. Komputer modul lengkap bagi model Rexton, Stavic, Chairman, Actyon Sport, Kyron dan Ssangyong Musso.
  • 0 comments: