Apakah muslihat Daisy Fajarina di sebalik kemelut rumah tangga anaknya, Manohara Odelia Pinot dengan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry?
MUNGKIN kisah rumah tangga Manohara Odelia Pinot dan Tengku Muhammad Fakhry telah reda di Malaysia. Namun, sebaliknya berlaku di negara seberang, Indonesia. Kemelut rumah tangga keluarga diraja Kelantan itu masih hangat diperkatakan oleh media cetak dan media elektronik di sana.
Malah banyak pendedahan terbaru dan ulasan mengenai kisah itu turut dimuatkan dalam Internet. Antara blog yang turut membuat pendedahan itu beralamat di http://toughlane.blogspot.com. Blog itu mendedahkan bahawa, Manohara didakwa telah dipergunakan oleh ibunya sendiri untuk mendapatkan duit bagi kepentingan peribadi.
Laporan terbaru blog itu juga menyebut bahawa ibu Manohara, Daisy Fajarina (Daisy) terdesak melakukan apa sahaja untuk melepaskan dirinya daripada bebanan hutang dek kerana ingin terus hidup mewah.
Malah, hasrat si ibu yang ingin terus hidup mewah itu terbukti apabila dia menyuruh Manohara terlibat dalam penerbitan sinetron yang diberi judul Manohara yang mengisahkan tentang kehidupan anak gadisnya itu.
Bayaran yang diterima daripada penerbitan sinetron yang akan ditayangkan di salah sebuah stesen televisyen di Indonesia itu dilaporkan lumayan.
Blog itu turut mendakwa bahawa kisah yang dipaparkan di dalam sinetron itu adalah rekaan semata-mata. Ia dibuat bagi meraih simpati orang ramai kerana Daisy dikatakan mahu membalas dendam terhadap menantunya. Daisy dilaporkan marah kerana Tengku Muhammad Fakhry tidak memenuhi permintaannya yang menuntut sejumlah wang bagi kegunaan peribadi.
Pada awal cerita sensasi Manohara disiarkan kepada umum, Daisy menuduh Tengku Muhammad Fakhry melakukan penderaan terhadap anaknya. Tindakan Daisy hampir berjaya apabila masyarakat umum di Indonesia mempercayainya.
Tetapi setelah penafian dibuat dan disertakan bersama-sama bukti bahawa Manohara tidak diseksa, isu itu reda dengan sendirinya. Malah seorang peguam, Ratna Sarumpaet yang menawarkan diri untuk membantu Manohara turut menarik diri. Begitu juga seorang peguam lain, OC Kaligis yang turut menawarkan khidmat yang sama turut menarik diri. Ratna mendakwa Manohara dan ibunya tidak serius untuk membawa kes itu ke mahkamah manakala OC Kaligis menarik diri kerana sukar mengumpul bukti bahawa Manohara pernah didera oleh suaminya. Kes itu kini dikendalikan oleh seorang peguam lain, Hotman Paris Hutapea.
Sekiranya benar Manohara diseksa, nyatakan tarikh-tarikh dia diseksa. Dia juga perlu tampil dengan semua bukti dan nyatakan pada dunia supaya tiada siapa yang tertekan dalam isu ini.
Hakikatnya, terlalu banyak persoalan bermain sehingga mereka yang bijak boleh menilai sendiri apakah tujuan dan niat sebenar lakonan tiga beranak tersebut iaitu Daisy, Manohara dan adik tirinya, Dewi Sri Asih.
Laman blog itu turut mendedahkan bahawa sehari sebelum Manohara pulang ke Jakarta, dia sempat berbelanja besar bersama suaminya. Apakah tujuan Manohara yang ketika itu sudah bercadang mahu melarikan diri dari suaminya keluar membeli-belah dan berbelanja besar.
Berbelanja besar sebelum melarikan diri itu sudah membuktikan sejauh mana kejujuran Manohara dan Daisy dalam kemelut ini.
|
|
Blog itu juga mendakwa, tindakan Daisy yang membuat kecoh bahawa anaknya didera oleh Tengku Muhammad Fakhry adalah kerana mahu menutup kesalahan besar yang menghantui dirinya sendiri.
Antara kesalahan itu adalah Daisy merupakan individu yang dikehendaki oleh polis Interpol di Perancis bagi disoal siasat. Ia melibatkan satu kes pada tahun 2007. Jika sabit kesalahan, Daisy boleh dikenakan hukuman penjara 18 bulan. Apakah kes jenayah yang dilakukan oleh Daisy itu tidak pula dijelaskan oleh laman blog ini. Namun ada pihak mendakwa kes itu melibatkan tindakan Daisy membawa lari Manohara ketika anaknya berusia dua tahun.
Ini kerana Manohara bukanlah anak kepada suami Daisy sekarang, Reiner Pinot. Manohara sebenarnya lahir daripada perkahwinan Daisy dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang kini menetap di Kanada, George Man.
Daisy berkahwin dengan Reiner Pinot selepas bercerai dengan George.
George hanya mengenali anak kandungnya itu melalui liputan media yang heboh menceritakan kisah rumah tangga Manohara sejak beberapa bulan lalu.
Selepas mengetahui keadaan sebenar, George dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan semula Manohara dan menuduh Daisy telah memberi pengaruh yang tidak baik kepada Manohara.
Laman blog itu turut menyebut bahawa George yang kini merupakan seorang ahli perniagaan pernah memberi kemewahan kepada Daisy.
Dalam pada itu, sahabat baik kepada Tengku Muhammad Fakhry, Mohd. Soberi Shafii ketika dihubungi Kosmo! berkata: "Rumah tangga Manohara dan Tengku Temenggong atau lebih mesra disapa sebagai TT tidak ada sebarang masalah.
"Sebaliknya, Daisy yang menimbulkan kekecohan dan mempengaruhi Manohara demi kepentingan dirinya sendiri."
Katanya, TT telah menjalankan tanggungjawab sebagai suami yang baik sama ada dalam aspek zahir mahupun batin.
Lebih dikesalkan, setelah pelbagai kemahuan dan kemewahan diberi kepada Manohara, dia mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak pernah mendapat harta TT.
"Disebabkan itu, TT kini mengumpul semua resit bagi membuktikan apa yang telah diberi kepada Manohara, termasuk pembelian sebuah kereta Alphard yang diberi pada awal perkahwinan mereka dahulu," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment