Sunah pelihara ketulenan akidah

Sunah pelihara ketulenan akidah


Tradisi mencederakan diri sendiri dalam memperingati peristiwa di Karbala menjadi amalan pengikut Syiah.


MAJORITI umat Islam Malaysia berfahaman Ahli Sunah wal-Jamaah (Sunah). Terdapat tiga perkara utama yang sering dibicara dan dikaji oleh para sarjana Islam apabila membicarakan ehwal ilmu wahyu.

Pertama, akidah Islam berhubung kepercayaan dan keyakinan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman.

Kedua, kaitan dengan syariah yang mempunyai kaitan dengan amalan ritual dan urusan kehidupan umat Islam. Dalam setiap aspek hidup merangkumi perundangan, perekonomian (perniagaan, pinjaman dan gadaian), kepimpinan dan pentadbiran, pusaka, perkahwinan, jenayah, dan kaffarah.

Ketiga ialah akhlak yang berkaitan dengan keperibadian dan hubungan umat Islam sesama umat dan hubungan mereka dengan masyarakat bukan Islam dan makhluk.

Perkara berkaitan dengan akidah ialah asas kepada penentuan bahawa seseorang itu Islam atau bukan Islam. Ia membicarakan tentang bagaimana seseorang itu mempercayai Allah SWT.

Adakah Allah yang dipercayai itu Tuhan Yang Maha Esa dalam konteks ketulenan keesaan Allah (pure monotheism) atau tanzih atau kesempurnaan Allah di mana tidak ada perantaraan Allah dengan manusia (perfection of God)?

Konsep ketulenan keesaan Allah dan kesempurnaan Allah menjadikan Islam berbeza dengan agama-agama lain.

Konsep tiada tolak ansur (uncompromising) berkaitan akidah dan ritual merupakan perkara fundamental Islam.

Jika agama-agama lain boleh bersatu dan bertolak ansur dalam urusan menyembah Allah, maka Islam tidak begitu kerana perbezaan memahami konsep ketuhanan itu menyebabkan cara penyembahan Tuhan juga berbeza.

Permintaan berkompromi masyarakat bukan Islam dengan Islam dalam perkara ini telahpun wujud semasa zaman Rasulullah SAW lagi. Mereka meminta Rasulullah dan umat Islam bertolak-ansur dalam menyembah Allah SWT. Ini bermakna, setahun menyembah Allah seperti masyarakat bukan Islam dan setahun lagi menyembah Allah seperti Islam.

Permintaan itu ditolak oleh Rasulullah berdasarkan wahyu dalam Surah Al-Kafirun: Katakanlah wahai Muhammad: Hai orang-orang kafir. Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Ia bukan bererti Islam meminggirkan masyarakat bukan Islam. Ia hanya menegaskan bahawa perkara berkaitan dengan ibadah dan asas Islam tidak boleh dicampuradukkan dengan akidah bukan Islam. Perkara ini perlu difahami oleh masyarakat Islam dan dihormati oleh masyarakat bukan Islam.

Ahli Sunah amat prihatin terhadap ketulenan akidah Islam kerana ia boleh menentukan seseorang itu masih berada dalam Islam atau tersasar. Ia adalah cara untuk menyelamatkan umat Islam daripada ajaran atau doktrin yang sesa t.

Akidah adalah penting untuk menentukan setiap amalan diterima oleh Allah SWT. Jika akidah terpesong daripada garis panduan Allah dan Rasul terutamanya berkaitan Rukun Islam dan Rukun Iman, maka kedudukan seseorang itu sebagai umat Islam akan tergugat.

Ahli Sunah menyedari bahawa akidah Islam sering digugat oleh pelbagai kegiatan dan usaha oleh golongan-golongan tertentu sejak sekian lama.

Kegiatan untuk menyatukan agama adalah antara usaha untuk memesongkan akidah Islam. Ulama Ahli Sunah tidak dapat berkompromi dalam perkara ini kerana sikap tolak-ansur dalam hal ehwal berkaitan akidah boleh menyebabkan agama Islam hilang identitinya.

Usaha dan kegigihan para ahli teologi Ahli Sunah memelihara ketulenan merupakan faktor yang menyebabkan akidah Islam terpelihara daripada doktrin atau ideologi yang bertentangan dengan konsep "Tuhan Yang Maha Esa".

Akidah Islam yang dipertahankan itu tidak tercemar oleh ideologi politik yang didokong oleh mana-mana parti politik umat Islam.

Pemahaman akidah Islam di bawah pengawasan Ahli Sunah adalah jelas dan tidak ada unsur pengurangan dan penambahan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman jika dibandingkan dengan umat bermazhab lain.

Perbezaan ideologi politik yang dianuti oleh umat Islam tidak akan memberi kesan kepada akidah di kalangan Ahli Sunah.

Ini disebabkan perkara-perkara berkaitan dengan politik dan perbezaan corak pemikiran umat Islam dalam menentukan sistem pemerintahan dan kepimpinan adalah termasuk dalam perbahasan syariah bukan dalam aspek akidah.

Jika perkara-perkara berkaitan dengan politik dimasukkan ke dalam perbahasan akidah Islam maka akidah itu akan tercemar dan pelbagai bentuk bidaah dan khurafat akan menjadi amalan umat Islam.

Ahli Sunah tidak menggabungkan pemahaman politik berkaitan dengan konsep imamiyyah (kepimpinan), taqiyya (penyamaran untuk mengelakkan sebarang bahaya) dan raj'a (kembali selepas mati sebelum hari kiamat dengan tujuan untuk menegakkan keadilan) berbanding akidah Islam seperti diamalkan oleh fahaman Syiah.

Kumpulan Syiah menjadikan ideologi politik sebagai doktrin terutama berkaitan dengan konsep imamiyyah tersebut. Sebahagian daripada Syiah mempercayai bahawa seseorang yang mati tanpa mengetahui imam (pemimpin) semasanya maka beliau mati dalam keadaan jahiliah.

Ahli Sunah lebih menumpukan perhatian kepada perkara berkaitan dengan Rukun Islam dan Rukun Iman untuk menentukan seseorang itu Muslim atau kafir dan bukannya berdasarkan kepada pemikiran yang taksub kepada pemimpin politik.

Pergolakan politik sesama umat Islam merupakan proses penentuan kepimpinan umat Islam dan ia tidak mempunyai kaitan dengan aspek akidah. Oleh itu Ahli Sunah menolak doktrin Syiah yang mengkafirkan Aisyah (isteri Rasulullah SAW), Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Mu'awiyyah kerana tidak melantik Saidina Ali Abu Talib sebagai khalifah selepas kematian Rasulullah SAW.

Kumpulan Syiah telah mencampuradukkan ideologi politik dengan akidah Islam sehingga menyebabkan mereka sanggup mengkafirkan para sahabat Rasulullah SAW dan isteri Baginda lantaran terlalu taksub kepada 'parti Ali'.

Sedangkan Saidina Ali sendiri tidak pernah beranggapan seperti itu. Malah beliau sendiri menentang ideologi sekumpulan ahli 'partinya' yang dikenali sebagai Khawarij dan menghukum Mu'awiyyah sebagai kafir.

Saidina Ali secara tegas menyatakan kritikan beliau terhadap Mu'awaiyyah tetapi bukan mengkafirkannya. Ali hanya menentang Mu'awiyyah dalam perkara-perkara yang tidak bertepatan dengan prinsip kepimpinan dan pentadbiran Islam.

Saidina Ali tidak pernah meminta pengikut taksub kepadanya sehingga sanggup mengkafirkan para sahabat Rasulullah SAW.

Malah seorang anak Ali, Muhammad Ibn Hanafiyyah sendiri menolak ideologi Syiah berkaitan dengan konsep imam dan al-Mahdi yang dipegang oleh Syiah. Beliau ialah anak Ali bersama seorang wanita bernama Hanafiyyah yang dikahwini selepas kematian Saidatina Fatimah. Beliaulah yang dianggap sebagai Imam Mahdi oleh Syiah.

Jika akidah Islam digabungkan dengan sentimen ideologi politik maka pelbagai kegiatan bidaah akan dianuti oleh umat Islam.

Kumpulan Kaysaniyyah dari Syiah menjadikan unsur mencederakan diri seperti mengantuk kepala ke dinding dan menepuk dada dan meraung-raung kesedihan sebagai tradisi ketika menyambut 10 Muharam (Hari Asyura). Ia diraikan setiap tahun sempena memperingati kematian Saidina Hussein a.s di Karbala. Ia sebagai menyatakan kekesalan kerana tidak membantu Hussein menentang Khalifah Yazid dalam peperangan itu. Bagaimanapun tradisi tersebut ternyata bertentangan dengan syariah dan akidah Islam.

Berdasarkan penjelasan tersebut, maka umat Islam di negara ini sepatutnya mengikut ajaran Ahli Sunah supaya akidah dan amalan seharian tidak bertentangan dengan konteks ajaran Islam yang sebenarnya.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

0 comments: