RM30 bilion untuk ambil alih tol tidak masuk akal

RM30 bilion untuk ambil alih tol tidak masuk akal

KETIKA rakyat Malaysia sibuk membincangkan isu pembantu rumah, politik ke arah perpaduan, konsep 1Malaysia, jangan lupa isu yang akan memberi kesan ke atas kehidupan harian kita - kadar tol.

Saya merujuk kepada artikel yang disiarkan dalam akhbar tempatan The Edge Financial Daily 10 Jun lalu bertajuk "Kos ambil alih PLUS menelan belanja RM30 bilion."

Artikel yang memetik kenyataan daripada sebuah syarikat penyelidikan Singapura, DBS Vickers yang menyatakan terdapat beberapa jalan penyelesaian yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mengambil alih lebuh raya PLUS.

Salah satu caranya ialah melibatkan perbelanjaan yang tidak munasabah iaitu sebanyak RM30 bilion dan satu lagi pilihan ialah melalui penswastaan yang akan menelan belanja sebanyak RM15 bilion.

Sebagai salah seorang penduduk di Lembah Klang dan pengguna tetap lebuh raya bertol, saya menghargai usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat iaitu daripada segi kewangan.

Saya pasti bahawa pengambil alihan lebuh raya tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi sekarang iaitu kesesakan jalan raya.

RM30 bilion dan apatah lagi RM15 bilion merupakan jumlah wang yang besar, di mana saya percaya ia datang daripada cukai pendapatan rakyat Malaysia.

Saya lebih rela jika peruntukan besar itu dibelanjakan untuk mempertingkatkan lagi pengangkutan awam yang sekarang berada dalam keadaan kucar-kacir.

Bayangkan kesan akibat LRT lambat dan berterusan rosak, bas kotor dan tidak pernah mematuhi jadual, penjual tiket bas ekspres haram dan teksi haram berada di mana sahaja.

Jika negara jiran kita iaitu Singapura tidak pernah mengalami masalah sebegini, kenapa kita menghadapi masalah ini dan mengapa kita tidak boleh meniru kecanggihan mereka?

Tidak dapat dinafikan bahawa peranan utama jalan-jalan ini ialah menghubungkan bandar-bandar utama di mana kerajaan sepatutnya meninjau dengan lebih dalam perkara ini.

Lebih-lebih lagi jika peruntukan untuk mengambil alih atau penswastaan tol diagih-agihkan untuk membangunkan jalan-jalan dan lebuh raya di Sabah dan Sarawak.

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa tiada jalan lain yang dapat menghubungkan dua negeri itu dan rakyat di sana tidak mendapat keperluan asas ini.

Saya merayu kepada pihak kerajaan supaya mencari jalan alternatif lain untuk meringankan beban rakyat bagi menangani masalah tol yang sedia ada seperti menurunkan atau mengekalkan harga tol supaya kadar bayaran itu tidak akan naik pada setiap tiga tahun, atau memberi lebih banyak potongan harga pada masa lalu lintas tidak sesak.

Pihak kerajaan juga patut memberi kemudahan smart tag secara percuma kepada semua pemilik kenderaan bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol.

Dengan melakukan semua ini, RM30 bilion ataupun RM15 bilion boleh diguna untuk memajukan sistem pengangkutan jalan yang dapat memberi faedah kepada semua rakyat Malaysia dan bukan hanya kepada segelintir rakyat sahaja yang menggunakan laluan bertol.

TIA SURIYA HAMID

0 comments: