Minda Pengarang: Perbincangan Pemuda Umno, Pas permulaan kerjasama Melayu, Islam

Minda Pengarang: Perbincangan Pemuda Umno, Pas permulaan kerjasama Melayu, Islam

KELMARIN, Dewan Pemuda Pas Pusat menjemput secara rasmi pergerakan Pemuda Umno mengadakan perbincangan ilmiah atau dialog berhubung isu semasa bagi menyelesaikan krisis antara kedua-dua parti itu. Surat jemputan itu diserahkan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, di lobi Parlimen. Dengan restu yang diberikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang kepada Dewan Pemuda Pas itu, ia adalah satu perkembangan positif selepas cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dicetuskan Hadi sebelum ini ditolak Pakatan Rakyat. Penolakan itu dibuat meskipun kerajaan Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka terhadap idea itu. Langkah Dewan Pemuda Pas itu perlu dilihat secara positif dan dengan hati terbuka oleh pemimpin Pas yang lain, apatah lagi selepas cabaran Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dianggap tidak memberi faedah untuk kepentingan umat Islam dan masyarakat Melayu. Kita berpendapat kedua-dua sayap pemuda Pas dan Umno boleh memulakan sebarang aktiviti bersama melangkaui persoalan politik. Mereka pemimpin masa depan negara. Kerjasama pada peringkat usia muda ini perlu sentiasa disemai. Kita sedar perasaan dendam, benci-membenci dan tidak bertegur sapa sudah wujud antara orang Umno dan Pas, antaranya disebabkan perbezaan fahaman politik serta sejarah masa lalu. Jika kerjasama bermula pada peringkat Pemuda, maka harapan untuk berbaik-baik semula itu cerah. Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk kedua-dua pimpinan terus bermusuhan.

Selain terlalu tertumpu kepada agenda politik, banyak aktiviti lain boleh dilaksanakan bersama. Ia adalah lebih tertib daripada melakukan tindakan liar dan ganas. Sebagai contoh, ahli terpilih Pemuda Umno dan Pas mungkin boleh bersama-sama bermukim di kem bina semangat yang disajikan dengan program dan aktiviti berfaedah untuk kepentingan bangsa dan negara. Ia boleh membenihkan usaha ke arah kerjasama yang lebih jitu. Soal mengadakan kerajaan perpaduan dan perkongsian kuasa tidak perlu dijadikan agenda utama buat masa ini asalkan perkara asas kerjasama boleh diwujudkan terlebih dulu. Kerjasama Umno dan Pas ketika Pas berada di luar kerajaan, bukan perkara baru kerana mereka pernah dan boleh duduk pada satu barisan. Misalnya peristiwa 8 Mei 2002 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyaksikan pemimpin utama ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Tun Abdullah Ahmad Badawi berpadu tenaga bersama Presiden Pas masa itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan timbalannya, Hadi menjayakan Majlis Syarahan Perdana Palestin dan Kemanusiaan anjuran DBP dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Menerusi semangat perpaduan ummah yang meletakkan Palestin sebagai ruang kesedaran untuk melihat tingkah laku perpecahan Melayu di negara ini, maka semua pemimpin ini mampu 'menjinakkan' ego politik masing-masing, satu suara atas nama perpaduan ummah sejagat. Dengan keadaan orang Melayu berpecah-belah terutama selepas pilihan raya umum lalu dan wujud pula golongan yang cuba mempermainkan agama Islam serta mempertikai institusi Raja-Raja Melayu, apakah dua parti utama Melayu/Islam ini sanggup terus berdiam diri? Oleh itu, kita melihat ada cahaya di hujung terowong apabila Dewan Pemuda Pas dan Pemuda Umno mahu berbincang secara ilmiah.

0 comments: